Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #56: DALIL LOGIK WUJUDNYA KARAMAH

DALIL LOGIK KARAMAH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah dalil secara logik atau aqli tentang kepastian adanya karamah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Karamah berasal dari bahasa Arab (الكرامة). Menurut bahasa ertinya mulia dan menurut istilahnya pula kejadian luar biasa yang tidak masuk akal dan berlaku pada diri wali sebagai tanda kemuliaan yang dianugerahkan Allah ke atas mereka. Al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta’rifat menyebut, karamah ialah suatu kejadian luar biasa yang diberikan Allah khusus bagi para hamba-Nya yang bertakwa dan soleh yang tidak disertai dengan dakwaan sebagai nabi. (Lihat al-Ta’rifat oleh al-Jurjani, hlm. 235)

Imam al-Qusyairi pula menyebut, karamah ialah satu perkara yang dianggap sebagai hal yang bertentangan dengan adat kebiasaan manusia pada umumnya. Ia juga dianggap sebagai perkara yang sangat luar biasa yang Allah berikan kepada kekasih-kekasih pilihan-Nya. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 525)

Antara contoh karamah dapat dilihat dalam firman Allah SWT yang menceritakan perihal Saidatina Maryam:

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا ۖ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًا ۖ قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَـٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّـهِ ۖ إِنَّ اللَّـهَ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".

Surah Ali Imran (37)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Ayat ini merupakan dalil akan penetapan karamah para wali yang keluar daripada kebiasaan manusia, sebagaimana yang telah mutawatir daripada hadis-hadis berkaitan permasalahan ini. Berbeza dengan orang-orang yang tidak meyakini tentang adanya karamah ini. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/285)

Menjawab persoalan di atas, secara logiknya sekiranya karamah itu tidak wujud, tentu penyebabnya adalah salah satu di antara dua; sama ada Allah SWT tidak mampu untuk melakukannya atau orang yang beriman tidak mampu untuk menerimanya. Perkara seperti ini jelas mustahil atau tidak masuk akal.

Faktor pertama ini dapat melemahkan kekuasaan Allah SWT, yakni satu anggapan bahawa Allah SWT lemah dan keyakinan seperti ini jelas sudah menjadi kufur. Faktor kedua tersebut batal kerana mengenal zat, sifat dan perbuatan Allah SWT secara berkesinambungan adalah wajib. Tatkala orang yang beriman dan soleh dikurniakan makrifah (pengenalan), mahabbah (kecintaan), zikir (ingatan) dan syukur, maka tentu sahaja dia dapat menerima peristiwa luar biasa dan itulah yang dinamakan karamah.

Seorang pengawal raja, biasanya bebas keluar masuk ruangan kerjanya. Dia dapat melakukan sesuatu yang orang lain tidak boleh melakukannya. Secara logik, jika sudah dekat sekali dengan seorang raja, tentu dia banyak mendapat pelbagai kemudahan. Jadi, dekat itu ialah dasar dan kedudukan manakala kemudahan itu adalah akibat atau manfaatnya. Tuhan dan raja daripada semua raja dan penguasa ialah Allah SWT. Dia menerajui seluruh alam ini. Dia memberikan kehormatan dan penghargaan kepada orang dekat-Nya, berupa taufik dan hidayah. Jadi jelaslah bahawa orang yang dekat dengan Allah SWT seperti wali-wali, tidaklah mustahil terjadi karamah pada dirinya sebagai limpahan kurnia Allah SWT kepadanya.

Sebagai penutup, kami nukilkan di sini kenyataan Sayyid Qutb ketika mentafsirkan ayat “عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ” yang bermaksud “seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah” menyebut: Sebahagian ahli tafsir membuat pelbagai penafsiran tentang ayat ini. Setengah mereka mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan al-kitab itu ialah kitab suci Taurat. Setengah yang lain pula berkata, dia adalah orang yang mengetahui rahsia ismullah al-a’zam (اسم الله الأعظم). Sementara yang lain pula berpendapat begini dan begitu dan apa yang dikatakan mereka itu bukanlah merupakan satu pentafsiran dan penjelasan yang diyakini kebenarannya.

Perkara tersebut lebih mudah dari segala pentafsiran itu apabila kita melihatnya dengan kacamata kenyataan. Berapa banyak rahsia-rahsia di alam ini yang kita tidak mengetahuinya. Berapa banyak kuasa-kuasa dan kekuatan-kekuatan di alam ini yang belum kita gunakannya. Berapa banyak rahsia dan kekuatan di dalam jiwa manusia yang kita tidak mengetahuinya.

Apabila Allah SWT mahu menunjukkan kepada hamba kesayangan-Nya mana-mana rahsia dan mana-mana kekuatan ini, maka akan berlakulah peristiwa luar biasa dalam kehidupan biasa dengan izin Allah, dengan tadbir-Nya dan dengan kuasa penundukan-Nya, di mana orang-orang yang tidak dikehendaki Allah berlakunya peristiwa itu di tangan mereka, tidak akan berkuasa melakukannya. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 12/167)

Semoga Allah menjadikan kita daripada golongan yang hampir dengan-Nya serta menjadikan kita tergolong dalam kalangan mereka yang dikasihi dan dicintai oleh-Nya. Amin.