PUTRAJAYA, 6 MEI 2021- World #Quran Hour kali keenam tahun ini berlangsung secara tertutup sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan Covid-19 yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan disiarkan secara langsung melalui siaran RTM, Bernama, Astro Oasis dan saluran Al-Hijrah secara serentak pada pukul 12 hingga 1 tengah hari tadi.
World #QuranHour bertemakan 'Dunia Berbudi & Penyayang’ telah memilih Surah Al-Mulk sebagai surah pilihan yang dibacakan oleh Qari dan pemegang panji. Pentadabbur akan menjelaskan setiap maksud ayat yang dibaca oleh Qari bagi tujuan pemahaman kepada para peserta.
Surah Al-Mulk yang bermaksud kerajaan menjadi surah pilihan dan tema bagi World #QuranHour tahun ini dalam membina karakter orang berjaya di dunia dan akhirat. Dengan menghayati surah Al-Mulk, adalah diharapkan dapat membina kekuatan kerajaan di dalam diri, keluarga, organisasi dan komuniti dalam negara.
Membawa misi al-Mulk ke seluruh dunia, gerakan membina sistem nilai al-Quran dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Malaysia ke seluruh dunia. Ayuh bersama gemakan langit dunia dengan kalam indah ini. Penghayatan terhadap tiga motivasi diri yang terkandung dalam Surah al-Mulk dapat menyuntik motivasi diri kita agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan.
PMWP turut serta dalam majlis yang amat bermakna ini khususnya bagi menghayati Ramadan yang diturunkan mukjizat al-Quran lebih 1500 tahun lalu. Bersama kita mengQURANkan BANGSA, mengIKHLASkan UMMAH menuju keharmonian sejagat. Semoga dunia ini dilimpahi dengan rahmat Allah SWT.