Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNGAN HORMAT GABUNGAN DAKWAH MALAYSIA & BIZDIVA NETWORK

PUTRAJAYA, 26 MAC 2025 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah menerima kunjungan hormat daripada Gabungan Dakwah Malaysia yang diketuai oleh YBhg. IR HJ Wan Ahmad Nizar Zakaria, Pengerusi Gabungan Dakwah Malaysia. Kunjungan ini disambut oleh YBhg. Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, bersama dua orang pegawai daripada Unit Buhuth. Perbincangan antara kedua-dua pihak tertumpu kepada usaha memperkasa gerakan dakwah di Malaysia, termasuk strategi memperluaskan penyebaran ilmu Islam secara lebih efektif kepada masyarakat.

Turut diadakan pada hari yang sama, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerima kunjungan daripada BizDiva Network yang diketuai oleh YBrs. Anne Ardzi, Pengasas BizDiva Network. Pertemuan ini membincangkan isu-isu berkaitan hukum-hakam dalam konteks kesihatan psikologi, terutamanya dalam membantu wanita menghadapi cabaran emosi dan mental dalam kehidupan seharian. Perbincangan ini membuka ruang kerjasama bagi memperkukuhkan kefahaman syariah dalam aspek kesejahteraan psikologi masyarakat.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berharap agar sesi perbincangan ini dapat memperkukuhkan sinergi antara institusi agama dan organisasi luar dalam menyebarkan kefahaman Islam secara lebih luas. Diharapkan juga usaha ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat dalam memahami isu-isu berkaitan dakwah dan kesihatan mental berlandaskan perspektif Islam.