Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

SESI LIBAT URUS BERKAITAN RANG UNDANG-UNDANG MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN (RUU MUFTI)

KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER 2024, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan(JMWP) hari ini mengadakan sesi libat urus berkaitan Rang Undang-Undang Mufti Wilayah Persekutuan (RUU Mufti) bersama beberapa Ahli Parlimen dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Ketika membentangkan RUU Mufti di Parlimen bagi bacaan pertama pada 2 julai 2024, YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Naim Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa akta ini bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah Persekutuan Sahaja.

Sesi libat urus yang dikendalikan oleh SS Datuk Prof Madya Dr Luqman Hj Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan ini adalah bertujuan memberikan penjelasan tentang kewajaran dan kepentingan RUU Mufti ini digubal setelah melalui proses yang panjang dan teratur bersama dengan pakar perundangan,Jabatan Peguam Negara,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM dan beberapa pihak berkaitan.Ia juga bagi menangkis salah faham di kalangan masyarakat antaranya mendakwa bahawa penggubalan RUU Mufti dilakukan secara tergesa-gesa,menyekat kebebasan,tidak berperlembagaan,menyebabkan Mufti mempunyai kuasa tertinggi,terpakai kepada semua pihak dan kepada semua rakyat di negara ini.

Ini adalah sesi libat urus ketiga yang berjaya dijalankan JMWP, sebelum ini pada 3 Julai 2024 sesi libat urus telah diadakan kali pertama di Parlimen Malaysia dengan dihadiri hampir 100 ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Dr Zulkifli Hassan mengendalikan sesi taklimat dengan mendapat sambutan memberangsangkan dari semua yang hadir. Sebelum ini juga sesi sama melibatkan Persatuan Pondok Se-Malaysia.

Banyak lagi sesi libat urus seumpama ini dengan semua pihak berkepentingan akan dijalankan bersama penggubal dasar negara,ahli politik,kakitangan awam,NGO dan pertubuhan Islam berkaitan.JMWP sentiasa komited dan senada dengan pihak kerajaan bahawa sebarang pelaksanaan dasar,polisi dan perundangan khususnya berkaitan hal ehwal Islam maklumat dari pihak berautoriti berkenaan sampai dan difahami masyarakat.