BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN 2025 - Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menyertai Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i Bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam. JMWP telah dijemput menyertai Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam yang berlangsung pada 3-4 Jun 2024 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Persidangan ini dianjurkan Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Majlis persidangan dirasmikan oleh Yang Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan pada hari pertama persidangan dengan dihadiri lebih 1000 tetamu dan jemputan dalam serta luar negara. JMWP diwakili oleh SS Hj Jamali Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan.
Persidangan tersebut berlangsung selama dua hari, bertemakan 'Mazhab Syafi'i Dalam Era Digital : Relevan dan Cabaran.
Bersempena persidangan ini juga Persidangan Mufti Serantau telah diadakan pada 4 Jun 2025 dengan kehadiran perwakilan dari Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia dan Kemboja. Forum ini merupakan wadah perkongsian pandangan dan pengalaman Mufti serantau dalam memartabatkan kewibawaan institusi fatwa dan mendepani cabaran isu kefatwaan semasa.
Pada akhir Persidangan Mufti Serantau kesemua perwakilan sepakat dengan resolusi menegaskan bahawa Persidangan Mufti Serantau akan ditubuhkan sebagai platform bertukar pandangan dan pengalaman bagi memajukan institusi mufti dan kefatwaan yang akan berpusat di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Selain itu pertemuan seumpama ini akan diadakan secara dwi tahunan bergilir di kalangan negara anggota.