PUTRAJAYA, 10 MAC 2025 - Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, telah menerima kunjungan hormat daripada Tuan Abd Razak bin Mat Nayan, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, berserta para pegawai, di ibu pejabat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.
Pertemuan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan strategik antara Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dalam usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah serta menangani isu-isu berkaitan perundangan Islam di Wilayah Persekutuan.
Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan kerjasama yang erat dalam aspek pentadbiran dan penguatkuasaan hukum syarak bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan umat Islam terpelihara.
Selain itu, perbincangan juga menyentuh mengenai sinergi dalam penyelidikan hukum dan fatwa, serta pendekatan terbaik dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap perundangan Islam. Diharapkan daripada kunjungan hormat ini kerjasama antara kedua-dua institusi akan terus diperkukuh demi kemaslahatan umat Islam di Wilayah Persekutuan.