Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN IHYA' RAMADAN PERINGKAT KEBANGSAAN BAGI TAHUN 2023M BERSAMAAN 1444H

PUTRAJAYA, 22 MAC 2023 - Majlis Pelancaran Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 2023 Bersamaan 1444H telah diadakan di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya malam tadi. Majlis dimulakan dengan alunan bacaan al-Quran dan penerangan berkaitan ibrah khas Ramadan yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan.

Majlis dirasmi dan dilancarkan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Melalui ucapan perasmian majlis, beliau berharap dan menyeru kepada setiap agensi yang menjadi nadi kepada masyarakat Malaysia terutamanya agar dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang digalas dengan sebaiknya, kreatif dan seimbang melalui pelaksanaan program-program ihya’ Ramadan yang bakal tiba nanti.

Kemudian, majlis diteruskan dengan pelancaran Buku Ensiklopedia Ramadan terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang merupakan hasil karya pegawai-pegawai PMWP di bawah bimbingan Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman dan pengurusan Bahagian Sumber Maklumat (PSM). Penerbitan buku ini dijadikan sebagai panduan dan wadah penyebaran ilmu berkaitan puasa dan Ramadan kepada setiap lapisan masyarakat.

Majlis turut diisi dengan penyampaian sumbangan Wakaf Prihatin Yayasan Waqaf Malaysia kepada Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia dan sumbangan bagi pelaksanaan Program Singgah Sahur Yayasan Waqaf Malaysia kepada JKM Daerah Gombak. Majlis juga berkesempatan mengumumkan kadar zakat fitrah bagi Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.