KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 – Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah diundang untuk menyampaikan tausiah sempena Program PDRM Berselawat Peringkat Bukit Aman Tahun 2026 yang berlangsung di Masjid Bukit Aman.
Program yang bertemakan “Jejak Rasulullah SAW: Membina Insan, Memperkasa Pasukan” ini bertujuan menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta menghayati sunnah dan akhlak Baginda dalam kehidupan seharian, khususnya dalam membentuk sahsiah, integriti dan jati diri warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Program ini turut dihadiri oleh YDH DIG Dato’ Sri Abdul Aziz bin Abdul Majid, Timbalan Ketua Polis Negara bersama warga PDRM dan para jemaah yang hadir bagi menjayakan program berkenaan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memperkukuh penghayatan terhadap sirah dan perjuangan Rasulullah SAW, di samping menyemai nilai keimanan, disiplin dan amanah dalam kalangan warga PDRM. Penghayatan terhadap ajaran Rasulullah SAW juga menjadi asas penting dalam membentuk pasukan yang berintegriti, berwibawa serta sentiasa memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.