
BERBEZA PILIHAN POLITIK, BERSAMA MEMBINA NEGARA
PENDAHULUAN
Pilihan raya berlangsung pada tempoh tertentu, tetapi kehidupan bersama berterusan jauh selepas keputusan diumumkan. Dalam politik, ada yang menilai calon, ada yang melihat rekod parti dan ada yang lebih menekankan dasar yang ditawarkan. Perbezaan seperti ini lumrah dalam sebuah negara yang memberi ruang kepada pilihan. Apabila perbezaan pilihan dibawa sehingga saudara dianggap musuh, kebaikan hanya diukur melalui warna parti atau agama digunakan untuk mengesahkan satu pihak secara mutlak, maka perbezaan yang asalnya boleh diurus mula merosakkan ukhuwah dan kehidupan bersama.
Di sinilah mizan Islam diperlukan. Islam tidak menuntut semua orang berpolitik dengan cara yang sama, tetapi mengajar supaya perbezaan kekal berada dalam batas adab, keadilan dan tanggungjawab. Selepas persaingan politik selesai, masyarakat tetap hidup dalam negara yang sama, di bawah satu pemerintahan yang perlu mengurus kepentingan semua. Justeru, yang perlu dijaga bukan hanya hak untuk berbeza, tetapi juga persaudaraan, kestabilan pemerintahan dan kesediaan bekerjasama pada perkara yang membawa kebaikan.
BERBEZA PILIHAN, UKHUWAH TETAP DIJAGA
Islam memberi ruang kepada perbezaan yang lahir daripada pertimbangan dan ijtihad, tetapi meletakkan batas supaya perbezaan itu tidak memutuskan persaudaraan. Asas ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.”
Surah Ali ‘Imran (103)
Ayat ini tidak bermaksud semua Muslim mesti mempunyai pandangan yang sama dalam setiap urusan. Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa para sahabat sendiri berbeza dalam beberapa persoalan hukum, namun mereka tetap hidup dalam keadaan saling berhubung dan bersatu.[1] Dalam bahasa yang mudah, ikhtilaf ialah perbezaan pandangan yang masih boleh diurus dengan ilmu, dialog dan adab, manakala tafarruq ialah perpecahan yang melahirkan kebencian, pemulauan dan permusuhan. Maka, yang ditegah bukan kewujudan perbezaan semata-mata, tetapi perubahan perbezaan itu menjadi sebab rosaknya hubungan sesama Muslim.
Semangat ini turut terlihat pada adab Imam al-Syafi‘i ketika berbeza pandangan. Yunus al-Sadafi meriwayatkan bahawa beliau pernah berbahas dengan Imam al-Syafi‘i dalam satu masalah. Setelah mereka berpisah, Imam al-Syafi‘i menemuinya semula, memegang tangannya lalu berkata:
يَا أَبَا مُوسَى، أَلَا يَسْتَقِيمُ أَنْ نَكُونَ إِخْوَانًا وَإِنْ لَمْ نَتَّفِقْ فِي مَسْأَلَةٍ
Maksudnya: “Wahai Abu Musa, tidakkah kita masih boleh bersaudara walaupun kita tidak sepakat dalam satu perkara?”[2]
Ungkapan ini sangat halus. Imam al-Syafi‘i tidak menjadikan perbezaan dalam satu masalah sebagai alasan untuk memutuskan persaudaraan. Al-Dhahabi melihat sikap ini sebagai tanda kematangan akal dan kefahaman beliau. Dalam politik, pelajarannya jelas: pendirian boleh berbeza, tetapi saudara tidak harus berubah menjadi musuh. Ketegasan pada prinsip tetap boleh berjalan bersama keadilan dan tutur kata yang baik.
Politik berada dalam ruang yang perlu diurus dengan neraca ini. Seseorang boleh memilih parti atau calon yang berlainan tanpa merendahkan agama pihak lain. Parti politik ialah wadah usaha manusia; pimpinan, dasar dan pendekatannya boleh berubah. Oleh itu, parti tidak wajar dijadikan ukuran mutlak iman atau nilai seseorang di sisi Allah. Kita boleh tegas mempertahankan prinsip, tetapi ketegasan itu tetap perlu disertai keadilan, tutur kata yang baik dan kesediaan mengakui kebaikan walaupun datang daripada pihak yang tidak disokong.
SELEPAS BERBEZA, NEGARA TETAP PERLU DIBINA BERSAMA
Perbezaan ketika pilihan raya tidak menghapuskan keperluan kepada satu pentadbiran selepas kerajaan terbentuk. Negara tetap memerlukan pihak yang mempunyai kuasa sah untuk menyelaras urusan bersama. Imam al-Mawardi menjelaskan bahawa melalui pemerintahan, kata sepakat dapat dihimpunkan, urusan umum dapat ditertibkan dan maslahat umat dapat disusun dengan baik.[3] Penyatuan di bawah sebuah kerajaan yang sah kerana itu tidak bermaksud semua orang mesti menjadi penyokong parti pemerintah. Maksudnya ialah masyarakat menerima bahawa urusan negara perlu berjalan melalui aturan yang sah, sementara perbezaan politik terus diurus tanpa mengganggu keselamatan, perkhidmatan awam dan kepentingan bersama.
Imam al-Ghazali pula mengingatkan bahawa kehidupan dunia serta keamanan jiwa dan harta tidak dapat tersusun tanpa pemerintahan yang ditaati.[4] Pandangan ini membantu menjelaskan maksud pemerintahan yang kukuh. Kekukuhan bukan bererti pemerintah kebal daripada teguran atau satu parti perlu kekal berkuasa. Ia merujuk kepada pemerintahan yang beramanah, mempunyai kewibawaan untuk melaksanakan undang-undang dan disokong oleh institusi yang dapat menjalankan tanggungjawab dengan tertib. Dengan asas ini, kerajaan boleh bertukar melalui proses yang sah, tetapi negara tidak perlu kehilangan kestabilan setiap kali berlaku perubahan politik.
Penyatuan juga tidak perlu dibina melalui tekanan agama yang menjadikan kesetiaan kepada parti seolah-olah ukuran keselamatan seseorang di akhirat. Agama memang membimbing politik, tetapi soal pahala, dosa, syurga dan neraka mempunyai disiplin wahyu yang tersendiri. Imam al-Tahawi menegaskan sikap berhati-hati Ahli Sunnah Waljamaah dengan tidak menentukan seseorang secara khusus sebagai penghuni syurga atau neraka tanpa sandaran yang sah.[5] Maka, agama seharusnya membentuk amanah, keadilan dan akhlak dalam politik, bukan menjadi alat untuk menutup ruang pertimbangan atau memaksa kesetiaan kepartian.
POLITIK YANG MATANG MENJAGA AGAMA DAN KEHIDUPAN BERSAMA
Apabila sebuah kerajaan telah terbentuk melalui aturan yang sah, maka tanggungjawab membina negara tidak terhenti pada penyokong pihak yang memerintah. Keselamatan, pendidikan, ekonomi, kebajikan, undang-undang dan kemudahan awam menyentuh kehidupan semua pihak. Sesuatu usaha yang jelas membawa manfaat kerana itu wajar dibantu berdasarkan kebaikannya, bukan semata-mata berdasarkan siapa yang melaksanakannya. Prinsip ini selari dengan firman Allah SWT
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu saling membantu dalam kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling membantu dalam dosa dan pencerobohan.”
Surah al-Ma’idah (2)
Kerjasama seperti ini tetap mempunyai ukuran. Ia tidak bermaksud semua keputusan kerajaan mesti diterima tanpa penilaian. Imam al-Nawawi ketika menghuraikan kewajipan nasihat kepada pemerintah menjelaskan bahawa nasihat kepada mereka termasuklah membantu pada perkara yang benar, mentaati dalam perkara tersebut serta mengingatkan dengan lembut jika ada perkara yang perlu diperbetulkan.[6] Penjelasan ini menunjukkan bahawa kerjasama dan nasihat tidak saling menafikan. Perkara yang baik boleh disokong, perkara yang kurang tepat boleh diperbaiki dan perbezaan pandangan boleh disampaikan dengan adab.
Kerjasama ini sebenarnya menjaga dua perkara serentak, iaitu sikap orang yang berpolitik dan kesan politik terhadap kehidupan bersama. Dalam kerangka Maqasid Tadayyun, al-Shatibi menjelaskan bahawa antara tujuan syariat termasuklah mengeluarkan manusia daripada dorongan hawa nafsu supaya dia tunduk kepada Allah dengan pilihannya.[7] Ini mengingatkan seseorang supaya tidak membiarkan ketaksuban kelompok mengatasi keadilan. Dari sudut Maqasid ‘Umran pula, Ibn ‘Ashur menjelaskan bahawa antara tujuan umum syariat termasuklah memelihara keteraturan umat dan memastikan kebaikan kehidupan mereka dapat berterusan.[8] Dengan kata lain, kematangan politik bukan hanya terlihat pada cara seseorang memilih, tetapi juga pada cara dia menjaga dirinya selepas membuat pilihan dan pada kesan tindakannya terhadap masyarakat serta negara.
Dalam konteks Malaysia hari ini, pendekatan ini selari dengan semangat Malaysia MADANI yang mengangkat nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.[9] Bagi isu perbezaan politik, nilai Hormat, Keyakinan, Ihsan dan Kesejahteraan sangat dekat dengan keperluan semasa. Hormat membantu kita berbeza tanpa menghina, Keyakinan menguatkan amanah antara pemerintah dengan masyarakat, Ihsan mengingatkan kepentingan pihak lain dan Kesejahteraan mengarahkan persaingan politik kepada hasil yang memberi manfaat bersama. Perbezaan tidak perlu dihapuskan untuk membina negara; yang diperlukan ialah kemampuan mengurus perbezaan dengan matang dan terus bekerjasama pada perkara yang baik.
KESIMPULAN
Perbezaan politik tidak perlu dihapuskan untuk menjaga ukhuwah. Yang diperlukan ialah kemampuan membezakan antara perbezaan yang masih boleh diurus dengan perpecahan yang merosakkan hubungan, serta kesediaan menerima bahawa selepas persaingan politik selesai, negara tetap perlu ditadbir dan dibina bersama. Kerajaan yang stabil dan beramanah menyediakan ruang untuk urusan masyarakat berjalan, sementara masyarakat pula memelihara hak untuk bekerjasama, menasihati dan berbeza pandangan secara bertanggungjawab.
Pilihan politik boleh berubah dan kerajaan boleh bertukar melalui proses yang sah, tetapi ukhuwah, amanah terhadap wahyu dan tanggungjawab membina negara tidak sepatutnya berubah menjadi mangsa persaingan. Apabila agama benar-benar menjadi mizan kepada politik, maka seseorang tidak lagi menilai segala-galanya melalui warna parti. Kebaikan dapat disokong kerana ia baik, kesalahan dapat ditegur kerana ia perlu diperbaiki dan perbezaan dapat diurus tanpa memutuskan persaudaraan. Inilah sikap yang membantu politik menjadi jalan khidmat serta menyumbang kepada negara yang lebih adil, stabil dan sejahtera.
S.S. Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil
Mufti Wilayah Persekutuan
[1]Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, ed. Ahmad al-Barduni dan Ibrahim Atfayyish, ed. ke-2 (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964), 4:159. Teks asal: «وَلَيْسَ فِي الْآيَةِ دَلِيلٌ عَلَى تَحْرِيمِ الِاخْتِلَافِ فِي الْفُرُوعِ ... وَمَا زَالَتِ الصَّحَابَةُ يَخْتَلِفُونَ فِي أَحْكَامِ الْحَوَادِثِ، وَهُمْ مَعَ ذَلِكَ مُتَآلِفُونَ».
[2] Shams al-Din Muhammad ibn Ahmad al-Dhahabi, Siyar A‘lam al-Nubala’, ed. Shu‘ayb al-Arna’ut et al., ed. ke-3 (Beirut: Mu’assasat al-Risalah, 1985), 10:16–17. Riwayat Yunus al-Sadafi. Al-Dhahabi ketika mengulas kisah ini berkata: «هَذَا يَدُلُّ عَلَى كَمَالِ عَقْلِ هَذَا الْإِمَامِ، وَفِقْهِ نَفْسِهِ، فَمَا زَالَ النُّظَرَاءُ يَخْتَلِفُونَ».
[3]Abu al-Hasan ‘Ali ibn Muhammad al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah (Kaherah: Dar al-Hadith, t.t.), 4. Teks asal: «وَتَجْتَمِعَ الْكَلِمَةُ عَلَى رَأْيٍ مَتْبُوعٍ، فَكَانَتِ الْإِمَامَةُ أَصْلًا عَلَيْهِ اسْتَقَرَّتْ قَوَاعِدُ الْمِلَّةِ، وَانْتَظَمَتْ بِهِ مَصَالِحُ الْأُمَّةِ».
[4]Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, ed. ‘Abd Allah Muhammad al-Khalili (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2004), 128. Teks asal: «إِنَّ الدُّنْيَا وَالْأَمْنَ عَلَى الْأَنْفُسِ وَالْأَمْوَالِ لَا يَنْتَظِمُ إِلَّا بِسُلْطَانٍ مُطَاعٍ».
[5]Abu Ja‘far Ahmad ibn Muhammad al-Tahawi, Matn al-‘Aqidah al-Tahawiyyah (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1995), 21. Teks asal: «وَلَا نُنَزِّلُ أَحَدًا مِنْهُمْ جَنَّةً وَلَا نَارًا ... وَنَذَرُ سَرَائِرَهُمْ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى».
[6]Yahya ibn Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, ed. ke-2 (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1392H), 2:38. Teks asal: «مُعَاوَنَتُهُمْ عَلَى الْحَقِّ، وَطَاعَتُهُمْ فِيهِ، وَأَمْرُهُمْ بِهِ، وَتَنْبِيهُهُمْ وَتَذْكِيرُهُمْ بِرِفْقٍ وَلُطْفٍ».
[7]Abu Ishaq Ibrahim ibn Musa al-Shatibi, al-Muwafaqat, ed. Abu ‘Ubaydah Mashhur ibn Hasan Al Salman (al-Khobar: Dar Ibn ‘Affan, 1997), 2:289–290. Teks asal: «الْمَقْصِدُ الشَّرْعِيُّ مِنْ وَضْعِ الشَّرِيعَةِ إِخْرَاجُ الْمُكَلَّفِ عَنْ دَاعِيَةِ هَوَاهُ؛ حَتَّى يَكُونَ عَبْدًا لِلَّهِ اخْتِيَارًا».
[8]Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur, Maqasid al-Shari‘ah al-Islamiyyah, ed. Muhammad al-Habib Ibn al-Khawjah (Qatar: Wizarat al-Awqaf wa al-Shu’un al-Islamiyyah, 2004), 3:194. Teks asal: «أَنَّ الْمَقْصِدَ الْعَامَّ مِنَ التَّشْرِيعِ فِيهَا هُوَ حِفْظُ نِظَامِ الْأُمَّةِ، وَاسْتِدَامَةُ صَلَاحِهِ».
[9]Kerajaan Malaysia, “Pengenalan Malaysia MADANI,” Portal Rasmi Malaysia MADANI, diakses 8 September 2026, https://malaysiamadani.gov.my/pengenalan/.