Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 46/2025: KONSEP RAHMAH DALAM MALAYSIA MADANI: INTEGRASI TADAYUN DAN UMRAN DALAM MEMBINA NEGARA

TintaMufti.jpg

KONSEP RAHMAH DALAM MALAYSIA MADANI: INTEGRASI TADAYUN DAN UMRAN DALAM MEMBINA NEGARA

 

PENDAHULUAN

Ucapan Perdana Menteri pada perjumpaan bersama penjawat awam baru-baru ini menekankan bahawa pentadbiran negara perlu dibina atas nilai rahmah dan kemanusiaan sejagat sebagai teras Malaysia MADANI.[1] Nilai kasih sayang yang digariskan menuntut perhatian bukan hanya kepada hubungan sesama manusia, tetapi juga kepada penjagaan alam sekitar termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan, bukit bukau dan sumber bumi. Asas ini menjadi prinsip etika yang mesti memandu setiap dasar dan tindakan pentadbiran supaya manfaat pembangunan dirasai secara adil dan tidak menimbulkan mudarat kepada rakyat dan alam sekitar.

Konsep ihsan yang ditekankan membawa kepada satu pemahaman bahawa pembangunan negara tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab moral. Pembangunan infrastruktur seperti jambatan, sekolah pintar dan sistem bandar moden perlu berpaksikan keikhlasan, integriti dan keprihatinan terhadap kehidupan manusia. Setiap tindakan pentadbiran termasuk kerja teknikal yang kelihatan rutin seharusnya dilakukan dengan niat memperbaiki kehidupan rakyat dan mengelakkan sebarang bentuk ketamakan yang merosakkan persekitaran. Pandangan ini menghubungkan pembangunan dengan nilai manusiawi dan menghalang pendekatan pembangunan yang hanya mengejar kemajuan material tanpa arah moral.

Integrasi nilai tadayyun yang menekankan warisan moral dan keagamaan dengan konsep pembangunan atau umran yang menumpukan aspek sosial dan institusi memberikan asas yang kukuh bagi membina sebuah negara yang sejahtera. Gabungan nilai rahmah dan ihsan dalam pengurusan negara menghasilkan kefahaman bahawa kemajuan sebenar menuntut keseimbangan antara kemajuan fizikal, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Pendekatan ini menjadikan Malaysia MADANI satu gagasan pembangunan yang menyatukan kemajuan dengan etika serta memastikan pembinaan negara bergerak seiring dengan keadilan, kemanusiaan dan tanggungjawab terhadap semua yang hidup di bumi.

IHSAN SEBAGAI TERAS PEMBANGUNAN MALAYSIA MADANI

Kerangka Dasar MADANI menekankan bahawa agenda pembangunan negara tidak hanya menyelesaikan masalah semasa. Ia juga membina masa depan yang mampan dan inklusif. Kerangka ini mengambil kira perubahan global yang pesat dan cabaran dunia pasca normal. Bahasa, konsep dan budaya tempatan menjadi teras dalam merangka strategi pembangunan yang menggabungkan amalan sedia ada dengan kaedah baharu untuk menangani isu-isu baharu dan ketidakpastian. Enam rukun MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan saling berkait dan menguatkan antara satu sama lain. Ihsan adalah tanggungjawab sosial yang menyeluruh, melebihi sekadar belas kasihan sementara. Ia memerlukan kepekaan terhadap penderitaan manusia, makhluk lain dan alam sekitar serta azam untuk mencari penyelesaian yang berkesan.[2] Elemen rahmah menyokong ihsan dengan menanam kasih sayang dan kepedulian. Penerapan ihsan berpandukan rahmah membina masyarakat peduli, beretika dan penyayang, seimbang antara kemajuan fizikal dengan nilai moral, menjadikan negara bersepadu, berkeadilan dan lestari sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan atas setiap sesuatu.”

(Riwayat Muslim)

Al-Qurtubi menafsirkan bahawa ihsan bermakna kesempurnaan dan pengukuhan dalam setiap perbuatan yang dibenarkan. Ia menekankan perlunya kesungguhan, menjaga adab dan etika serta memastikan setiap tindakan dilaksanakan dengan niat dan kualiti yang betul. Dengan pendekatan ini, setiap amal diterima dan pahalanya berlipat ganda. Perkara ini menegaskan bahawa ihsan bukan sekadar tentang hasil, tetapi tentang kualiti dan ketelitian dalam melaksanakan amanah.[3]

Ahmad Hatibah menyorot dimensi kasih sayang dan keikhlasan. Ihsan melibatkan melakukan kebaikan kepada diri sendiri, orang lain dan bahkan musuh ketika dalam situasi pertahanan. Amalan ihsan memerlukan niat tulus dan kesedaran moral dalam setiap interaksi, menekankan bahawa setiap tindakan yang berpandukan ihsan membawa keberkahan dan memupuk hubungan harmoni antara manusia.[4]

Pandangan Ibn Rajab pula menekankan ihsan dalam interaksi sosial dan pentadbiran. Ihsan diwajibkan dalam semua urusan, termasuk menunaikan hak Allah SWT dan memenuhi tanggungjawab dalam memimpin masyarakat. Segala usaha yang melebihi kewajipan asas dianggap ihsan tambahan. Tafsiran ini menunjukkan bahawa kesempurnaan dan keunggulan dalam perbuatan bukan sahaja dihargai oleh Allah SWT, tetapi juga membentuk masyarakat yang adil dan bertanggungjawab.[5]

Kesemua tafsiran ini menekankan bahawa ihsan menjadi prinsip menyeluruh yang membimbing tindakan manusia dengan penuh tanggungjawab. Elemen rahmah menuntun ihsan agar setiap perbuatan disertai kasih sayang, kepedulian dan keprihatinan terhadap kehidupan manusia dan makhluk lain. Penerapan ihsan yang berpandukan rahmah selari dengan maqasid tadayyun di mana penghayatan nilai moral, etika dan tanggungjawab sosial membentuk masyarakat yang adil, berperikemanusiaan dan sejahtera. Dengan itu, ihsan yang berpandukan rahmah menjadi asas penting dalam membina negara yang bersepadu dan harmoni.

MANIFESTASI RAHMAH DALAM PEMBANGUNAN MALAYSIA MADANI

Dalam pertemuan bersama YAB Perdana Menteri tersebut, beliau turut menekankan sebuah hadis riwayat Saidina ‘Abdullah bin ‘Amr yang menjadi tunjang kepada gagasan Malaysia MADANI di mana Rasulullah SAW bersabda:

الرَّاحِمونَ يرحَمُهم الرَّحمنُ تبارَك وتعالى؛ ارحَموا مَن في الأرضِ يرحَمْكم مَن في السَّماءِ

Maksudnya:Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Suci dan Maha Tinggi. Kasihkanlah (rahmatilah) siapa sahaja yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi (dirahmati) oleh Dia yang di langit

(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

Hadis ini antara lainnya menegaskan bahawa sikap rahmah adalah merupakan asas terpenting dalam menghubungkan antara manusia dengan manusia serta hubungan manusia dengan seluruh makhluk di bumi. Rahmah bermaksud sifat belas kasihan, keprihatinan dan kesediaan untuk berbuat baik tanpa mengira latar belakang, kedudukan atau perbezaan yang wujud. Walau bagaimanapun, Syeikh al-Mubarakfuri menegaskan bahawa sifat rahmah mestilah berlandaskan prinsip Islam. Oleh itu, sifat ini tidak boleh diberikan kepada mereka yang melakukan kerosakan di muka bumi.[6]

Dalam konteks pembangunan negara, penjawat awam dan masyarakat perlu memiliki sikap rahmah dengan mengutamakan nilai kasih sayang, empati, toleransi dan ihsan dalam setiap tindakan. Penjawat awam harus memberikan layanan mesra, melaksanakan tugas dengan integriti, peka terhadap keperluan rakyat serta memastikan dasar kerajaan dilaksanakan secara adil dan berperikemanusiaan. Pada masa yang sama, masyarakat perlu mengamalkan sikap saling menghormati, hidup dalam perpaduan, membantu golongan yang memerlukan, mematuhi undang-undang serta menyokong usaha pembangunan negara. Apabila kedua-duanya menghayati nilai rahmah, negara dapat membangun secara lebih harmoni, sejahtera dan inklusif untuk semua.

Atas dasar rahmah, sifat ini menjadi tunjang kepada kewajipan memakmurkan alam. Ia menuntut manusia yang bergelar khalifah untuk bertindak dengan penuh kasih sayang, berhikmah dan bertanggungjawab demi mencapai maqasid ‘umran, bertepatan dengan firman Allah SWT:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

Maksudnya:Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya”.

Surah Hud (61)

Sehubungan itu, tanggungjawab manusia di bumi bukan sekadar menunaikan ibadah kepada Allah SWT, tetapi juga memakmurkan alam mengikut ketetapan-Nya. Hal ini merangkumi usaha membawa rahmah, kebaikan dan kasih sayang yang memberi manfaat kepada seluruh makhluk.[7] Tanggungjawab ini menuntut manusia mengurus alam secara bijaksana, menegakkan keadilan, menghindari kerosakan serta memastikan kesejahteraan bersama tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Melalui penghayatan nilai-nilai rahmah, ihsan dan amanah dalam setiap tindakan, manusia dapat membentuk sebuah kehidupan yang harmoni, seimbang dan diberkati, sekali gus memenuhi tujuan penciptaan mereka sebagai khalifah di muka bumi.

KESIMPULAN

Konsep rahmah dalam Malaysia MADANI menekankan amalan kebaikan dan penghayatan akhlak sebagai asas membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Akhlak dan amal yang mulia diutamakan bersama ilmu syariah supaya manusia mencapai darjat ubudiyyah kepada Allah SWT dan seterusnya darjat khilafah di muka bumi.[8] dengan keadaan demikian, rahmah menjadi roh yang menghidupkan akhlak dan membimbing pelaksanaan syariat agar adil, berhikmah dan memberi manfaat kepada semua. Pendekatan ini menyeimbangkan undang-undang dengan belas kasihan, prinsip dengan akhlak serta peraturan dengan ihsan. Akhirnya, diharapkan gagasan Malaysia MADANI yang digerakkan oleh YAB Perdana Menteri dapat terlaksana dengan cemerlang, memakmurkan masyarakat dan bumi selaras kehendak Allah SWT.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
24 JAMADILAKHIR 1447H / 15 DISEMBER 2025
 
 

Rujukan: 

[1] Prime Minister’s Office, "Verbatim Teks Ucapan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, Sempena Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Kerja Raya," Prime Minister’s Office, accessed 10 December 2025, https://www.pmo.gov.my/ms/ucapanterkini/verbatim-teks-ucapan-yab-dato-seri-anwar-bin-ibrahim-perdana-menteri-sempena-perjumpaan-yab-perdana-menteri-bersama-warga-kementerian-kerja-raya/

[2] Anwar Ibrahim, Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi (Shah Alam, Selangor: Institut Darul Ehsan, 2023). 129-130.

[3] Abu al-Abbas Ahmad bin Umar bin Ibrahim al-Qurtubi, al-Mufhim Lima Ashkala min Talkhis Kitab Muslim, (Beirut: Dar Ibn Kathir, 1417 H / 1996 M). 5: 240. Teks asal:

و(الإحسان) هنا بمعنى: الإحكام، والإكمال، والتحسين في الأعمال المشروعة، فحقُّ من شرع في شيء منها أن يأتي به على غاية كماله، ويحافظ على آدابه المصححة، والمكمِّلة، وإذا فعل ذلك قُبِل عمله، وكَثُر ثوابه.

[4] Al-Sheikh al-Tabib Ahmad Hatibah, Sharh Riyad al-Salihin, transkrip daripada kuliah audio yang disediakan oleh Laman Web Islam, IslamWeb, http://www.islamweb.net; versi teks boleh diakses di Shamela: https://shamela.ws/book/36997. 50: 5. Teks asal:

عن أبي يعلى رضي الله عنه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: (إن الله كتب الإحسان على كل شيء) أي: إن الله يحب المحسنين، فأحسن في كل شيء، فأحسن إلى نفسك، وأحسن إلى غيرك، وأحسن حتى في قتالك لأعدائك.

[5] Zayn al-Din Abu al-Faraj ‘Abd al-Rahman ibn Shihab al-Din al-Baghdadi thumma al-Dimashqi (Ibn Rajab), Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam fi Sharh Khamsin Hadithan min Jawami‘ al-Kalim, al-Muhaqqiq Shuaib al-Arna’ut wa Ibrahim Bajes (Beirut: Mu’assasat al-Risalah, 1417 H/1997 M). 1: 382. Teks asal:

والإحسانُ الواجبُ في معاملة الخلق ومعاشرتهم: القيامُ بما أوجب الله من حقوق ذلك كلِّه، والِإحسانُ الواجب في ولاية الخلق وسياستهم، القيام بواجبات الولاية كُلِّها، والقدرُ الزائد على الواجب في ذلك كلِّه إحسانٌ ليس بواجب.

[6] Al-Mubarakfuri, Muhammad ‘Abd al-Rahman, “Tuhfah al-Ahwudhi bi Sharh Jami’ al-Tirmidhi”, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 6:43.

أَيْ يُحْسِنُ إِلَيْهِمْ وَيَتَفَضَّلُ عَلَيْهِمْ وَالرَّحْمَةُ مُقَيَّدَةٌ بِاتِّبَاعِ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ فَإِقَامَةُ الْحُدُودِ وَالِانْتِقَامِ لِحُرْمَةِ اللَّهِ لَا يُنَافِي كُلٌّ مِنْهُمَا الرَّحْمَةَ.

[7] Al-Qaradaghi, ‘Ali Muhyi al-Din, Al-Irtiqā’ min Maqāṣid al-Sharīʻah ilā al-Manẓūmah al-Maqāṣidiyyah, (Istanbul: Dār al-Aṣālah, 2023), 136.

أننا لا نريد بكون الإنسان خليفة لله تعالى أنه نائب عنه، وإنما هو مكلف من الله تعالى بتنفيذ ما وكل إليه تشريعا من جانب، وتكليفا من جانب آخر؛ حيث كلفه الله باستعمار الأرض، فقال تعالى: ﴿هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا﴾ هود: 61؛ أي طلب منكم تعمير الأرض وفق إرادة الله تعالى، من تحقيق الإصلاح والخير والرحمة للجميع.

[8] Al-Raghib al-Asfahaniy, Abū al-Qāsim al-Ḥusayn bin Muḥammad, “Al-Dharīʻah ilā Makārim al-Sharīʻah”, (Kaherah: Dār al-Salām, 2007), 60. Teks asal:

وقد استخرت الله الآن، وعملت في ذلك كتابًا ليكون ذريعة إلى مكارم الشريعة، وبينت كيف يصل الإنسان إلى منزلة العبودية التي جعلها الله تعالى شرفا للأتقياء، وكيف يترقى عنها إذا وصلها إلى منزلة الخلافة التي جعلها الله تعالى شرفا للصديقين والشهداء. فبالجمع بين أحكام الشرع ومكارمه علما، وإبرازهما عملا يكتسب العلا، ويتم التقوى، ويبلغ إلى جنة المأوى.