SOALAN
Assalamualaikum Ustaz,
Saya ingin bertanya, adakah simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam? Kebanyakkan masjid atau surau di Malaysia menggunakan simbol bulan sabit di atas kubah. Bahkan di bendera Malaysia juga terdapat bulan sabit dan bintang yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan negara. Mohon pandangan ustaz. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Maklum dan masyhur bahawa seni pembinaan masjid di Malaysia akan meletakkan simbol bulan sabit dan bintang di atas kubah atau menara. Ini juga tidak terkecuali bagi pembinaan masjid di negara-negara Islam yang lain, bahkan menara-menara di Tanah Haram dan Madinah juga menggunakan simbol bulan dan bintang. Simbol ini telah menjadikan ia sinonim bagi agama Islam. Di dalam Bahasa Arab bulan sabit adalah Hilal هلال manakala bintang pula adalah Najm النَّجْم. Bahkan di dalam Al-Quran juga terdapat surah khusus berkenaan bintang dan terdapat beberapa ayat yang menyatakan berkenaan bulan sabit. Namun begitu, simbol bulan sabit dan bintang tidak ada dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai simbol rasmi bagi agama Islam.
Mengikut sejarah yang dinukilkan di dalam kitab Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, pengarang kitab menyatakan bahawa:
وأصله أن فيلبس المقدوني والد الإسكندر الأكبر لما هجم بعسكره على بيزنطة ، وهي القسطنطينية ، في بعض الليالي دافعه أهلها وغلبوا عليه وطردوه عن البلد ، وصادف ذلك وقت السحر ، فتفاءلوا به واتخذوا رسم الهلال في علمهم الرسمي تذكيرا للحادثة ، وورث ذلك منهم القياصرة ، ثم العثمانية لما غلبوا عليها ، ثم حدث ذلك في بلاد قازان
Maksudnya: Pada asalnya Philip II of Macedon (beliau adalah raja Macedon atau Macedonia yang kini dikenali sebagai Greece yang hidup pada tahun 359 sebelum masihi dan telah dibunuh pada tahun 336 sebelum masihi) beliau adalah ayah kepada Alexander the Great atau Alexander III of Macedon atau Iskandar Zulkarnain. Ketika dia menyerang bersama tenteranya ke atas Empayar Byzantium iaitu Kota konstantinopel (salah satu kota jajahan bagi empayar Byzantium). Selepas beberapa malam tenteranya bertahan, mereka berjaya mengalahkan dan mengusir tentera empayar Byzantium dari kota tersebut. Kejadian tersebut berlaku pada waktu sahur, mereka mengambil gambar bulan sabit sebagai lambang rasmi dan pemberi semangat juga peringatan terhadap peristiwa tersebut. Maka daripada lambang ini ia diguna pakai pada istana-istana, kemudian kerajaan Utsmaniyah berjaya mengalahkan mereka dan simbol ini telah masuk ke negara Qazan (kini dikenali sebagai Rusia).
Dalam menjawab persoalan yang diajukan, adakah bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam? Sebenarnya tidak ada simbol yang wajib dan rasmi bagi agama Islam seperti bulan sabit dan bintang atau sebagainya. Bahkan perkara ini telah dibincangkan oleh Sheikh Muhammad Abdul al-Hayy al-Kattani di dalam kitabnya yang menyatakan bahawa:
وضع رسم صورة الهلال على رءوس منارات المساجد بدعة ، وإنما يتداول ملوك الدولة العثمانية رسم الهلال علامة رسمية أخذا من القياصرة
Maksudnya: “Meletakkan gambar bulan sabit pada puncak menara-menara masjid adalah perbuatan yang baru di dalam agama (bidaah), tetapi sebaliknya ia digunakan oleh pemerintah Utsmaniyah simbol bulan sabit sebagai simbol rasmi yang diambil daripada lambang istana di Romawi (Rujuk Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, jld. 1, m/s 265).
Namun begitu, al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah ada menukilkan sebuah hadis berkenaan bendera yang terdapat simbol bulan sabit padanya:
سعد بن مالك بن الأقيصر بن مالك بن قريع بن ذهل بن الدئل بن مالك الأزدي أبو الكنود قال ابن يونس وفد على النبي صلى الله عليه وسلم وعقد له راية على قومه سوداء فيها هلال أبيض وشهد فتح مصر وله بها عقب روى عنه ابنه القاسم بن أبي الكنود رواه سعيد بن عفير عن عمرو بن زهير بن أسمر بن أبي الكنود أن أبا الكنود وفد فذكره
Maksudnya: “Saad bin Malik bin al-Aqyasar bin Malik bin Qari’ bin Zuhal bin Dail bin Malik al-Azdi Abu al-Kanud berkata Ibnu Yunus beliau pernah bertemu Rasulullah SAW. Kemudian Nabi SAW memasangkan sebuah bendera untuk dia bawa kepada kaumnya yang berwarna hitam dan padanya terdapat simbol bulan sabit berwarna putih dan berikutnya dilihat pada pembukaan Mesir, riwayat anak kepada Qasim bin Abi Kanud riwayat Said Afir dari Amru bin Zahir bin Asmar bin Abi Kanud berjumpa dan mengingatinya”.
(Rujuk kitab al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah, jld.3, m/s 72, No. 3194)
Khabar ini menyatakan bahawa pada zaman Nabi SAW telah wujudnya penggunaan bulan sabit sebagai simbol bagi agama Islam. Namun begitu, khabar ini telah dikritik oleh para Ulama’ sebagai khabar yang tidak sahih kerana ia merupakan khabar yang Mu’dhal (iaitu apa yang gugur daripada sanad dua orang perawi dan ke atas secara berturut-turut sama ada gugur itu pada awal dan akhir sanad) dan ia tidak boleh dijadikan hujah.
Menjawab persoalan berkenaan bendera seperti bendera Malaysia yang terdapat bulan sabit dan bintang yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan negara, kami berpandangan bahawa ia adalah ketetapan yang telah diwartakan oleh kerajaan bagi simbol tersebut sebagai simbol Islam agama persekutuan Malaysia. Namun begitu, simbol ini tidak pernah digunakan pada bendera di zaman Rasulullah SAW. Menerusi Kitab Fathul Bari karangan al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa:
كان مكتوبا على رايته: لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ
Maksudnya:“Bendera Nabi SAW bertuliskan kalimah tauhid.”
(Rujuk Kitab Fathul Bari, Jld. 6, m/s 147)
Kesimpulan bagi isu ini, penggunaan simbol bagi sesuatu perkara adalah bertujuan untuk memudahkan atau memberi pengenalan identiti bagi sesuatu, begitu juga agama lain seperti Kristian menggunakan simbol salib sebagai simbol bagi agamanya dan Yahudi menggunakan simbol bintang sebagai simbol agama mereka. Bahkan di dalam Islam simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol yang ghalib bagi agama Islam.
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ
Maksudnya: “Apa yang dilihat daripada umat Islam baik maka ia adalah baik di sisi Allah SWT”
(Hadis ini dinilai hasan mawquf (sanadnya hanya sampai kepada sahabat dan tidak pada Rasulullah SAW) oleh ahli ilmu di antaranya Imam al-Zurqani di dalam kitabnya al-Mukhtasar. Hadis ini boleh diamalkan dan digunakan sebagai hujah).
Adapun begitu, simbol ini tidak pernah dianggap sebagai simbol yang disembah atau simbol mewakili bagi Allah SWT yang dikatakan seperti bulan sabit dan bintang, bahkan Allah SWT merupakan tuhan kepada bulan sabit, tuhan kepada bintang dan segalanya.
Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ ۚ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah”.
(Surah Al-Fussilat: 37)
Menggunakan simbol tersebut merupakan satu perkara yang tidak menyalahi dari sudut syara’ bahkan ia merupakan uruf yang boleh diterima dan digunakan. Contoh: Imam al-Bujairimi Rahimahullah menukilkan di dalam Kitab Tuhfah al-Habib (jld.4, m/s 366) dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain Tayalisah : “Dan disebabkan pemakaian Tayalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman ini dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Begitu juga perkara ini telah disebut oleh Ibnu Abdul al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan. (Rujuk Irsyad Al-Fatwa Siri ke-237: Hukum Mendandan Rambut dan Mandi Wajib dengan Rambut Dreadlock).
WallahuA’lam.