Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #18: MENYERTAI PERAYAAN HANTU LAPAR

Soalan: Apakah hukum turut serta dalam Perayaan Hantu Lapar?

Jawapan:

Sebelum kita terus menjurus masuk ke isu perbincangan hukum mengenai isu ini, penting untuk kita fahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan perayaan ini dan dari mana asal-usulnya.

Sejarah Perayaan Hantu Lapar

Menurut Routledge Encyclopedia of Religious Rites, Rituals and Festivals (Religion and Society), hlm. 92, perayaan ini dikenali sebagai Yulanhui atau Yulanpen dalam hari ke-15 pada bulan ke-7 mengikut kalendar Buddha. Bagi penganut Buddha, ini adalah masa untuk keselamatan bagi roh yang merayau dan hantu yang lapar.

Sejarahnya bermula daripada kisah ibu Maudgalyayana yang menyembunyikan derma anaknya kepada kuil dan kemudiannya menjadi hantu lapar di neraka. Kisah ini disebutkan dalam Yulanpen Sutra. Maudgalyayana merayu kepada Buddha yang turun daripada syurga dan membuka gerbang neraka. Buddha mengumumkan bahawa setiap tahun pada tanggal ke-15 bulan ke-7, hantu yang lapar akan dibenarkan makan. Festival ini seakan sama dengan Festival Yulanhui di China, Festival Bon di Jepun dan Festival Avalamba di India.

Terdapat juga bentuk perayaan yang hampir sama dalam ajaran Tao. Di Malaysia, ia diraikan secara sinkretis (bersekali) oleh masyarakat Cina yang menggabungkan kepercayaan ajaran Buddha dan Tao.

Menghadiri Perayaan Hantu Lapar

Setelah meneliti sejarah dan kepercayaan dalam festival ini, kami berpandangan bahawa tidak ada keperluan bagi umat Islam untuk menghadirinya. Ini kerana, ia berkait rapat dengan akidah dan pegangan umat Islam. Larangan ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.

(Surah al-Furqan: 72)

Maksud al-zur menurut Ibn Kathir adalah perayaan orang-orang kafir. Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/130. Dalam masa yang sama, kita wajar menghormati kepercayaan dan perayaan mereka serta tidak boleh menghinanya sama sekali.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

     (Surah al-An’am: 108)

Bagi yang ada keperluan untuk menghadirnya atas tujuan pembelajaran, ianya dibolehkan dengan syarat tidak melibatkan diri dengan sebarang upacara berkaitan. Manakala bagi yang hadir atas tujuan merasmikan perayaan berkenaan, kami menasihatkan agar diwakilkan kepada pembantu atau timbalan atau sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai dalam kalangan bukan Islam.

Kesimpulan

Kami bersetuju dengan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Garis panduan ini menetapkan beberapa syarat antaranya:

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
  2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
  3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
  4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
  5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

Semoga kita dapat sentiasa berusaha menjadi hamba-Nya yang memelihara akidah, dalam masa yang sama meraikan kemajmukan Malaysia yang kita nikmati sekarang ini dalam kerangka fiqh al-ta’ayusy.