Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TASHIH AL-MAFAHIM #5: KEWAJIPAN MELAZIMI AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

 ahli sunnah.JPG

Salah faham

Terdapat segelintir masyarakat Islam yang berpendapat bahawa tidak mengapa jika berpegang dengan fahaman selain daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ini kerana, berpegang dengan fahaman selain Ahli Sunnah Wal-Jamaah, bukan bermakna keluar daripada agama Islam, tetapi ia sekadar fahaman yang berbeza dengan pegangan umat Islam majoriti. Justeru, tidak mengapa seseorang berpegang dengan fahaman Syiah atau Mu’tazilah atau Khawarij atau seumpama dengannya kerana ia bukan bermakna murtad daripada agama Islam. Adakah ini pendirian yang tepat?

 

Pencerahan

Bagi menjawab isu ini, terlebih dahulu kita perlu memahami siapakah Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu. Pemahaman yang betul akan memimpin kita untuk mengetahui kedudukan sebenar Ahli Sunnah Wal-Jamaah di dalam Islam. Justeru, ia dapat memberikan gambaran dan kesimpulan yang tepat. Jika sebaliknya, seseorang akan gagal menempatkan kedudukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah pada tempatnya yang betul lalu terpedaya dengan idea-idea baharu yang ultra-inklusif sehingga terjebak dengan ajaran-ajaran yang pada hakikatnya merosakkan ketulinan agama ini.

 

Epistemologi Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah nama sebuah parti politik atau mazhab yang diasaskan oleh ulama. Sebaliknya ia merupakan istilah yang berpunca daripada nas-nas syarak yang banyak. Bagi istilah al-Sunnah, Rasulullah SAW pernah mengungkapkannya dengan makna wahyu yang selain daripada al-Qur’an. Baginda SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّى قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”

Riwayat al-Baihaqi (20123)

Istilah al-Sunnah juga digunakan untuk merujuk kepada perkara yang mempunyai dalil syarak, sama ada daripada al-Qur’an mahupun sunnah Rasulullah SAW dan ijtihad para sahаbat. Antaranya sabda Baginda SAW:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafа’ al-Rаshidіn al-Mahdiyyіn.”

Riwayat al-Tirmizi (2676)

Pada ketika yang lain, al-Sunnah diucapkan oleh Rasulullah SAW bagi menyerlahkan maksud lawan kepada bid‘ah yang dilarang. Antaranya hadith yang menegah tiga orang al-sahаbah yang berhasrat untuk bersolat sepanjang malam, berpuasa sepanjang tahun dan menegah diri daripada berkahwin. Baginda SAW lalu bersabda:

أَمَا والله إني لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ له لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عن سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Adapun demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu, paling bertaqwa dalam kalangan kamu kepada-Nya, namun begitu, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, ia bukan daripada kalanganku.”

Riwayat al-Bukhari (4776)

Demikian juga hadith Rasulullah SAW mengenai golongan yang menunggu bintang-bintang muncul sebagai waktu berbuka puasa menerusi sabdanya:

لا تَزَالُ أُمَّتِي عَلَى سُنَّتِي مَا لَمْ تَنْتَظِرْ بِفِطْرِهَا النُّجُومَ

Maksudnya: “Umatku sentiasa berpegang dengan sunnahku selagi mana ia tidak menunggu bintang-bintang keluar untuk membuka puasanya.”

Riwayat Ibn Hibban (3510)

Berpandukan dalil-dalil tersebut, jelas menunjukkan perkataan al-Sunnah bukan istilah yang datang kemudian, sebaliknya ia bersumberkan lisan Rasulullah SAW sendiri. Walaupun istilah tersebut tidak terkandung dalam al-Qur’an, namun begitu, terdapat konotasi al-Sunnah yang jelas dalam setiap ayat yang merujuk kepada perintah mengikuti Rasulullah SAW sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Antaranya, firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚوَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Hasyr: 7)

Adapun istilah al-Jamа‘ah, ia kerap kali digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith Baginda. Hadith yang paling masyhur adalah sabda Baginda:

وَإِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً يَعْنِي الْأَهْوَاءَ كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu al-Jamа‘ah.”

Riwayat Ibn Majah (3993)

Berdasarkan hadith ini dan beberapa hadith lain, para ulama telah menjelaskan siapakah golongan yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah tersebut. Menurut al-Syаtibі, pada umumnya pendapat para ulama mengenai al-Jamа‘ah berkisar kepada beberapa pengertian. Pertama, ia bererti golongan majoriti dalam kalangan umat Islam yang terdiri daripada imam mujtahid, para ulama dan ahli syariah dan umat yang mengikuti mereka. Sebahagian hadis menyebut mereka sebagai al-sawаd al-a‘zam. Kedua, kumpulan para ulama mujtahid. Ketiga, para sahabat Rasulullah SAW. Keempat, umat Islam yang bersepakat atau berijmak atas sesuatu perkara. Ia juga kembali kepada golongan pertama atau kedua. Kelima, umat Islam yang bersatu mentaati seorang pemimpin. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265) Setelah menukilkan pendapat-pendapat tersebut, beliau merumuskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah adalah merujuk kepada perhimpunan yang bersatu di bawah pemimpin atau imam yang menepati petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265)

Ini jelas menunjukkan bahawa perhimpunan ramai yang bersatu bukan atas dasar kedua-duanya adalah terkeluar daripada apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah. Dengan kata lain, seandainya sesebuah kumpulan yang ramai itu tidak berada di atas petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai al-Jamа‘ah. Sebagaimana ungkapan Ibn Mas‘ud, “Al-Jamа‘ah adalah apa yang menepati kebenaran, sekalipun engkau berseorangan.” (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397) Walau bagaimanapun, ungkapan Ibn Mas‘ud tersebut dalam konteks sekiranya majoriti umat Islam benar-benar telah rosak dan terkeluar daripada mengikuti manhaj generasi terdahulu yang masih kekal di atas kebenaran. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397)

Hal ini mustahil berlaku apabila melibatkan kesepakatan para ulama mujtahid dalam kalangan umat Muhammad SAW seperti mana sabda Baginda, “Umatku tidak akan bersepakat atas kesesatan.” (Riwayat Ahmad: 27267) Hadis ini menjadi dalil ke atas keautoritian ijmak para ulama sebagai salah satu daripada sumber hukum yang muktabar di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamаah. (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 1/408-410) Ini bermakna Ahli Sunnah Wal-Jamаah tidak menjadikan bilangan majoriti semata-mata sebagai hujah kebenaran sesuatu golongan. Ini kerana, Ahli Sunnah Wal-Jamаah tidak mengambil kira bilangan majoriti sekiranya ia bertentangan dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah dan tidak diwakili oleh para ulama mujtahid.    

Berdasarkan perbahasan ringkas di atas, dapat disimpulkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu secara umumnya adalah golongan yang bermanhaj seperti berikut:

هم المتمسكون بسُنٌة النَّبِيِّ- صلى الله عليه وعلى آله وسلم- وأَصحابه ومَن تبعهم وسلكَ سبيلهم في الاعتقاد والقول والعمل، والذين استقاموا على الاتباع وجانبوا الابتداع، وهم باقون ظاهرون منصورون إِلى يوم القيامة فاتَباعُهم هُدى، وخِلافهم ضَلال    

Maksudnya: “Mereka yang berpegang dengan sunnah Nabi SAW, para sahabatnya dan yang mengikut mereka serta berjalan mengikut perjalanan mereka dalam aqidah, ucapan dan amalan. Mereka juga beristiqamah dalam mengikut (sunnah) dan menjauhi bid’ah (munkarah). Mereka kekal, zahir dan didukung sehingga hari kiamat. Maka mengikuti mereka mendapat petunjuk sedangkan menyalahi mereka adalah kesesatan”. (Lihat al-Wajiz fi ‘Aqidah al-Salaf, hlm. 36)[1]

  

Penggunaan Terawal Istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah

Mengenai penggunaan terawal istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah, ia didapati telah wujud sejak zaman para sahabat. Ini terbukti menerusi tafsiran Ibn ‘Abbаs terhadap surah Аli ‘Imrаn ayat 106:

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ

Maksudnya: “(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri”.

Al-Jurjаnі (Tarikh Jurjan, 132), al-Аjirі (al-Syari’ah, 5/2562) dan al-Lаlikа’і (Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/72) menukilkan sanad daripada Ibn ‘Abbаs bahawa maksud, “muka (orang-orang) menjadi putih berseri”, adalah penganut Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah.

Penggunaannya juga semakin meluas pada zaman salafussoleh sebelum kemunculan Imam Ahmad bin Hanbal (w .241H) dan Imam Abu al-Hasan al-Ash‘arі (w. 324H). Antara para ulama salaf yang didapati telah pun menggunakan istilah Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah sebelum kemunculan Abu al-Hasan al-Ash‘arі adalah Ayyub al-Sukhtiyаnі (w. 131H). Beliau pernah berkata, “Aku diberitahu mengenai kematian seorang lelaki dalam kalangan Ahl al-Sunnah, (saat itu) aku merasa seakan-akan kehilangan sebahagian anggota tubuhku.” (Lihat Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/59-60)

Seorang lagi ulama salaf iaitu Sufyаn al-Thawrі (w. 161H) yang pernah dinukilkan perkataannya mengenai Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah. Beliau berkata, “Berpesan-pesanlah dengan Ahl al-Sunnah dengan kebaikan, sesungguhnya mereka itu asing.” Di tempat lain beliau berkata, “Betapa sedikitnya Ahl al-Sunnah wa al-Jamа‘ah.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 7/273)

Al-Fudayl bin ‘Iyаd (w. 187H) turut menyebut mengenai golongan Ahli Sunnah Wal-Jamаah ketika membuat perbandingan dengan golongan Murji’ah dan Jahmiyyah. Beliau mengatakan, “Golongan Murji’ah berpendapat iman itu ialah perakuan dengan kata-kata tanpa amalan; Jahmiyyah pula berpendapat iman itu ialah makrifah tanpa perakuan dengan kata-kata dan amalan; manakala Ahl al-Sunnah pula mengatakan iman itu ialah makrifah, perakuan dengan kata-kata dan amalan.” (Lihat al-Sunnah, 1/306)

Manakala Ahmad bin Hanbal (w. 241h) pula diriwayatkan pernah menegaskan bahawa, “Ini adalah mazhab ahli ilmu, aѕhаb al-аthаr dan Ahl al-Sunnah yang berpegang teguh kepada al-Sunnah yang dikenali jejak langkahnya dan menjadi ikutan umat bermula daripada para al-sahаbah Nabi SAW hingga ke hari ini.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/204)

Berdasarkan beberapa ungkapan golongan salaf berkenaan, dapat difahami bahawa istilah Ahli Sunnah Wal-Jamаah telah sedia digunakan oleh para sahabat dan salafussoleh. Ini menunjukkan kewujudannya bukan disebabkan oleh perpecahan politik ataupun digagaskan oleh para ulama terkemudian, namun ia pada hakikatnya merupakan suatu manhaj yang berasal-usul daripada Rasulullah SAW sendiri.

 

Amaran Syarak Terhadap Golongan yang Tidak Berpegang kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Terdapat banyak nas syarak yang menunjukkan amaran agar umat Islam tidak keluar daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Nas-nas tersebut datang dalam bentuk sama ada merujuk secara langsung atau tidak langsung kepada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Antaranya firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-An’am: 153)

Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada perintah Allah SWT terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/365)

Di tempat lain, Allah SWT menjelaskan dengan lebih terang dan nyata mengenai keadaan golongan sesat yang tidak berpegang dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di akhirat kelak. Firman-Nya:

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ 

Maksudnya: (Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu".

(Surah Ali ‘Imran: 106)

Al-Jurjаnі (Tarikh Jurjan, 132), al-Аjirі (al-Shari’ah, 5/2562) dan al-Lаlikа’і (Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, 1/72) menukilkan sanad daripada Ibn ‘Abbаs bahawa maksud, “Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya” adalah pengikut hawa nafsu, bid’ah dan sesat.

Demikian juga, hadith al-Hawd yang menunjukkan kedudukan golongan yang sesat di akhirat kelak. Antaranya riwayat Sayyidah ‘А’ishah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إني على الْحَوْضِ أَنْتَظِرُ من يَرِدُ عَلَيَّ مِنْكُمْ فَوَاللَّهِ لَيُقْتَطَعَنَّ دُونِي رِجَالٌ فَلَأَقُولَنَّ أَيْ رَبِّ مِنِّي وَمِنْ أُمَّتِي فيقول إِنَّكَ لَا تَدْرِي ما عَمِلُوا بَعْدَكَ ما زَالُوا يَرْجِعُونَ على أَعْقَابِهِمْ

Maksudnya: “Aku akan menunggu sesiapa di antara kalian yang akan dibawa kepadaku di al-Hawd. Demi Allah, pasti akan mereka akan ditarik pantas daripadaku, maka aku akan berkata: Wahai Rabb, mereka adalah daripadaku. Maka dijawab: Sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka lakukan selepas engkau meninggalkan mereka. Mereka berterusan berundur ke belakang (menjadi kafir-murtad).”

Riwayat Muslim (2294)

Sebahagian ulama mengatakan mereka yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah ahli maksiat, pelaku dosa besar dan ahli bid’ah yang tidak mengkufurkan yang meninggal dunia dalam keadaan Islam. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 15/64) Al-Nawawi menukilkan keterangan daripada Ibn ‘Abd al-Barr bahawa setiap orang yang melakukan bid’ah dalam agama akan diharamkan daripada al-Hawd seperti Khawarij, Rawafidh (Syiah) dan kumpulan bid’ah lain. Begitu juga para penzalim yang melampau dalam melakukan kezaliman dan menentang kebenaran. Mereka berkemungkinan termasuk dalam kalangan yang dimaksudkan dalam hadis al-Hawd tersebut. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 15/64)      

 

Pendirian Terhadap Golongan Bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Pendirian para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah terhadap golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jammah adalah berbeza-beza mengikut keadaan mereka. Ini kerana, terdapat dalam kalangan mereka itu yang melakukan bid’ah yang mengkufurkan dan ada pula bid’ah yang tidak sampai ke tahap mengkufurkan. Demikian juga keadaan pelaku bid’ah itu sendiri, sama ada mereka bertindak menyebarkan atau tidak menyebarkan. Namun demikian, secara ringkasnya pendirian para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah terhadap mereka dapat dicontohkan seperti berikut:

Al-Buwaiti mengatakan, aku bertanya kepada Imam al-Syafie, “Adakah harus aku solat di belakang seorang Rafidhi (Syiah)? Beliau menjawab: Jangan kamu solat di belakang seorang Rafidhi, tidak juga Qadari, tidak juga Murji’. Aku berkata: Sifatkan mereka itu kepada kami. Beliau menjawab: Sesiapa yang mengatakan iman itu dengan perkataan (sahaja) maka ia adalah Murji’. Sesiapa yang mengatakan bahawa Abu Bakar dan Umar kedua-duanya bukan imam maka ia Rafidhi. Dan sesiapa yang menjadikan kehendak (masyi’ah) kembali kepada dirinya sendiri maka ia Qadari.” (Lihat Manaqib al-Syafi’ie, 1/433)

Al-Syaukani berkata, “Dan kadang-kadang kebinasaan mengikut hawa nafsu golongan bid’ah lebih bahaya ke atas agama ini (Islam) berbanding mengikut hawa nafsu agama lain. Ini kerana golongan bid’ah mereka bersandar kepada Islam, menzahirkan kepada manusia bahawa mereka memenangkan agama dan mengikutinya dgn baik. Padahal mereka adalah sebaliknya dan bertentangan dengan apa yang sebenarnya, mereka berterusan membawa orang yang cenderung kepada hawa nafsu mereka daripada satu bid’ah ke satu bid’ah, mendorongnya dari satu penyelewengan ke satu penyelewengan, sehingga mengeluarkannya daripada agama, sedangkan dia menyangka bahawa dia berada dalam kebenaran dan jalan yang dilaluinya adalah jalan yg lurus..” (Lihat Fath al-Qadir, 1/154)

Berkata Abu ‘Ali al-Mufadhdhal al-Bajali, “Aku telah menemui Imam Ahmad bin Hanbal, lalu telah datang kepadanya pesuruh khalifah bertanya tentang hukum meminta bantuan dengan golongan bid’ah. Imam Ahmad menjawab: Tidak boleh meminta pertolongan mereka. Lalu ditanya: Boleh minta pertolongan Yahudi dan Nasrani, tapi tidak boleh meminta pertolongan mereka (ahli bid’ah)? Jawab Imam Ahmad: Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani tidak menyeru kepada agama mereka, sedangkan golongan bid’ah menyeru (kepada ajaran mereka)..” (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah, 1/275)

Al-Lalaka’i menukilkan bahawa Abu al-Jauza’ berkata, “Sungguh kera dan khinzir berjiran denganku lebih aku sukai daripada aku berjiran dengan salah seorang daripada mereka – ahli bid’ah.” (Lihat Syarh Usul al-I’tiqad, 1/131)

Sufyan al-Thauri berkata, “Bid’ah lebih disukai oleh iblis berbanding maksiat kerana maksiat akan dipohon taubat daripadanya sedangkan bid’ah tidak dipohon taubat daripadanya (kerana pelakunya menyangkakan ia benar)”. (Lihat Musnad Ibn al-Ja’d, 272)

Al-Baghawi mengatakan, “Dan telah sekian lama para sahabat, tabi’in, pengikut mereka dan para ulama hadith atas (hal) ini iaitu berijmak dan bersepakat akan permusuhan dan pemulauan terhadap ahli bid’ah.” (Lihat Syarh al-Sunnah, 1/227)

Imam al-Tahawi selepas menjelaskan sejumlah iktikad yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menegaskan bahawa seorang muslim wajib berlepas diri (bara’ah) daripada sebarang ajaran yang menyeleweng daripada aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Beliau menyatakan, “Maka ini merupakan agama kami, aqidah kami secara zahir dan batinnya dan kami berlepas diri kepada Allah Ta’ala daripada setiap orang yang menyalahi apa yang kami sebutkan dan jelaskan. Kami memohon kepada Allah agar menetapkan kita di atas iman, menutup (hayat) kita dengannya, memelihara kita daripada hawa nafsu yang pelbagai, pemikiran yang bermacam-macam, mazhab-mazhab yang rosak daripada kalangan mereka yang menyalahi Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan bersekutu dengan kesesatan. Kami berlepas diri daripada mereka dan mereka di sisi kami adalah sesat dan rosak.” (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, 418)

Kata al-Syatibi, “Sesungguhnya kumpulan yang terselamat, mereka adalah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Mereka diperintahkan agar memusuhi ahli bid’ah, mengekang mereka, dan mencegah sesiapa yang mengikuti mereka. Dan kita diperintahkan supaya memusuhi mereka manakala mereka pula diperintah untuk mengikuti kita dan kembali kepada jamaah.” (Lihat al-I’tisam, 1/120)

Al-Juwaini menjelaskan bagaimana keadaan apabila golongan bid’ah itu semakin berleluasa. Beliau mengatakan, “Maka imam (pemerintah) hendaklah menyeru mereka kepada kebenaran, jika mereka ingkar hendaklah diberikan amaran keras dan menegah mereka daripada menzahirkan kebid’ahannya. Jika mereka berdegil, hendaklah tindakan tegas diambil ketika mereka menolak ketaatan. Lalu memerangi mereka atas dasar penderhaka (bughah). Ini berlaku kepada setiap kumpulan yang menyandarkan diri kepada orang Islam, apabila keluar daripada mentaati (pemerintah). (Lihat Ghiyath al-Umam, 215)

Berdasarkan penjelasan al-Juwaini, ia memberi makna bahawa tindakan pemerintah ke atas rakyatnya adalah tertakluk kepada maslahah. Apabila pemerintah mengharamkan sesuatu ajaran sesat atau bid’ah, ia bukan bertujuan untuk menyekat hak asasi rakyat tetapi demi memelihara kemaslahatan ummah yang pelbagai latar belakang pengetahuan agama. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn al-Qayyim dalam isu pengharaman buku golongan bid’ah, beliau mengatakan, “Bahawa buku-buku sebegini yang berisi dengan pembohongan dan bid'ah, maka hendaklah dimusnahkan dan dihapuskan. Ia lebih utama daripada menghapuskan alat hiburan, alat muzik dan bekas arak. Sesungguhnya bahayanya (buku-buku tersebut) lebih besar daripada bahaya semua ini...” (Lihat al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syar'iyyah, 714)

Al-Ghazali ketika membahaskan berkenaan puak Syiah menjelaskan golongan sesat itu terbahagi kepada dua status. Status pertama adalah mereka yang dihukumkan sebagai salah, sesat dan bid’ah. Seperti seseorang yang beriktikad bahawa imam itu wajib dalam kalangan Ahl al-Bayt. Orang yang berhak pada zaman terawal dahulu selepas kewafatan Rasulullah SAW adalah ‘Ali namun haknya dirampas oleh Abu Bakar. Imam juga dikatakan maksum daripada sebarang kesalahan dan kesilapan. Tetapi dalam masa yang sama mereka tidak mengkafir dan menghalalkan darah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, namun menganggap Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu sebagai penderhaka (bughah) kerana tersilap sehingga gagal menemui kebenaran. Orang sebegini tidak dihukumkan ia kafir, tetapi ia dihukumkan sebagai sesat dan ahli bid’ah. Pemerintah perlu mengambil tindakan tegas terhadap kesesatan dan kebid’ahannya menurut cara yang difikirkan wajar. (Lihat Fadha’ih al-Batiniyyah, 146-147)

Manakala status yang kedua pula adalah pendapat-pendapat yang mewajibkan kekufuran. Ini kerana di samping iktikad-iktikad (Syiah) yang dipegang itu, mereka turut berpendapat bahawa golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu kafir, harta benda dan darah mereka adalah halal. Pegangan sebegini mewajibkan kekufuran kerana mereka mengetahui bahawa Ahli Sunnah Wal-Jamaah itu beriktikad bahawa alam ini ada pencipta yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Berkata-kata, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Hidup dan Dia tidak sama dengan suatu apapun, dan bahawa Muhammad bin Abdullah itu Rasulullah, membenarkan apa jua yang disampaikan Baginda seperti hari kebangkitan, syurga dan neraka. Semua iktikad ini menjadi penilaian terhadap kesahihan agama, maka sesiapa yang menyangka iktikad sebegini adalah kekufuran maka ia kufur tanpa syak lagi. (Lihat Fadha’ih al-Batiniyyah, 151)

 

Kedudukan Golongan Bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Malaysia

Dalam konteks di Malaysia, golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah dihukumkan sebagai sesat. Ini sebagaimana takrifan ajaran sesat yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti berikut:

“Ajaran sesat adalah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah (iaitu hadis sahih) serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah”. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, 57)

Sebagai contoh, dalam kes menangani penyebaran Syiah di Malaysia, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 di Pulau Pinang telah memutuskan bahawa:

  1. Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak;
  1. Memperakukan pindaan kepada semua Undang-undang Negeri yang berhubung dengan hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif “Hukum Syarak” atau “Undang-undang Isam” seperti berikut:

      “Hukum syarak” atau “Undang-undang Islam” ertinya Undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak”

  • Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang;
  1. Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada Undang-undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja;
  1. Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Penetapan fatwa ini sesuai dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan objektif pertama adalah memelihara agama. Dalam konteks sebuah negara, sememangnya tanggungjawab memelihara keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Di sini, pihak berkuasa agama kerajaan Islam berperanan menjalankan prinsip hirasat al-din wa ‘imarat al-dunya (pemeliharaan agama dan pembangunan duniawi) berteraskan siyasah syar’iyyah. Menurut Ibnu ‘Aqil; siyasah syar’iyyah itu ialah apa jua perbuatan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kebinasaan walaupun tidak disyariatkan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan oleh wahyu. (Lihat ‘Ilam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin, 6/26)

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami dapat simpulkan bahawa menganuti pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah suatu pilihan sebaliknya ia suatu kewajipan sebagaimana yang dianjurkan dalam nas-nas syarak. Ini kerana, ia adalah satu-satunya manhaj yang diyakini mengikuti jejak langkah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW. Sekalipun para ulama tidak mengatakan ajaran bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai kafir atau terkeluar daripada Islam secara mutlak, namun ia tidak bermakna syarak membenarkan ajaran tersebut harus untuk dianuti. Pada hakikatnya ia sama dengan perkara-perkara maksiat seperti berzina, minum arak, berjudi dan seumpamanya yang tetap dihukumkan haram walaupun semata-mata melakukannya tidak menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.

Demikian juga dalam soal kesesatan aqidah, bahkan kemudaratannya jauh lebih besar berbanding kemaksiatan kerana ia menyentuh iktikad dan keyakinan seseorang. Ini disebabkan kegelinciran aqidah itu sering menyentuh isu-isu yang amat serius dan sensitif melibatkan hal ketuhanan, kenabian, keghaiban dan keautoritian sumber ilmu. Oleh itu, kepincangan dalam beraqidah berisiko mendekatkan seseorang ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Selain ia berupaya mencetuskan pelbagai implikasi lain seperti fanatisme, ekstremisme, terrorisme, liberalisme, kafir mengkafir, perpecahan dan adakalanya membawa kepada peperangan. Justeru, kami menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia agar terus berpegang teguh dan mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Moga ia akan menyelamatkan kita bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat jua.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

 

Nota Hujung:

[1] Dari sudut  madaris fikriyyah dalam Ahli Sunnah Wal-Jamaah, ia terbahagi kepada tiga sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Safarini. Al-Athariyyah, imam mereka adalah Ahmad bin Hanbal, al-Asy'ariyah, imam mereka adalah Abu al-Hasan al-Asy'ari dan al-Maturidiyah, imam mereka adalah Abu Mansur al-Maturidi. (Lihat Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 73)