Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM LESTARI FALAK : GENERASI MUDA CELIK FALAK 2026

LABUAN, 12-13 OKTOBER 2026 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan telah menganjurkan Program Lestari Falak: Generasi Muda Celik Falak 2026 selama dua hari bertempat di Dewan Theatrette, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampus Antarabangsa Labuan. Program ini melibatkan kerjasama Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan dan Jabatan Pendidikan Negeri Labuan, dengan penyertaan pelajar daripada tiga buah sekolah, iaitu SMA MAIWP Labuan, SMK Mutiara dan SMK Ranca-Ranca serta pelajar dari UMSKAL.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Hjh. Noraini binti Hj. Sahbudin, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, sebelum dirasmikan oleh Sahibus Samahah Dr. Mohd Aizam bin Mas’od, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Labuan. Seterusnya, sesi perkongsian pada hari pertama disampaikan oleh Puan Emma Zulaiha Zulkifili, Pengasas Dark Sky Malaysia, yang memberikan pendedahan berkaitan ilmu astronomi dan kepentingannya dalam memahami fenomena alam serta memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan langit malam.

Pada hari kedua, program diteruskan dengan slot bertajuk aplikasi ilmu falak dalam ibadah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Omar bin Sullahaji, Pegawai Hal Ehwal Islam merangkap Ketua Unit Falak, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan. Sesi ini memberi pendedahan kepada para peserta tentang hubungan ilmu falak dengan pelaksanaan ibadah umat Islam, khususnya dalam memahami kepentingan ilmu falak bagi membantu penentuan perkara berkaitan ibadah secara tepat dan berasaskan kaedah yang diiktiraf.

Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan minat serta pengetahuan generasi muda terhadap ilmu falak, di samping menghubungkan ilmu sains astronomi dengan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian. Program ini juga menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara agensi agama, institusi pengajian tinggi dan pihak pendidikan dalam melahirkan generasi muda yang celik falak, berilmu dan berfikiran saintifik.