Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TASHIH AL-MAFAHIM #20: BENARKAH TERDAPAT UNSUR SYIRIK DALAM SELAWAT TAFRIJIYYAH?

tafrijiyyah.png

 

Soalan

Adakah terdapat unsur syirik dalam selawat tafrijiyyah?

Ringkasan Jawapan

Setelah dilakukan pengamatan terhadap lafaz-lafaz di dalam selawat tafrijiyyah, kami mendapati bahawa tiada unsur syirik padanya. Hal ini kerana huruf ba’ yang terdapat pada lafaz (تنحل به العقد) tersebut adalah al-ba’ al-sababiyyah yang membawa maksud (تنحل بسببه العقد) dengan sebab Nabi SAW. Oleh kerana itu, bila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu akan diletakkan “yang menjadi sebab terungkai kebuntuan”, kebuntuan yang paling besar terungkai dengan sebab Nabi SAW di dunia adalah isu kesyirikan dan kekafiran. Oleh itu, tidak ada masalah dan diharuskan bagi sesiapa yang ingin mengamalkan selawat ini. Ini kerana ia hanya berkaitan dengan isu tawassul kepada Nabi SAW dan bukan mempertuhankan makhluk.

Huraian Jawapan

Persoalan berkenaan ini timbul yang mengatakan bahawa selawat tafrijiyyah mempunyai unsur syirik. Perkara ini menyebabkan sebahagian masyarakat menjadi resah dan risau kerana amalan tersebut memang telah sekian lama diamalkan oleh kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia.

Berikut merupakan lafaz selawat tafrijiyyah,

 اَللهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً وَسَلِّمْ سَلاَمًا تَامَّاعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ وَحُسْنُ الْخَوَاتِمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ فِى كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ بِعَدَدِ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ

Maksudnya: Ya Allah limpahkanlah selawat (rahmat) yang sempurna dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, yang menjadi sebab terungkai segala kebuntuan dan terbuka segala kesusahan serta ditunaikan segala hajat dan dipenuhi segala keperluan serta dikurniakan husnu khatimah dan dikurniakan limpahan rahmat dengan keberkatan sosok tubuh (kemuliaan) Baginda SAW dan seluruh ahli keluarga Baginda dan sahabatnya dalam setiap kerdipan mata dan nafas setiap makhluk Engkau miliki. [1]

(Lihat al-Afdhal al-Salawat ‘ala Sayyid al-Sadat, hlm. 61)

Berdasarkan lafaz selawat tafrijiyyah di atas, yang menjadi isu di sini adalah pada lafaz-lafaz selawat yang telah digariskan. Sebagai seorang muslim, kita sedia maklum bahawa selawat ke atas Nabi SAW adalah salah satu zikir yang menjadi amalan dalam kehidupan kita. Bahkan, Allah SWT memerintahkan di dalam al-Quran,

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Surah al-Ahzab (56)

Secara umumnya, ayat di atas menjelaskan kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW. Selain itu, tidak semestinya untuk berselawat kepada Nabi SAW dengan menggunakan lafaz (sighah) tertentu. Maka, setiap lafaz (sighah) yang mana tidak mengandungi unsur-unsur yang ditegah dalam syariat adalah harus digunakan. [2]

Jika diperhatikan kepada lafaz-lafaz dalam selawat tafrijiyyah yang dipersoalkan bahawa terdapat unsur syirik, sebenarnya tidak terdapat unsur syirik padanya dan lafaz tersebut adalah harus digunakan. Pada aspek bahasa huruf ba’ yang terdapat pada lafaz (تنحل به العقد) tersebut adalah al-ba’ al-sababiyyah yang membawa maksud (تنحل بسببه العقد) dengan sebab Nabi SAW.

Oleh kerana itu, apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu akan diletakkan “yang menjadi sebab terungkai kebuntuan”. Kebuntuan yang paling besar terungkai dengan sebab Nabi SAW di dunia adalah isu kesyirikan dan kekafiran. Kemudian, kebuntuan paling besar terungkai dengan sebab Nabi SAW di akhirat adalah dengan syafaat daripada baginda SAW. [3]

Perkara ini termasuk dalam aspek tawassul dengan Nabi SAW. Tawassul dari segi istilah bermaksud menjadikan sesuatu amalan sebagai perantara atau penyebab untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam maksud yang lain, tawassul itu adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meminta doa daripada orang soleh yang masih hidup, dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT dan juga dengan amal soleh yang dikerjakan. Ketiga-tiga bentuk tawassul ini adalah yang dibenarkan oleh syara’ tanpa khilaf. [4]  (Lihat Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Wizarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah al-Kuwait, 14/149-150)

Selain itu, para ulama berbeza pendapat berkenaan bentuk tawassul yang selain daripada tiga bentuk di atas. Menurut ulama yang membolehkan untuk bertawassul dengan sifat kemuliaan atau roh mereka yang telah meninggal dunia adalah seperti Dr. Syeikh ‘Ali Jum’ah. [5] (Lihat Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah li Syeikh Ali al-Jumu’ah, hlm. 165)

Kemudian, Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan di dalam kitabnya yang bertajuk al-Bidʻah al-Munkarah bahawa Imam Ahmad berpendapat tawassul dengan Nabi SAW sama ada semasa hidup atau setelah wafatnya baginda SAW adalah diharuskan tetapi tidak boleh meminta pertolongan (istighathah) pada makhluk. [6] (Lihat al-Bidʻah al-Munkarah, hlm. 43)

Dalam hal ini juga dilihat Dar al-Ifta’ al-Misriyyah telah mengeluarkan fatwa bahawa selawat tafrijiyyah ini harus untuk diamalkan. [7] Walaupun begitu, kita digalakkan untuk mengutamakan selawat dan zikir yang diajarkan oleh Nabi SAW seperti selawat Ibrahimiyah dan lain-lain. Bagi mereka yang tidak mahu beramal dengan selawat tafrijiyyah ini tiada masalah tetapi janganlah kita menyalahkan sehingga mengatakan perbuatan mereka yang mengamalkan selawat ini sebagai pelaku syirik dan sebagainya. Begitu juga bagi mereka yang beramal dengan selawat ini janganlah menyalahkan mereka yang tidak mahu beramal dengan selawat ini kerana perkara ini termasuk dalam perkara-perkara khilafiyyah.

Kesimpulan

Berdasarkan penelitian di atas, tidak terdapat unsur syirik di dalam rangkap selawat tafrijiyyah seperti yang diperkatakan. Bahkan, selawat ini mempunyai beberapa isi penting di dalamnya seperti doa, selawat dan tawassul. Justeru, tidak ada masalah dan diharuskan bagi sesiapa yang ingin mengamalkan selawat ini, asalkan dengan keyakinan bahawa pemberi kesan yang hakiki adalah Allah SWT bukannya makhluk. Walaupun begitu, digalakkan untuk mengutamakan selawat dan zikir yang diajarkan oleh Nabi SAW seperti selawat Ibrahimiyah kerana itu adalah sebaik-baik amalan. Semoga Allah SWT menerima amalan kita dan menempatkan kita bersama dengan Nabi SAW di syurga kelak. Wallahua’lam.

Rujukan

[1] Yusuf al-Nabhani, al-Afdhal al-Salawat ‘ala Sayyid al-Sadat (Dimasyq: Dar Quba’, t.t), 61.

[2] al-Adhkar wa al-Du’a’, “Hukm al-Solah ‘ala al-Nabi SAW bi al-Sighah al-Mirfaqah” laman sesawang Dar al-Ifta’ al-Urdun, dicapai pada 6 Januari 2021, https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=2046#.X_aMTtgzbIV.

[3] “al-Salah al-Tafrijiyyah (al-Nariyyah) wa Adillatuha wa Radd al-Suhbhat ‘Alayha” laman sesawang Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, dicapai pada 6 Januari 2021, https://www.youtube.com/watch?v=RK7bMXwhxI8.

[4] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Dar al-Salasil, 1427), 14/149-150.

[5] ‘Ali Jum’ah, ʻAqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah (Kaherah: Dar al-Muqattam, 2011), 165. وتوسّل المسلم بالأنبياء وتبركه بشيء من آثارهم وفضلاتهم مع الإعتقاد بأّن المؤثر في ذلك إنما هوالله جل جلاله فلا ضير فيه؟ لأنّ تعبيره هذا جاء موافقا لظاهر ما أقيم الكون عليه من قانون السببية الجعلية. ولا فرق بين التوسّل به حيا أو بعد وفاته, فليست حيا ته الجسادية وسيلة تأثير في المتوسّلين والمتبركين به فلما توفي ذهبت وسيلة التأثير فأصبح التوسّل به توسّلا بما لايملك أي تأثير.

[6] Wahbah al-Zuhaili, al-Bid’ah al-Munkarah (Dar al-Maktabi, 2010), 43.

[7] Rujuk Ahmad Mamduh, “al-Solah al-Tafrijiyyah “al-Nariyah”: Adillatuha wa Radd al-Syubhat ‘Alaiha”, laman sesawang Youtube Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, https://www.youtube.com/watch?v=RK7bMXwhxI8.