Soalan: Assalam. Saya ingin bertanya memandangkan perayaan Deepavali tidak lama sahaja lagi. Apakah hukumnya umat Islam ikut serta pertandingan melukis kolam?
Jawapan
Perbahasan seni dalam Islam, tidak dapat lari daripada menekuni sifat Jamal, Jalal dan Kamal-Nya sebagaimana yang dikupas oleh para ulama’ tasawwuf seperti Zunnun al-Misri. Seni adalah satu keindahan yang tidak tergambarkan bagi jiwa-jiwa yang menghargainya. Merenungnya adalah satu kepuasan dan menikmatinya adalah satu ketenangan.
Sebagaimana kata Pak HAMKA, “Di sana terdapat tiga sifat Tuhan: Yaitu Jamal, ertinya Indah. Kedua Jalal ertinya Agung. Ketiga Kamal, ertinya Sempurna. Semua yang ada ini adalah dinding yang membatas kita dengan Dia. Tetapi bilamana kita dengan jiwa yang kuat sudi menembus dinding itu, yakni dengan penglihatan rohani yang bersih, niscaya terbukalah hijab itu. Hanya mata yang lahir ini saja yang melihat batas itu, melihat gunung menjulang, ombak berdebur, awan mengepul di udara, kembang mekar dan indah. Adapun mata rohani mulailah menembus dinding itu. Bukan dinding lagi yang kelihatan, tetapi pencipta dari segalanya itu: ‘Allah” (Lihat Filsafat Ketuhanan, m. 101)
Falsafah Kolam @ Rongali Dalam Agama Hindu
Perayaan Deepavali merupakan suatu perayaan yang dianjurkan oleh agama Hindu. Ini bererti ia bukan perayaan yang berasaskan kepada budaya masyarakat sesuatu bangsa, sebaliknya ia perayaan yang berasaskan anutan agama tanpa mengira apa jua bangsa yang menganutnya. Perayaan dalam sesebuah agama pula merujuk kepada ritual atau amalan tertentu yang dilakukan demi meninggikan syiar atau perlambangan sesebuah agama.
Mengenai Kolam atau Rangoli ia didapati telah wujud dalam tradisi agama Hindu sejak sekian lama. Bukti pertama ia terdapat dalam kesusasteraan Hindu adalah antara 50-400 Masihi di dalam kitab Kama Sutra oleh Vatsyayana yang disebut sebagai tndulkusumvlidikara. (Lihat History of the Rangavalli (Rangoli) Art – Between C. A. D. 50 and 1900, m. 241).
Merujuk kepada Kolam, ia pada asalnya merupakan sebahagian daripada upacara keagamaan yang terdapat dalam perayaan Deepavali. Deepavali atau Divali dalam agama Hindu dikenali sebagai perayaan lampu dan dikaitkan dengan warna yang terang dan bercahaya. Bunga api yang berwarna-warni akan dipasang di seluruh kampung, bandar dan kota raya. Dalam perayaan tersebut, cahaya lilin akan menyinari sekitar rumah, pelbagai manisan akan disediakan dengan jumlah yang banyak, bertukar hadiah dilakukan dan amalan membuat Rangolis yang berkaitan langsung dengan perayaan ini.
Dewi Lakshmi dipercayai hadir semasa perayaan Diwali. Dia dikenali sebagai dewi kekayaan, nasib baik, dan kemakmuran. Dia akan melawat rumah yang dibersihkan dengan baik, terang, dan dihiasi dengan indah. Setiap rumah Hindu menjalankan Laksmi Puja (ritual pemujaan) pada hari ketiga Divali. Seperti kalendar lunar Hindu, perayaan lima hari ini jatuh pada hari bulan baru pada bulan Asvin (Oktober atau November).
Pelbagai Rangolis seperti tapak kaki Dewi Lakshmi, lapan lumba-lumba teratai dikenali sebagai 'Ashtadal-kamal' di Andhra Pradesh, bintang lapan tajam yang dikenali sebagai 'Hridaya-kalam' di Tamil Nadu, dan beribu-ribu rekaan di Gujarat dibuat semasa perayaan Divali. Bahkan Divali dianggap tidak memadai tanpa Rangoli. Ia adalah isyarat sambutan kepada Dewi dan para pelawat. Upacara menyambut para tetamu diketahui membawa kebahagiaan dan kebahagiaan kepada keluarga.[1]
Dalam tradisi Hindu, lukisan Kolam terdiri daripada pelbagai bentuk rekaan apotropik yang besar yang mewakili pelbagai dewa Hindu dan tanda-tanda yang membawa tuah. Kolam biasanya dilukiskan pada altar (tempat persembahan Perjamuan Suci) dan di luar pintu rumah. Ia sama dengan amalan ritual pemujaan tuhan yang dinamakan Veves of Vodoun. Kolam dicipta di atas tanah dengan serbuk putih (biasanya beras tanah atau batu tepung). Ia dilukis secara perseorangan (dalam satu baris berterusan), jadi ia dianggap kemahiran untuk dapat menyelesaikannya tanpa henti. Varian berwarna-warni yang dipanggil Rangoli dilukis dengan pigmen atau kapur serbuk.[2]
Dalam erti kata lain, Rangoli melambangkan kebahagiaan dan nasib baik dalam dharma Hindu. Pada zaman kuno, bentuk seni yang suci dan serba boleh dibuat untuk mengalu-alukan tuhan-tuhan dan dewi semasa majlis-majlis khas. Menurut Durai, amalan Rangoli diamalkan kira-kira satu abad yang lalu di Keppres Madras. Madras dikenali sebagai Chennai pada masa kini di India. Gambarajah geometri ini dikenali sebagai Kolam di Madras. Ia biasanya dibuat oleh wanita Hindu pada setiap pagi. Untuk membuat kolam mereka menggunakan serbuk beras putih. Talian dan titik disambungkan dalam proses membuat Kolam, kecuali apabila kematian berlaku dalam keluarga. Rangoli dibuat semasa acara-acara seperti perkahwinan, hari lahir, ulang tahun, dan perayaan seperti Divali, Sankranti, Navaratra, Nagapancami, Tulsi Vrata, dan Sravan Sukla Pancami. (Lihat Preliminary Note on Geometrical Diagrams (Kolam) from the Madras Presidency, m. 77; Traditional Festivals: A Multicultural Encyclopedia, m. 110; Essential Hinduism, m. 209)
Kolam di Malaysia
Di Malaysia, Kolam dilukis pada perayaan Deepavali bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan tersebut. Bagi masyarakat India, selain persiapan seperti menyediakan pakaian baru, hidangan tradisional, manisan serta kuih muih, sambutan Deepavali kurang serinya kalau kediaman tidak dihiasi dengan Kolam. Ia dihasilkan dengan pelbagai rekaan, berwarna-warni dan tanpa ada had dari segi saiz. Ketua Persatuan Malaysia Hindu Sangam Negeri Selangor, Puraneswary Makeswaran, berkata, biarpun lazimnya saiz kolam di rumah agak kecil namun Kolam memberi kuasa besar dalam menyambut Deepavali. Malah Kolam juga umpama 'tiang seri' yang bertindak memeriahkan lagi perayaan cahaya itu.
Dengan menyediakan Kolam, ia memberi penyatuan serta kemeriahan kepada keluarga tersebut. Ia dianggap sebagai simbol penyatuan keluarga kerana proses menyiapkan Kolam biasanya dibuat beramai-ramai bersama ahli keluarga. Beliau mengatakan, warna serta lakaran lukisan kolam ini mempunyai makna tersendiri. Kebanyakan lukisan biasanya dibentuk dengan lakaran bunga yang melambangkan kecantikan dan kelembutan. Namun beliau mengakui bahawa menurut legenda Hindu, hiasan Kolam merupakan lambang penyembahan Dewa Lakshimi, dewa kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan Kolam di pintu masuk rumah mereka.[3]
Berdasarkan penerangan mengenai Kolam atau Rangoli di atas, sukar untuk menafikan bahawa terdapat kaitan dari segi falsafah di sebalik pembuatan Kolam dengan agama Hindu. Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan pada hari suci tertentu seperti pada perayaan Deepavali, dengan corak tertentu yang merujuk kepada rupa dewa-dewi, dan tujuan tertentu iaitu pemujaan kepada tuhan demi memperoleh kelebihan di sebaliknya. Namun demikian, oleh kerana ia telah menjadi sebati dengan tradisi dalam masyarakat India, maka unsur-unsur keagamaan dalam pembuatan Kolam itu semakin terhakis dan aspek adat menjadi lebih dominan berbanding aspek ritual keagamaan.
Perintah Supaya Umat Islam Berlepas Diri Daripada Peribadatan Agama Lain
Dalam hal ini, sebagai umat Islam kita dituntut untuk memelihara aqidah dengan berlepas diri daripada segala bentuk peribadatan dalam agama lain. Ia berdasarkan firman Allah SWT:
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6)
Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.
Menurut Imam Ibn Kathir surah ini merupakan surah yang menjelaskan pelepasan diri daripada amalan yang diamalkan oleh orang musyrikin. Ayat tiga yang bermaksud “Dan tidaklah aku menyembah apa yang kamu sembah” bermakna aku tidak beribadat dengan ibadat kamu iaitu tidak mengambil jalan itu dan mengikutinya, sebaliknya aku menyembah Allah s.w.t. berdasarkan cara yang disuruh dan diredhainya. Manakala ayat empat yang bermaksud “Dan tidaklah kamu menyembah apa yang aku sembah” bermakna kamu tidak mengikut perintah-perintah Allah s.w.t. dan syariat-Nya dalam beribadat bahkan kamu telah mereka-reka sesuatu daripada diri kamu sendiri. Ianya bersamaan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Yunus ayat 41:
وَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقُلْ لِي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنْتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَا بَرِيءٌ مِمَّا تَعْمَلُون
Bermaksud: “Dan sekiranya mereka membohongi kamu maka katakanlah bagiku amalanku dan bagi kamu amalan kamu, (ibadat) kamu tidak berkaitan dengan amal (ibadat) ku dan aku berlepas diri dengan segala (ibadat) yang kamu kerjakan.”
Begitu juga dengan ayat 15 surah al-Syura:
لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ
Maksudnya: “Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.” Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8: 507). Oleh kerana Kolam atau Rongali berasal daripada unsur-unsur peribadatan di dalam agama Hindu, maka amat wajar umat Islam untuk berlepas diri (istibra’) daripada amalan ini bagi memastikan keimanan mereka benar-benar terjamin di sisi Allah SWT.
Larangan Menyerupai Perbuatan Agama Lain
Umat Islam juga dilarang meniru atau melakukan sebarang perbuatan yang menyerupai penganut agama lain dalam hal yang menjadi pengkhususan mereka. Larangan ini berdasarkan hadis-hadis yang banyak menunjukkan larangan Rasulullah SAW untuk orang Islam meniru imej orang bukan Islam. Antaranya, daripada Abdullah bin Umar R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031)
Berkata Syeikh al-Azhim al-Abadi rahimahullah dalam `Aun al-Ma`bud (11/51): “Berkata al-Munawi dan al-`Alqami: yakni berhias pada luarannya dengan perhiasan mereka, berkelakuan seperti kelakuan dan petunjuk mereka pada pakaian dan sebahagian perbuatan mereka. Intaha. Berkata al-Qari’,“yakni barangsiapa yang menyerupai dirinya dengan orang kafir, contohnya pada pemakaian, dan selainnya, atau dengan orang yang fasiq, atau orang jahat, atau dengan ahli tasawuf dan orang-orang soleh lagi baik, (maka dia daripada kalangan mereka) ertinya pada dosa dan kebaikan.” Berkata al-`Alqami, “yakni barangsiapa yang menyerupai orang-orang soleh akan dimuliakan seperti mana mulianya mereka, dan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq, maka dia tidak akan dimuliakan. Barangsiapa yang meletakkan ke atas dirinya dengan alamat-alamat orang yang budiman maka dia akan dimuliakan sekalipun pada dirinya tidak tahqiq sifat budiman itu.”
Imam al-San’ani rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. Lihat (Subul al-Salam, 2/647)
Maka, secara asasnya telah jelas bahawa kelakuan yang menyerupai orang bukan Islam adalah dilarang sama sekali.
Adakah Larangan Tersebut Bermaksud Makruh Atau Haram?
Setelah meneliti perbahasan para ulama’ dalam isu ini, kami menyimpulkan bahawa ada dua bentuk maksud larangan penyerupaan dengan agama lain. Adakalanya ia bermaksud haram dan adakalanya bermaksud makruh. Berkata Imam Ibn Salah (w.643H) Rahimahullah dalam Fatawa-nya (2/473): “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.”
- Contoh Penyerupaan Yang Haram
Contoh bagi penyerupaan yang haram adalah berakidah dan beribadah dengan cara Nasrani atau Yahudi. Firman Allah SWT:
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾
Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”
(Surah al-Baqarah : 120)
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa`di berkata: “Allah Taala memberitahu kepada Rasul-Nya bahawa orang Yahudi dan Nasrani tidak redha kepadanya sehingga dia mengikuti agama mereka, kerana mereka mengajak kepada agama yang mereka anuti dengan anggapan itulah petunjuk.” (Lihat Taisir al-Karim, m. 64)
Begitu juga dengan penyerupai kelakuan dan pakaian ahli muzik yang lazim dengan maksiat seperti minum arak. Rujuk Asna’ al-Matalib (4/344) oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari (w.926H) rahimahullah.
- Contoh Penyerupaan Yang Makruh
Manakala jika penyerupaan itu sedikit, atau daripada sudut yang kecil sahaja, penyerupaan itu dihukumkan makruh. Contohnya seperti:
- Melakukan qaza` (memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain). (Lihat al-Minhaj Syarh Muslim, 10/101).
- Melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/427).
- Puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat. (Lihat al-Iqna’, 1/245).
Ada pengecualian bagi larangan ini apabila suatu pakaian atau perbuatan itu tidak lagi melambangkan bukan Islam dan fasiq. Kesannya, suatu perlambangan itu boleh berubah menjadi harus. Berkata Imam al-Bujairimi rahimahullah dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain tailasan/tayalisah : “Dan disebabkan pemakaian al-tayalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan. Berkata Ibn Hajar: Apabila sudah menjadi simbol bagi suatu kaum (yakni golongan yang baik-baik seperti ulama) maka dengan meninggalkannya pula akan menghilangkan maruah.” (Lihat Tuhfah al-Habib, 4/366)
Daripada sudut sejarah, pemakaian tayalisah dalam Bahasa Arab atau tallit dalam Bahasa Ibrani iaitu kain penutup kepala ini, adalah syiar kaum Yahudi. Maka hukum asalnya adalah makruh, seperti kata Syeikh al-Samhudi al-Syafie. Namun apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan pakaian ini sebagai simbol agama, ia berubah menjadi pakaian yang umum sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai simbol mereka yang boleh mengajar dan berfatwa, dan diijazahkan pemakaiannya. Pakaian jenis ini adalah harus dan tidak termasuk dalam larangan syarak meniru kaum lain. Pada hari ini, contohnya pemakaian baju berkot dan tali leher tidak dianggap sebagai peniruan bersifat agama atau kefasikan. Hukum memakainya adalah harus.
Kesimpulan
Berdasarkan realiti semasa, wujud perubahan dalam penerimaan falsafah lukisan Kolam atau Rangoli daripada keagamaan dan pemujaan, kepada sekadar perhiasan serta corak yang lebih universal. Maka, kami tidak cenderung untuk menyatakan hukum penglibatan orang Islam dalam aktiviti ini adalah haram secara mutlak tetapi perlu dilihat beberapa syarat-syaratnya.
Kaedah menyebut:
تغير الأحكام بتغير الزمان والمكان
Perubahan hukum-hakam adalah dengan berubahnya zaman dan tempat.
Kaedah ini diperincikan lagi oleh para ulama’ silam dan kontemporari. Menurut Imam al-Qarafi, “Para ulama’ mazhab bersepakat bahawa hukum-hakam yang boleh berubah dengan perubahan zaman dan perilaku manusia adalah hukum-hakam yang bersifat ijtihad berlandaskan qiyas dan maslahah atau yang ditetapkan kerana ijtihad yang berlandaskan qiyas dan maslahah. Maka, inilah yang dimaksudkan dengan kaedah (لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان) ‘tidak diingkari perubahan hukum-hakam dengan perubahan zaman.’ Adapun hukum-hakam asasi yang dengannya hadir syariat sebagai asasnya melalui teks-teks asal (Qur’an dan hadith) yang menunjukkan perintah larangan seperi larangan mendekati perkara yang diharamkan secara mutak, maka ini tidak boleh berubah dengan berubahnya zaman tetapi ianya tetapi berdiri sebagai prinsip yang dengannya hadir syariat untuk memperbaiki zaman dan generasi. (Lihat al-Furuq, 1/176)
Syeikh Dr. Muhammad Mustafa al-Zuhaili menyimpulkan, “Kadangkala sejumlah hukum syariat berlandaskan kepada kebiasaan manusia dan adat-adat mereka. Maka apabila telah berbeza adat tersebut daripada adat pada zaman sebelumnya, berubah pula kaedah perbuatan dan hukumnya. Sedangkan hukum-hukum syariat yang asalnya bukan berdasarkan adat dan kebiasaan manusia, tidak berubah. (Lihat Al Qawaid wl-Fiqhiyyah wa Tathbiqatuhaa Fil Madzahib Al Arba’ah. 1/353)
Bahkan praktisnya di Malaysia kebanyakannya sudah menjauhi maksud falsafah asal lukisan Kolam atau Rangoli. Ianya kini lebih kepada hiasan dan bertujuaan keceriaan di pusat beli belah, agensi swasta, kerajaan dan lain-lain.
Berdasarkan perbahasan di atas, dapat disimpulkan seperti berikut:
- Haram melukis Kolam atau Rangoli dengan corak yang merujuk kepada dewa-dewi, mantra-mantra dan juga bermatlamatkan pemujaan dalam agama Hindu;
- Makruh terlibat dalam pertandingan atau aktiviti melukis Kolam atau Rangoli pada atau sempena musim perayaan keagamaan seperti Deepavali kerana dikhuatiri mempunyai unsur mengangkat syiar agama lain secara tidak langsung dan menyerupai sebahagian perbuatan ritual agama;
- Dibolehkan (harus) melukis dengan penggunaan teknik pembuatan Kolam atau Rangoli yang dibuat pada selain hari-hari kebesaran agama Hindu dan dengan motif yang tiada kaitan dengan pemujaan dan keagamaan, seperti tumbuh-tumbuhan, bunga atau lakaran kartun. Ini seumpama Kolam yang dilukis dengan motif patriotik pada hari sambutan kemerdekaan negara dan seumpamanya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman Islam yang benar demi menjamin penerimaan segala amal ibadah kita di sisi-Nya. Wallahu a’lam.
[1] http://www.mahavidya.ca/2017/12/27/rangoli/
[2] http://symboldictionary.net/?p=1886
[3] http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm