Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN TERIMA KUNJUNGAN HORMAT

PUTRAJAYA, 3 JUN 2025 – Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah menerima beberapa kunjungan rasmi di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini yang menjadi medan perbincangan strategik serta memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi keilmuan, media dan agensi pelaksana agama.

Kunjungan utama adalah daripada Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Dekan Fakulti Pengajian Islam, yang hadir bersama delegasi fakulti. Pertemuan ini membincangkan kerjasama strategik dalam memperkasakan institusi kefatwaan melalui penyelidikan ilmiah, latihan kepakaran dan penglibatan akademik secara aktif. Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan menyambut baik usaha ini dan menekankan keperluan untuk memperkukuh kefahaman Islam secara bersumberkan ilmu yang sahih dan seimbang, selaras dengan keperluan semasa masyarakat.

Seterusnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerima kunjungan pihak media Wilayahku di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan bagi sesi temu duga khas. Antara soalan yang diajukan kepada Mufti ialah mengenai pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan umur persaraan 65 tahun, adab dalam menghadapi perbezaan pandangan, serta peranan ulama dalam masyarakat moden. Dalam responsnya, Sahibus Samahah menegaskan bahawa semua mazhab muktabar kembali kepada Rasulullah SAW dan umat Islam perlu mengutamakan adab serta saling menghormati dalam perbezaan pandangan.

Turut hadir ialah delegasi daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Pertemuan ini membincangkan pelbagai isu berkaitan pengurusan zakat, termasuk strategi meningkatkan agihan serta pemerkasaan pengetahuan zakat kepada masyarakat awam.

Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan harapan agar semua pertemuan ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada umat Islam, memperkukuh institusi fatwa dan menyuburkan budaya ilmu dalam Wilayah Persekutuan serta negara secara amnya.