
MEMBINA GENERASI AL-QURAN MELALUI TILAWAH DAN TALAQQI
Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 Tahun 1448H/2026M merupakan antara usaha berterusan dalam menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran. Program ini memperlihatkan komitmen Malaysia dalam memartabatkan al-Quran serta melahirkan generasi yang dekat dengan al-Quran.
Al-Quran merupakan asas dalam pembentukan generasi yang beriman, berilmu serta berakhlak. Sejarah umat Islam menunjukkan bahawa kekuatan generasi awal bukan sekadar terletak pada kemampuan mereka membaca al-Quran, tetapi pada penghayatan dan penerapan al-quran dalam kehidupan. Penghayatan tersebut membentuk keperibadian mereka, sekali gus membawa perubahan besar dalam masyarakat. Firman Allah SWT:
كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
Surah Sad (29)
Kemunduran umat Islam bukan kerana al-Quran telah berubah, tetapi kerana umat Islam sendiri telah berubah dalam penghayatan dan pengamalan terhadap ajaran yang terkandung dalamnya. Al-Quran tetap tidak berubah, sebaliknya manusia perlu berusaha mengubah keadaan dirinya daripada sikap yang hanya mengharapkan pertolongan Allah SWT tanpa usaha dan pengorbanan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Surah al-Ra‘d (11)
Melahirkan Generasi al-Quran
Generasi al-Quran ialah generasi yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, bukan sekadar bahan bacaan. Mereka membaca al-Quran untuk memahami dan menghayati nilai yang terkandung dalam al-Quran lalu menterjemahkannya dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat pada generasi awal Islam. Apabila mereka menerima Islam, berlaku perubahan yang menyeluruh terhadap kehidupan mereka. Mereka disatukan dan dibentuk dengan nilai kasih sayang setelah melalui kehidupan yang penuh persengketaan. Perubahan tersebut menunjukkan bahawa al-Quran mampu membentuk manusia apabila benar-benar dihayati dan diamalkan. Bertepatan dengan firman Allah SWT:
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُّتَشَابِهًا مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.”
Surah al-Zumar (23)
Dalam usaha membentuk generasi al-Quran, tradisi bertalaqqi dengan guru mempunyai kedudukan yang penting. Talaqqi al-Quran bermaksud proses mempelajari al-Quran secara berhadapan dengan guru yang mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bacaan al-Quran. Melalui kaedah ini, bacaan dapat dipelajari secara tepat, diperbetulkan secara langsung dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya. Mengambil contoh perbuatan Baginda SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ ـ عَلَيْهِ السَّلاَمُ ـ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ.
Maksudnya: “Nabi SAW merupakan manusia yang paling pemurah. Baginda menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS menemuinya. Jibril AS menemuinya pada setiap malam sepanjang bulan Ramadan untuk bermudarasah al-Quran bersama Baginda. Ketika itu, Rasulullah SAW lebih pemurah dalam melakukan kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”
Riwayat al-Bukhari
Talaqqi juga membentuk hubungan yang lebih dekat antara guru dengan murid. Murid bukan sekadar mempelajari cara membaca ayat al-Quran, bahkan belajar adab bersama al-Quran, disiplin menuntut ilmu dan kesungguhan dalam mempelajarinya. Oleh itu, tradisi talaqqi bukan hanya berkaitan dengan pembetulan sebutan dan bacaan, tetapi turut menyumbang kepada pembentukan keperibadian individu Muslim yang dekat dengan al-Quran. Bahkan Baginda SAW memuliakan mereka yang memperlajari dan mengajar al-Quran. Sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Maksudnya: “Sebaik-baik dalam kalangan kalian ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”
Riwayat al-Bukhari
Dalam konteks hari ini, kemudahan teknologi telah membuka ruang yang luas untuk masyarakat membaca dan mempelajari al-Quran. Aplikasi digital, rakaman bacaan dan pelbagai platform pembelajaran dapat membantu seseorang mendekati al-Quran. Namun, kemudahan tersebut tidak seharusnya menyebabkan tradisi berguru dan talaqqi ditinggalkan. Teknologi boleh menjadi alat bantu, tetapi pembentukan generasi al-Quran tetap memerlukan bimbingan daripada guru.
Pembentukan generasi al-Quran tidak seharusnya terhenti pada kemampuan membaca dan menghafaz al-Quran, tetapi perlu diteruskan kepada proses penerapan isi kandungannya dalam kehidupan. Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 Tahun 1448H/2026M merupakan antara usaha penting dalam menyemarakkan budaya al-Quran. Penyertaan peserta dari pelbagai negara memperlihatkan bahawa al-Quran terus menjadi titik pertemuan umat Islam merentasi bangsa dan negara.
Wallahu’alam
S.S. Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil
Mufti Wilayah Persekutuan