Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #45: DALIL WUJUDNYA MUNKAR DAN NAKIR

munkar nakir.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Benarkah di sana ada malaikat yang dikenali dengan Munkar dan Nakir. Jika ada apakah dalilnya dan apa sifat serta peranan mereka? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertama, berkenaan keadaan mayat yang akan didatangi oleh dua malaikat di dalam kubur dan kemudian mereka menyoalnya, maka ia adalah sabit dalam hadis sepertimana diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إذا وُضِعَ في قَبْرِهِ وَتَوَلَّى عنه أَصْحَابُهُ، وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ قَرْعَ نِعَالِهِمْ، أَتَاهُ مَلَكَانِ، فَيُقْعِدَانِهِ فَيَقُولَانِ: ما كُنْتَ تَقُولُ في هذا الرَّجُلِ؟ لِمُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم. فَأَمَّا الْمُؤْمِنُ فيقول: أَشْهَدُ أَنَّهُ عبد اللَّهِ وَرَسُولُهُ…

Maksudnya: Sesungguhnya hamba yang mati apabila diletakkan dalam kuburnya dan rakan taulannya berpaling pulang darinya sedangkan ketika itu, dia masih mendengar bunyi tapak sepatu atau selipar mereka. Ketika itu datanglah dua malaikat kepadanya lantas mendudukkannya seraya bertanya apakah yang kamu katakan tentang lelaki ini yakni Muhammad SAW? Adapun orang yang beriman nescaya menjawab aku bersaksi bahawa dia adalah hamba Allah dan rasul-Nya..

Riwayat al-Bukhari (1338) dan Muslim (2870)

Kedua, berkenaan dengan sifat malaikat tersebut, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُبِرَ الْمَيِّتُ أَوْ قَالَ أَحَدُكُمْ أَتَاهُ مَلَكَانِ أَسْوَدَانِ أَزْرَقَانِ يُقَالُ لأَحَدِهِمَا الْمُنْكَرُ وَالآخَرُ النَّكِيرُ ، فَيَقُولَانِ : مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ ؟ فَيَقُولُ مَا كَانَ يَقُولُ : هُوَ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ ، أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ . فَيَقُولانِ : قَدْ كُنَّا نَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُولُ هَذَا ، ثُمَّ يُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ سَبْعُونَ ذِرَاعًا فِي سَبْعِينَ ، ثُمَّ يُنَوَّرُ لَهُ فِيهِ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : نَمْ ، فَيَقُولُ : أَرْجِعُ إِلَى أَهْلِي فَأُخْبِرُهُمْ ، فَيَقُولَانِ : نَمْ كَنَوْمَةِ الْعَرُوسِ الَّذِي لا يُوقِظُهُ إِلا أَحَبُّ أَهْلِهِ إِلَيْهِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ مِنْ مَضْجَعِهِ ذَلِكَ . وَإِنْ كَانَ مُنَافِقًا قَالَ : سَمِعْتُ النَّاسَ يَقُولُونَ فَقُلْتُ مِثْلَهُ لا أَدْرِي . فَيَقُولَانِ : قَدْ كُنَّا نَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُولُ ذَلِكَ ، فَيُقَالُ لِلأَرْضِ : الْتَئِمِي عَلَيْهِ ، فَتَلْتَئِمُ عَلَيْهِ ، فَتَخْتَلِفُ فِيهَا أَضْلاعُهُ ، فَلا يَزَالُ فِيهَا مُعَذَّبًا حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ مِنْ مَضْجَعِهِ ذَلِكَ )

Maksudnya: Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?

Dia berkata: “Dia adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan utusan-Nya.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya.

Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.” Dia berkata: “Bolehkah aku kembali kepada keluargaku untuk memberi khabar kepada mereka?” Kedua malaikat tersebut menjawab: “Tidurlah engkau seperti tidurnya pengantin, yang tidak dapat membangunkannya kecuali orang yang paling dicintainya dari kalangan keluarganya sehingga Allah membangkitkannya daripada pembaringannya itu.

Dan sekiranya mayat tersebut adalah seorang munafik, dia berkata: “Aku mendengar orang-orang mengatakan (suatu perkataan) lalu aku pun mengatakan seperti mereka, aku tidak tahu. Kedua malaikat tersebut berkata: “Sesungguhnya kami telah mengetahui bahawa engkau akan berkata sedemikian.” Lalu dikatakan kepada bumi: “Himpitlah orang munafik itu.” Lalu bumi pun menghimpitnya. Maka dia terus diseksa di dalamnya sehingga Allah SWT membangkitkannya dari pembaringannya itu.

Riwayat al-Tirmizi (1071)

Al-Munawi dan al-Mubarakfuri berkata: Sesungguhnya Munkar dan Nakir merupakan malaikat yang menyoal hamba-hamba apabila mereka keluar daripada dunia (sesudah mati). Sebab dinamakannya kerana dia mengingkari hamba yang ditanya kedua-duanya dalam bentuk tidak mengenalinya serta tidak melihatnya sebelum itu seperti bentuknya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/187; Mirqat al-Mafatih, 1/210)

Adapun sifat kedua-duanya adalah berwarna hitam, kebiru-biruan sebagaimana sabit dalam banyak hadis demikian itu. Ibn Hajar menyebut dalam Fath al-Bari satu riwayat daripada al-Tabarani dalam al-Ausat pada menyatakan sifat kedua-duanya. Katanya, mata kedua-duanya seperti cairan tembaga dan taringnya seperti duri atau tanduk lembu yang tajam, sedangkan suaranya seperti guruh. Pendapat seumpamanya oleh Abdul Razzaq daripada Mursal Amr ibn Dinar dan ditambah dengan kedua-duanya menggali dengan menggunakan taring dan memijak pada bulu kedua-duanya. (Lihat Fath al-Bari, 3/237. Lihat juga al-Mu’jam al-Ausat, 5/44)

Kami akhiri dengan berdoa kepada-Nya:

اللهم يا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي على دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu.”