Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 129 /2026 : ISU BERKAITAN ISTILAH ‘MENUNGGANG AGAMA’ DAN LARANGAN TERHADAPNYA

t.jpeg

ISU BERKAITAN ISTILAH ‘MENUNGGANG AGAMA’ DAN LARANGAN TERHADAPNYA

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Istilah ‘menunggang agama’ merupakan suatu istilah yang timbul dalam kalangan masyarakat yang secara umumnya difahami merujuk kepada suatu perbuatan yang menjadikan agama sebagai alasan untuk melindungi peribadi dan alat untuk mengaut kepentingan dunia seperti harta, pengaruh dan status.

Walau bagaimanapun, pada pandangan kami, istilah ini tidak wajar untuk disebarkan dan digunakan secara berleluasa dalam kalangan awam kerana ia membawa kepada generalisasi terhadap semua golongan yang terlibat dalam agama tanpa membezakan antara mereka yang ikhlas dan tidak, sedangkan lebih ramai golongan yang ikhlas dalam memperjuangkan dan meninggikan syiar agama ini daripada para ulama, pendakwah dan asatizah.

Oleh yang demikian, kami menasihati semua pihak tanpa mengira apa jua kedudukannya supaya berhati-hati dalam menggunakan istilah agama kerana bermudah-mudah menggunakan istilah ini boleh membawa kepada kerosakan pada pemikiran dan amalan.

Apa yang lebih baik adalah dirujuk sebagai ‘eksplotasi agama’ yang memberi makna yang lebih tepat dan konotasi yang lebih objektif terhadap perbuatan tersebut. Hal ini kerana istilah "eksploitasi agama" memfokuskan kepada perbuatan atau tindakan itu sendiri iaitu proses menyalahgunakan sesuatu di luar had yang wajar untuk kepentingan sendiri berbanding istilah "menunggang" yang lebih berkonotasi negatif, kasar dan cenderung membawa sindiran serta tuduhan peribadi terhadap pelaku.

Selain itu, istilah ‘eksploitasi agama’ turut lebih tepat menggambarkan struktur hubungan kuasa dalam fenomena tersebut iaitu wujudnya pihak yang mengambil kesempatan (mengeksploitasi) dan pihak yang dieksploitasi (orang awam yang tertipu atau diperdaya), sejajar dengan makna sebenar dalil-dalil daripada al-Quran dan Sunnah. Sebagai conoth Allah SWT mengecam perbuatan golongan paderi Yahudi dan Nasrani yang mengekploitasi agama mereka. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ الْأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۗ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam).

(Surah al-Taubah: 34)

Begitu juga dalam firman-Nya yang lain, Allah SWT mencela golongan paderi Yahudi dan Nasrani yang mengubah kitab-kitab suci mereka dan memanipulasikan agama dengan bertujuan untuk membeli habuan dunia yang sedikit. Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِندِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ

Maksudnya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit.

(Surah al-Baqarah: 79)

Inilah perbuatan eksploitasi agama yang sebenar ditunjukkan dalam al-Quran oleh golongan agamawan yang sememangnya niat dan tujuan mereka daripada awal untuk mengambil harta orang ramai secara batil. Hal ini sudah tentu perbuatan yang terkutuk dan tercela kerana sanggup mempermainkan agama demi untuk habuan duniawi yang hina.

Selain daripada itu, Rasulullah SAW juga mengisyaratkan kepada golongan yang memanipulasi dan mengekploitasi agama untuk tujuan keduniaan. Sabda Rasulullah SAW:

يخرجُ في آخرِ الزَّمانِ رجالٌ يختلونَ الدُّنيا بالدِّينِ يَلبسونَ للنَّاسِ جلودَ الضَّأنِ منَ اللِّينِ، ألسنتُهُم أحلَى منَ العسلِ، وقلوبُهُم قلوبُ الذِّئابِ ، يقولُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ : أبي يغترُّونَ، أم عليَّ يجترِئونَ ؟ فبي حلفتُ لأبعثنَّ علَى أولئِكَ منهُم فتنةً تدعُ الحليمَ حيرانَ.

 

Maksudnya: Akan keluar pada akhir zaman sekelompok lelaki yang memperdaya manusia dengan menggunakan agama untuk mendapatkan dunia. Mereka memakai untuk manusia kulit domba kerana kelembutannya (menampakkan sikap lemah-lembut dan kezuhudan pada zahirnya), lidah-lidah mereka lebih manis daripada gula-gula, sedangkan hati-hati mereka adalah hati serigala. Allah Taala berfirman: “Apakah terhadap-Ku mereka berani memperdayakan? Atau terhadap-Ku mereka berani bertindak dengan kurang ajar? Demi dzat-Ku, sungguh Aku akan mengirimkan kepada mereka suatu fitnah yang akan menjadikan orang yang paling penyantun lagi bijaksana dalam kalangan mereka berada dalam kebingungan.”

Riwayat al-Tirmidzi

Hadis ini menggambarkan tepat apa yang dimaksudkan dengan perbuatan eksploitasi agama iaitu apabila seseorang berpakaian, bercakap dan berkelakuan seolah-olah alim dan warak, namun tidak ikhlas kepada Allah, sebaliknya menjadikan agama sebagai topeng untuk menarik kepercayaan orang ramai supaya dia mudah mendapat wang, pengaruh atau kedudukan. Oleh yang demikian, orang awam akan mudah tertipu kerana yang dilihat hanyalah zahir pakaian yang sopan, tutur kata yang lembut dan manis, sedangkan niat sebenar di sebalik itu adalah keuntungan dunia semata-mata, ibarat ‘hati serigala’ yang tersembunyi di sebalik ‘kulit domba’. Ia merupakan keadaan akhir zaman yang jelas disebutkan di dalam hadis ini sehingga disifatkan orang yang bijaksana pun berada dalam kebingungan.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, penggunaan istilah ‘menunggang agama’ ini sudah melebihi daripada apa yang sepatutnya kerana telah membentuk suatu generalisasi yang tidak adil kepada beberapa golongan, sedangkan mereka tidak tergolong dalam kelompok tersebut. Oleh itu, perlu untuk dijelaskan semula dengan istilah yang lebih tepat seperti eksploitasi dan manipulasi agama. Selain daripada itu, kita dapat memahami kenapa perbuatan ekploitasi agama ini dilarang keras dalam agama. Hal ini kerana ia bukan sahaja menipu manusia, tetapi juga sanggup mempermainkan nama Allah dan agama-Nya untuk kepentingan peribadi. Dalam hadis ini, Allah SWT murka dan mengancam golongan sedemikian dengan fitnah dan ujian yang begitu berat sehingga tiada siapa, sekalipun orang yang bijaksana, mampu mengelaknya. Ini menjadi peringatan kepada setiap Muslim agar tidak mudah terpedaya dengan penampilan luaran semata-mata tanpa menyelidik lebih dalam sebelum memberi kepercayaan, hart atau ketaatan buta kepada mana-mana individu yang menggunakan agama. Begitu juga, buat sesiapa yang terlibat dalam dakwah, ilmu atau kerja-kerja agama sentiasa menjaga niat semata-mata kerana Allah dan melakukannya demi untuk mendapat keredaanNya semata-mata.

Waallahu a’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN