Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 144/2026 : GARIS PANDUAN PODCAST

T.jpeg

 

GARIS PANDUAN PODCAST

 

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan teknologi digital, kaedah penyampaian ilmu serta perkongsian maklumat turut mengalami perubahan. Pelbagai platform komunikasi kini digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Antaranya ialah podcast yang semakin mendapat perhatian melalui pendekatan bual bicara yang santai, interaktif dan dekat dengan kehidupan seharian sekali gus menjadikannya medium yang menarik untuk ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Pengenalan Podcast

Podcast ialah medium penyampaian kandungan berbentuk audio atau audiovisual yang membolehkan perkongsian maklumat, ilmu, pengalaman dan pandangan melalui perbincangan atau bual bicara. Kandungannya boleh merangkumi pelbagai bidang seperti pendidikan, agama, kesihatan, kekeluargaan, kerjaya dan isu semasa.

Walaupun podcast memberikan ruang kepada kebebasan bersuara dan perkongsian pandangan, kebebasan tersebut hendaklah disertai tanggungjawab untuk memastikan setiap penyampaian tidak bercanggah dengan prinsip syarak, tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar serta tidak menjejaskan maruah dan keharmonian masyarakat.

Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi bagi memastikan pengendalian podcast selaras dengan prinsip syarak dan adab Islam.

Adab dan Akhlak dalam Bual Bicara

Dalam setiap penyampaian kandungan podcast, adab dan kesantunan berbahasa hendaklah sentiasa dipelihara dengan menggunakan tutur kata yang sopan serta menghormati pandangan orang lain. Sebarang perbezaan pendapat wajar ditangani secara berhemah tanpa unsur penghinaan, provokasi atau ungkapan yang boleh menyinggung perasaan. Firman Allah SWT:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”

Surah al-Baqarah (83)

 

Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan istilah baik seperti yang terkandung dalam ayat di atas menyatakan bahawa ia merangkumi perbuatan seperti melafazkan pertuturan yang baik, mengambil pendekatan untuk bersifat lemah lembut, melaksanakan amar makruf dan nahi munkar[1]. Al-Maraghi kemudiannya menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai tuntutan ini. Menurut beliau, manusia secara umumnya mengalami kesukaran untuk berbuat baik dari sudut kehartaan seperti mengeluarkan harta untuk bersedekah, infak, memberikan hadiah dan seumpamanya. Hal ini kerana tidak semua manusia dikurniakan kelebihan dari sudut harta. Oleh itu, tuntutan untuk bersikap baik sama ada dari sudut perkataan mahupun perbuatan sesama manusia ditaklifkan ke atas setiap orang yang beriman tanpa mengira latar belakang mereka[2].

Dalil dan penjelasan di atas menjadi asas terhadap tuntutan ke atas setiap orang yang beriman agar sentiasa memelihara pertuturan dan perbuatan dalam apa jua tindakan yang dilakukan. Lebih-lebih lagi dalam perkembangan teknologi semasa yang memudahkan masyarakat untuk menerima maklumat daripada pelbagai sumber.

 

Kesahihan Maklumat dan Prinsip Tabayyun

Setiap kandungan podcast hendaklah berasaskan maklumat yang sahih dan sumber yang boleh dipercayai. Penyampaian maklumat perlu dilakukan secara bertanggungjawab dengan mengelakkan dakwaan yang tidak berasas atau maklumat yang boleh mengelirukan masyarakat, khususnya dalam perkara yang melibatkan agama, kesihatan dan kepentingan awam.

Prinsip tabayyun sesuatu kandungan sebelum menerima atau menyebarkannya amat penting dalam memastikan maklumat yang disampaikan dapat dipertanggungjawabkan. Imam al-Syaukani menjelaskan maksud tabayyun ialah mencari tahu dan memeriksa secara teliti, manakala tasabbut pula ialah berhati-hati, tidak tergesa-gesa serta mencermati perkara yang berlaku dan berita yang diterima sehingga ia menjadi jelas dan nyata.[3]

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

Riwayat al-Tirmizi

 

Al-Munawi dalam menghuraikan hadis di atas telah menegaskan bahawa hadis ini juga menjadi dalil terhadap keperluan bagi orang yang beriman untuk berfikir dan menapis terlebih dahulu sebelum menuturkan sesuatu perkataan. Dengan perkataan yang lain, mengambil pendekatan untuk tabayyun atau memastikan kebenaran sesuatu maklumat sebelum menyampaikan kepada pihak lain. Beliau kemudian menjelaskan larangan daripada menyampaikan sesuatu perkara yang berasaskan kepentingan nafsu dan mendatangkan pujian orang ramai ke atas diri sendiri[4].

Bahkan Imam al-Ghazali juga memberikan peringatan yang keras terhadap golongan yang menyalahgunakan nikmat lidah dan lisan bagi tujuan-tujuan yang bertentangan dengan hakikat asal penciptaannya. Beliau menegaskan golongan yang bersikap demikian hanyalah menempatkan diri mereka ke dalam neraka yang penuh dengan azab dan seksaan[5].

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Surah al-Isra’ (36)

Rasulullah SAW bersabda:

شِرَارُ عِبَادَ اللهِ المَشَّاؤُونَ بِالنَمِيمَةِ، المُفَرِّقُونَ بَيْنَ الأَحِبَّةِ، البَاغُونَ لِلبُرَءاءِ العَيْبَ

Maksudnya: “Sejahat-jahat hamba Allah SWT ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah belah antara orang-orang yang berkasih sayang, yang melampau dan mengenakan keburukan serta aib terhadap orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.”

Riwayat Imam Ahmad

Larangan Fitnah dan Mengaibkan

Pengendali podcast hendaklah mengelakkan penyebaran fitnah, tuduhan tanpa bukti, umpatan, penghinaan dan pendedahan keburukan individu yang tidak mempunyai keperluan yang dibenarkan oleh syarak. Perbincangan tentang isu semasa atau kontroversi hendaklah dibuat secara bertanggungjawab tanpa menjadikan aib seseorang sebagai bahan hiburan atau tarikan penonton. Firman Allah SWT:

وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا

Maksudnya: “Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain.”

Surah al-Hujurat (12)

 

Imam al-Tabari menjelaskan maksud al-Ghibah dalam ayat ini sebagai perbuatan menceritakan sesuatu perkara tanpa pengetahuan seseorang, dan perkara tersebut dibenci atau tidak disukai apabila diucapkan di hadapannya secara langsung[6]. Ibn Kathir kemudian menegaskan bahawa perbuatan mengumpat ini adalah diharamkan secara ijmak. Pengecualian terhadap pengharaman tersebut hanyalah terpakai dalam keadaan yang telah dikenal pasti maslahahnya seperti ketika melakukan proses al-jarh wa ta'dil dalam ilmu hadis dan memberikan nasihat[7]. Al-Razi menggunakan kaedah perbandingan terhadap perbuatan mengumpat dengan perbuatan memakan bangkai ketika darurat. Keharusannya hanyalah tertakluk dalam keadaan yang mendesak dan memerlukan sahaja. Sekiranya keadaan tersebut telah kembali kepada asal, maka hukumnya tetap kembali kepada haram[8]. Al-Maraghi menegaskan bahawa tiada khilaf dalam kalangan ulama berhubung perbuatan mengumpat yang termasuk dalam dosa-dosa besar hingga mewajibkan seseorang untuk bertaubat dan beristighfar setelah melakukannya[9].

Oleh itu, pengendali podcast hendaklah mengelakkan kandungan yang bertujuan menjatuhkan reputasi seseorang, mengapi-apikan perselisihan atau menggalakkan kebencian. Sekiranya sesuatu isu perlu dibincangkan demi kepentingan awam, perbincangan hendaklah berasaskan fakta, menggunakan bahasa yang adil dan tidak melampaui batas.

Menjaga Maruah dan Privasi

Penghasilan kandungan podcast hendaklah mengambil kira hak individu terhadap maruah, privasi dan maklumat peribadi mereka. Pendedahan maklumat peribadi, rakaman perbualan, gambar atau perkara yang boleh mengenal pasti seseorang perlu dilakukan dengan cermat serta mengambil kira keizinan pihak yang terlibat dan batasan yang ditetapkan oleh syarak. Firman Allah SWT:

وَلَا تَجَسَّسُوا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.”

Surah al-Hujurat (12)

Larangan Mempromosikan Perkara yang Haram

Setiap pengendali dan pencipta kandungan podcast bertanggungjawab memastikan perbincangan yang dibawa tidak mempromosi atau menormalisasikan perbuatan yang dilarang dalam syariat. Hal ini merangkumi pemilihan topik, pemilihan tetamu jemputan serta bentuk tajaan yang diterima agar tidak menyentuh atau memberi ruang kepada perkara yang haram seperti perjudian, bahan terlarang, pergaulan bebas atau gaya hidup yang merosakkan akhlak.

Apabila isu sensitif yang haram atau perlakuan dosa dibincangkan secara terbuka tanpa kawalan etika terutamanya demi mengejar jumlah tontonan ia berisiko menumpulkan rasa sensitiviti masyarakat terhadap maksiat dan menukar perkara mungkar menjadi sesuatu yang lumrah. Justeru perkara ini sangat ditegah dalam Islam dan pematuhan terhadap etika ini adalah selari dengan satu kaedah fiqh:

وَمَا أَدَّى إلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ[10]

Maksudnya: “Sesuatu yang membawa kepada haram adalah haram”.

 

Tanggungjawab Menyampaikan Perkara yang Bermanfaat

Perkara yang dibincangkan dalam podcast sewajarnya memberikan manfaat kepada masyarakat, sama ada melalui perkongsian ilmu, pengalaman atau perbincangan yang dapat meningkatkan pemahaman terhadap sesuatu isu. Pemilihan topik juga perlu mengambil kira kepelbagaian latar belakang, peringkat umur dan tahap pemahaman penonton agar perkara yang disampaikan bersesuaian serta mudah difahami.

Perbincangan dalam podcast tidak semestinya bersifat formal atau tertumpu kepada perkara yang serius, malah boleh disampaikan secara santai dan bersahaja. Walau bagaimanapun, topik yang dipilih hendaklah tetap mempunyai nilai dan manfaat kepada penonton, manakala perbincangan yang tidak mendatangkan manfaat atau sekadar mengundang kontroversi, mencetuskan perselisihan dan melalaikan wajar dielakkan.

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa.”

Surah al-Ma'idah (2)

Berdasarkan garis panduan tersebut, podcast sewajarnya dimanfaatkan sebagai medium pendidikan, perkongsian pengalaman yang membina, penyebaran ilmu dan perbincangan yang membantu masyarakat memahami sesuatu isu dengan lebih baik. Hos dan tetamu juga hendaklah menyampaikan pandangan dalam bidang yang dikuasai serta merujuk pakar atau sumber berautoriti apabila membincangkan perkara yang memerlukan kepakaran khusus.

Pembinaan Garis Panduan Penyiaran Podcast Dalam Kerangka Maqasid Syariah

Penyiaran podcast pada asalnya bertujuan untuk menyalurkan informasi dan maklumat kepada masyarakat dengan cara yang lebih mudah, pantas dan efisien. Lazimnya, podcast merupakan platform perbincangan yang bersifat santai, menggunakan laras bahasa yang lebih mudah difahami serta bersifat interaktif menerusi soalan-soalan yang diajukan oleh hos kepada panel jemputan. Ciri-ciri ini menjadikan podcast secara tidak langsung sebagai salah satu medium penting dalam agenda pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat. Peranan ini menjadi lebih signifikan apabila topik yang dibincangkan merangkumi hal ehwal dasar dan kepentingan awam, agama, ekonomi, kewangan, sosiobudaya, malah isu-isu global semasa. Dalam konteks ini, podcast berpotensi menjadi wadah penyebaran ilmu yang berkesan dan mampu menjangkau khalayak yang lebih luas berbanding medium penyampaian konvensional.

Namun begitu, ruang dan kebebasan yang luas dalam penyiaran podcast turut menimbulkan pelbagai isu yang menyalahi etika dan nilai keagamaan. Terdapat sesetengah podcast yang gagal mengetengahkan perbincangan yang berkualiti. Sebaliknya, hanya sekadar berbual tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Ada juga sebahagian podcast yang mengandungi unsur fitnah dan tohmahan, malah terdapat podcast yang memuatkan elemen lucah serta mendorong ke arah normalisasi maksiat. Keadaan ini menyebabkan penyiaran podcast dilihat meninggalkan kesan negatif terhadap masyarakat dan bercanggah dengan tujuan asal penyiarannya. Lebih membimbangkan, sebahagian kandungan tersebut berpotensi menimbulkan fitnah terhadap kesucian agama Islam, khususnya apabila isu-isu agama dibincangkan secara sambil lewa tanpa disandarkan kepada autoriti dan kepakaran yang sewajarnya.

Oleh yang demikian, pembinaan garis panduan yang khusus terhadap penyiaran podcast merupakan langkah yang penting bagi memberikan panduan yang jelas kepada masyarakat, terutamanya daripada perspektif hukum syarak. Garis panduan ini selaras dengan prinsip-prinsip maqasid syariah, khususnya pemeliharaan agama (hifz al-din), nyawa (hifz al-nafs), akal (hifz al-‘aql), harta (hifz al-mal) dan keturunan (hifz al-nasl). Hal ini kerana kandungan penyiaran yang terkawal dapat memelihara akidah dan kesucian agama, mengelakkan kemudaratan, melindungi akal daripada maklumat yang mengelirukan, menjamin urusan kewangan daripada unsur penipuan, serta memelihara maruah dan akhlak masyarakat daripada unsur lucah dan maksiat. Selain itu, garis panduan ini turut termasuk dalam maqsad tadayyun, iaitu memelihara kehidupan beragama masyarakat, dan maqsad ‘umran, iaitu membina peradaban yang makmur melalui penyebaran ilmu yang bermanfaat. Justeru, garis panduan ini bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya mengarahkannya ke arah mencapai kemaslahatan umum dan menolak kemudaratan selaras dengan kehendak syarak.

Penutup

Podcast merupakan medium komunikasi yang berpotensi besar dalam menyampaikan ilmu, berkongsi pengalaman dan membincangkan pelbagai isu berkaitan kehidupan masyarakat. Namun begitu, potensi ini perlu disertai dengan tanggungjawab untuk memastikan setiap kandungan disampaikan secara beradab, berasaskan maklumat yang sahih serta tidak menjejaskan maruah dan keharmonian masyarakat.

Justeru, pematuhan terhadap garis panduan ini diharapkan dapat memupuk budaya penyampaian kandungan podcast yang beretika dan selaras dengan prinsip syarak serta nilai-nilai murni Islam. Dengan demikian, podcast dapat dimanfaatkan bukan sekadar sebagai medium perkongsian maklumat, malah sebagai wadah yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, matang dan bertanggungjawab.

[1] Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (t.tp : Dar Ibn al-Jawzi, t.t.), 1:474 - 475.


وَقَوْلُهُ تَعَالَى: ﴿وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا﴾ أي: كلموهم طيبًا، ولينوا لهم جانبًا؛ ويدخل في ذلك الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر بالمعروف

[2] Ahmad Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi (t.tp : Syarikat Maktabah wa Matba’ah Mustafa, t.t.), 1:158.

﴿وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْناً﴾ أمر الله أولا بالإحسان بالمال لأقوام مخصوصين، وهم الوالدان والأقربون واليتامى والمساكين، إذ لا يمكن الشخص أن يحسن به إلى الناس جميعا، لأنه لا يسع كل الأمة، ومن ثم اكتفى في حقوق سائر أفرادها بحسن العشرة والقول الجميل، والأمر بالمعروف، والنهي عن المنكر ونحو ذلك مما هو نافع لهم في الدين والدنيا.

[3] Al-Syaukani, Muhammad bin Ali. Fath Al-Qadir. (Damsyik: Dar Ibn Kathir, 1414H), 5:71.

وَالْمُرَادُ مِنَ التَّبَيُّنِ التَّعَرُّفُ وَالتَّفَحُّصُ، وَمِنَ التَّثَبُّتِ: الْأَنَاةُ وَعَدَمُ الْعَجَلَةِ، وَالتَّبَصُّرُ فِي الْأَمْرِ الْوَاقِعِ، وَالْخَبَرِ الْوَارِدِ حَتَّى يَتَّضِحَ وَيَظْهَرَ.

[4] Abd al-Ra’uf al-Munawi, Fayd al-Qadir Sharh al-Jami’ al-Saghir (t.tp : tp,t.t.), 2:336.

فعلى العاقل أن يميز بين أشكال الكلام قبل نطقه، فما كان من حظوظ النفس وإظهار صفات المدح ونحو ذلك تجنبه، ومن آمن بهذا الخبر حق إيمانه اتقى الله في لسانه وقلل كلامه حسب إمكانه، سيما فيما ينهى عن الكلام فيه كبعد العشاء إلا في خير.

[5] Ibid.

قال الغزالي: اللسان إنما خلق لك لتكثر به ذكر الله وتلاوة كتابه وترشد به الخلق إلى طريقه، أو تظهر به ما في ضميرك من حاجات دينك ودنياك، فإذا استعملته لغير ما خلق له فقد كفرت نعمة الله فيه، وهو أغلب أعضائك عليك، ولا يكب الناس في النار إلا حصائد ألسنتهم.

[6] Ibn Jarir al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Qur’an, tahqiq Abd Allah bin Abd al-Muhsin al-Turki (t.tp : tp,t.t.), 21:376.

وقولُه: ﴿وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا﴾. يقولُ: ولا يقُلْ بعضُكم في بعضٍ بظَهْرِ الغيبِ، ما يكرَهُ المقولُ فيه ذلك أن يقالَ له في وَجْهِه.

[7] Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (t.tp : Dar Ibn al-Jawzi, t.t.), 6:716–17.

والغيبة محرمة بالإجماع، ولا يستثنى من ذلك إلا من رجحت مصلحته، كما في الجرح والتعديل والنصيحة

[8] Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghayb (t.tp : tp,t.t.), 28:110.

وَفِيهِ مَعْنًى: وَهُوَ أَنَّ الِاغْتِيَابَ كَأَكْلِ لَحْمِ الْآدَمِيِّ مَيْتًا، وَلَا يَحِلُّ أَكْلُهُ إِلَّا لِلْمُضْطَرِّ بِقَدْرِ الْحَاجَةِ، وَالْمُضْطَرُّ إِذَا وَجَدَ لَحْمَ الشَّاةِ الْمَيِّتَةِ وَلَحْمَ الْآدَمِيِّ الْمَيِّتِ فَلَا يَأْكُلُ لَحْمَ الْآدَمِيِّ، فَكَذَلِكَ الْمُغْتَابُ إِنْ وَجَدَ لِحَاجَتِهِ مَدْفَعًا غَيْرَ الْغِيبَةِ فَلَا يُبَاحُ لَهُ الِاغْتِيَابُ

[9] Ahmad Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi (t.tp : Syarikat Maktabah wa Matba’ah Mustafa, t.t.), 26:139.

ولا خلاف بين العلماء في أن الغيبة من الكبائر، وأن على من اغتاب أحدا التوبة إلى الله أو الاستغفار لمن اغتابه أو الاستحلال منه

[10] ‘Izz al-Din Abd al-‘Aziz bin Abd al-Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam (Kaherah: Maktabah al-Kulliyyah al-Azhariyyah, 1414H) Jld. 2: hlm. 218.