Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #31: TERIMA KASIH NEW ZEALAND

terima kasih nz.JPG

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pada hari ini, Jumaat 22 Mac 2019, genap seminggu peristiwa berdarah di Masjid al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang telah menyebabkan 51 nyawa terkorban dalam masjid dan di sekitarnya akibat tindakan ganas oleh penembak yang mensasarkan kepada umat Islam.

Pada malam ini, saya sempat melihat peristiwa keseluruhan solidariti yang ditunjukkan oleh kerajaan New Zealand diketuai oleh Perdana Menterinya, Jacinda Ardern dan seluruh rakyatnya. Ucapan Perdana Menterinya dengan meminjam kata-kata Rasulullah SAW amat syahdu kerana ketulusan hatinya. Sementelahan pula pada hari ini digelar sebagai Hari Tudung sebagai tanda berkabung bagi masyarakat New Zealand yang bukan Islam. Ia menunjukkan kebersamaan dari sudut simpati dan empati oleh masyarakatnya.

Saya sempat melihat seorang wanita New Zealand yang bukan Islam ketika ditanya berkenaan pemakaian bertudungnya dalam majlis solat Jumaat tengahari tadi, beliau menjawab: “Saya mahu bersama mereka yang melaksanakan ibadat dan jika musuh datang untuk menembak mereka, maka mereka tidak lagi mengenali antara Muslim dan bukan Muslim, jadi saya dapat mempertahankan mereka.” Inilah ketulusan hati mereka yang tidak suka sifat ekstrem, ganas, brutal dan samseng. Tiada dalam kamus kehidupan masyarakat yang hidup harmoni suka akan tindakan yang menggambarkan Islamofobia serta memperlihatkan kebencian terhadap umat Islam.

Mendengar kenyataannya, saya menitiskan air mata dan teringat apa yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Surah al-Maidah (81)

Saya berdoa kepada Allah SWT, semoga kehidupan harmoni dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat dan rakyat New Zealand akan terus berkekalan dan ia menjadi simbol contoh cintakan kedamaian. Semoga negara kita Malaysia lebih daripada itu, insya Allah, Amin.