Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 151/2026 : JANGAN MUDAH MELABEL ORANG LAIN SEBAGAI MUNAFIK

T.png

JANGAN MUDAH MELABEL ORANG LAIN SEBAGAI MUNAFIK

Mukadimah

Mutakhir ini, penggunaan istilah munafik dalam wacana dan perbahasan awam kembali menjadi perhatian masyarakat. Istilah yang mempunyai pengertian serius dalam agama Islam ini adakalanya digunakan dalam konteks kritikan terhadap sikap, janji dan tindakan seseorang, sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran serta perdebatan.

Dalam Islam, istilah munafik bukanlah suatu ungkapan yang boleh digunakan secara sewenang-wenangnya, apatah lagi sebagai suatu bentuk penghinaan, tuduhan atau serangan terhadap individu muslim tertentu.

Sehubungan itu, polemik berkaitan penggunaan istilah ini sewajarnya dijadikan kesempatan untuk seluruh umat Islam, khususnya mereka yang terlibat dalam kepimpinan dan perbahasan awam, bermuhasabah serta memahami dengan lebih mendalam maksud munafik menurut syarak.

Penelitian terhadap dalil-dalil syarak dan huraian para ulama amat penting bagi membezakan antara sifat-sifat munafik yang disebut dalam hadis dengan hukum melabel seseorang individu sebagai munafik. Pendekatan ini dapat memastikan istilah agama digunakan secara berilmu, beradab dan bertanggungjawab, selaras dengan tuntutan syariat Islam.

Larangan Mencela dan Memberikan Gelaran Buruk

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah al-Hujurat (11)

Larangan ini menuntut kita memelihara kehormatan sesama manusia. Walau bagaimanapun, ia tidak menafikan keharusan menegur kesalahan, mempertikaikan kegagalan dasar atau menuntut penjelasan terhadap janji yang tidak ditunaikan. Yang dituntut ialah kritikan yang berasaskan fakta dan bukti, tanpa menjadikan celaan terhadap agama atau keimanan seseorang.

Memahami Maksud Nifaq Menurut Syarak

Secara asasnya, para ulama membezakan antara nifaq pada asas keimanan dan nifaq yang terzahir melalui akhlak atau amalan. Nifaq i‘tiqadi bermaksud menzahirkan Islam sedangkan menyembunyikan kekufuran. Nifaq ‘amali pula merujuk kepada sifat atau perbuatan yang menyerupai akhlak orang munafik, seperti berdusta, mengkhianati amanah dan mengingkari janji. Kedua-duanya tidak boleh disamakan dari segi hukum terhadap seseorang.

Firman Allah SWT mengenai golongan munafik yang menyembunyikan kekufuran:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah daripada neraka.

Surah al-Nisa’ (145)

Abdullah bin Amru RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا، وَإِنْ كَانَتْ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ فِيهِ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا، مَنْ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ

Maksudnya: Empat perkara, sesiapa yang memiliki kesemuanya dalam dirinya, maka dia adalah seorang munafik. Dan sesiapa yang memiliki salah satu daripadanya, maka terdapat satu sifat kemunafikan dalam dirinya sehingga dia meninggalkan sifat tersebut. Empat perkara itu ialah: apabila berbicara, dia berdusta, apabila berjanji dia memungkiri janji, apabila bertengkar, dia melampaui batas dan apabila membuat perjanjian, dia mengkhianatinya.”

Imam al-Tirmizi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis ini menurut ahli ilmu ialah nifaq dalam amalan, sedangkan nifaq pendustaan yang disebut dalam konteks tersebut berlaku pada zaman Rasulullah SAW.[1]

Beliau turut meriwayatkan daripada al-Hasan al-Basri:

النِّفَاقُ نِفَاقَانِ؛ نِفَاقُ الْعَمَلِ، وَنِفَاقُ التَّكْذِيبِ

Maksudnya: Nifaq terbahagi kepada dua, iaitu nifaq amalan dan nifaq pendustaan.[2]

Penjelasan ini menunjukkan bahawa hadis yang menyebut tanda-tanda munafik tidak semestinya bermaksud individu yang melakukan salah satu sifat tersebut telah terkeluar daripada Islam.

Dalam memahami hadis ini, Imam al-Nawawi menyebut sifat-sifat ini merupakan sifat nifaq, dan orang yang memilikinya menyerupai golongan munafik dari sudut sifat tersebut serta berakhlak dengan akhlak mereka.[3] Beliau seterusnya menjelaskan, maksudnya juga bukanlah bermakna dia seorang munafik dalam agama Islam yang menzahirkan Islam sedangkan menyembunyikan kekufuran.[4]

Ibn Battal pula menjelaskan bahawa dusta, mungkir janji, khianat terhadap amanah dan melampaui batas ketika bertelingkah merupakan perbuatan yang mengurangkan iman seseorang, sebagaimana amal kebaikan menambah keimanannya. Perkara ini menunjukkan amaran terhadap kerosakan akhlak, justeru tidak sepatutnya digunakan untuk mengisytiharkan seseorang sebagai munafik.[5]

Adakah Setiap Janji yang Tidak Ditunaikan Bererti Nifaq?

Hadis tersebut merupakan amaran yang tegas terhadap sikap sengaja memungkiri janji. Namun, menilai perbuatan tertentu memerlukan penelitian terhadap hakikat janji, niat ketika menyatakannya, kemampuan melaksanakannya dan sebab kegagalan. Kegagalan yang berpunca daripada halangan sebenar tidak wajar terus disamakan dengan penipuan yang disengajakan.

Dalam hal janji politik, suatu janji atau manifesto boleh diteliti melalui dokumen, rekod pelaksanaan, tempoh yang dijanjikan dan penjelasan pihak yang bertanggungjawab. Masyarakat berhak mendesak akauntabiliti, namun kritikan terhadap perbuatan tidak secara langsung membuktikan hakikat keimanan individu yang dikritik. Sekiranya tidak boleh dilaksanakan kerana atas faktor tertentu maka ia tidak termasuk dalam kategori munafik.

Nasihat kepada Pemimpin Politik dan Masyarakat

Kedudukan sebagai kerajaan atau pembangkang tidak memberikan kelonggaran untuk menjadikan istilah agama sebagai penghinaan. Pihak yang menegur boleh menyebut kesalahan, mengemukakan dalil, meminta penjelasan dan menuntut pembetulan. Pada masa yang sama, semua pihak hendaklah mengelakkan penggunaan istilah seperti munafik, kafir atau murtad secara longgar untuk menjatuhkan maruah lawan politik.

Pemimpin yang mempunyai pengaruh dan latar belakang pendidikan agama memikul tanggungjawab lebih besar untuk menerangkan perbezaan antara kritikan terhadap perbuatan dan dakwaan mengenai akidah. Hadis Nabi SAW ialah pedoman pembentukan akhlak dan muhasabah diri yang memandu setiap umatnya untuk menjalani kehidupan beragama dengan baik.

Penutup

Hadis mengenai tanda-tanda munafik ialah peringatan yang benar dan serius terhadap dusta, khianat serta memungkiri janji. Namun, hadis yang sama juga tidak wajar dijadikan asas untuk dengan mudah menghukum seseorang muslim sebagai munafik dari segi akidah. Marilah kita mengkritik dengan hujah, menuntut amanah dengan bukti, dan menjaga adab ketika berbeza pandangan. Memuliakan agama bukan hanya dengan mengungkapkan dalil, bahkan dengan memahami dan mengamalkannya menurut kehendak syarak.

Wallahu a‘lam.

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN ALI @ FADZIL

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

3 NOVEMBER 2026 / 23 JAMADILAWAL 1448H

 

[1] Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, ed. Bashshar ‘Awwad Ma‘ruf, jil. 4, hlm. 375, hadis no. 2632.

[2] Ibid.

[3] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, 1392), jil. 2, hlm. 47.

أَنَّ هَذِهِ الْخِصَالَ خِصَالُ نِفَاقٍ وَصَاحِبُهَا شَبِيهٌ بِالْمُنَافِقِينَ فِي هَذِهِ الْخِصَالِ وَمُتَخَلِّقٌ بِأَخْلَاقِهِمْ

[4] Ibid.

لَا أَنَّهُ مُنَافِقٌ فِي الْإِسْلَامِ فَيُظْهِرُهُ وَهُوَ يُبْطِنُ الْكُفْرَ

[5] Abu al-Hasan ‘Ali ibn Khalaf Ibn Battal, Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, (Riyad: Maktabah al-Rusyd, 2003), jil.1: hlm. 90.

أن تمام الإيمان بالأعمال، وأنه يدخل على المؤمن النقص فى إيمانه بالكذب، وخلف الوعد، وخيانة الأمانة، والفجور فى الخصام، كما يزيد إيمانه بأفعال البر.