Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM HIMPUNAN ANAK MUDA KEBANGSAAN (HAMKA) ANTARABANGSA 2026 PLATFORM PERKASA KEFAHAMAN FIQH DALAM KALANGAN SISWA

SELANGOR, 20 Ogos 2026– Program Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 menjadi wadah penting dalam memperkasa kefahaman anak muda terhadap ilmu Islam, khususnya dalam memahami konsep dan aplikasi fiqh dalam kehidupan semasa.

Program yang berlangsung di KSL Esplanade Hotel, Selangor itu menghimpunkan anak muda dan siswa dalam sesi pengisian ilmu serta perkongsian berkaitan isu-isu semasa dan masa depan Islam di Malaysia.

Antara pengisian utama ialah sesi “Siswa Bertanya, Mufti Menjawab: Memahami Konsep dan Aplikasi Fiqh Al-Mizan, Fiqh Al-Waqi’ & Fiqh Al-Watan” yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan.

Sesi tersebut memberi ruang kepada para siswa untuk berinteraksi secara langsung dengan Mufti Wilayah Persekutuan dalam membincangkan konsep serta aplikasi fiqh yang berkait rapat dengan realiti kehidupan, keadaan semasa dan konteks masyarakat serta negara.

Program turut menampilkan Townhall: “Masa Depan Islam Di Malaysia” yang disampaikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Penganjuran HAMKA Antarabangsa 2026 diharapkan dapat menjadi platform yang memperkukuh kefahaman generasi muda terhadap ilmu dan pemikiran Islam, di samping membina generasi yang mampu memahami cabaran semasa serta memainkan peranan dalam membentuk masa depan Islam di Malaysia.