Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh jelaskan, apakah bentuk-bentuk nikmat kubur?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Nikmat di dalam kubur adalah termasuk dalam hakikat-hakikat ghaib yang thabit buktinya melalui perkhabaran yang yakin lagi mutawatir. (Lihat Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyah, hlm. 394) Antaranya:
- Kuburnya diterangi cahaya dan dilapangkan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قُبِرَ الْمَيِّتُ ، أَوْ قَالَ : أَحَدُكُمْ ، أَتَاهُ مَلَكَانِ أَسْوَدَانِ أَزْرَقَانِ ، يُقَالُ لأَحَدِهِمَا : الْمُنْكَرُ ، وَالآخَرُ : النَّكِيرُ ، فَيَقُولَانِ : مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ ؟ فَيَقُولُ مَا كَانَ يَقُولُ : هُوَ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ ، أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ . فَيَقُولانِ : قَدْ كُنَّا نَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُولُ هَذَا ، ثُمَّ يُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ سَبْعُونَ ذِرَاعًا فِي سَبْعِينَ ، ثُمَّ يُنَوَّرُ لَهُ فِيهِ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : نَمْ
Maksudnya: Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?
Dia berkata: “Dia adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan utusan-Nya.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya. Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.”
Riwayat al-Tirmizi (1071) dan Ibn Hibban (3117)
Syeikh al-Mubarakfuri menyebut: Kemudian dilapangkan dengan sighah majhul dengan maksud diluaskan sejarak 70 hasta kali 70 hasta dari segi panjang dan lebarnya. Begitu juga seperti kata al-Tibi, asalnya dilapangkan kuburnya dengan kadar 70 hasta, maka dijadikan kubur sebagai zhorof (ظرف) bagi 70 hasta dan disandarkan kepada 70 hasta pada sebutan sebagai menggambarkan mubalaghah atau amat luas. Kemudian dicahayakan baginya dengan maksud, Allah menjadikan cahaya untuknya pada kuburnya yang telah diluaskan itu. Mengikut riwayat Ibn Hibban, dicahayakan baginya seperti bulan penuh purnama. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/156)
- Setiap pagi dan petang, akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya di Syurga di dalam kubur tersebut.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (1379) dan Muslim (2866)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Ibn al-Tin berkata; Andaian yang dikehendaki pada waktu pagi dan petang iaitu sekali pagi dan sekali petang yang diperlihatkannya. Sedangkan makna sehingga Allah bangkitkan kamu, iaitu tidaklah sampai kepadanya sehingga hari Kiamat. Al-Qurtubi berkata: Harus pembentangan ini kepada ruh sahaja dan harus berlaku kepada sejuzuk daripada badan. Katanya lagi: Dikehendaki dengan pagi dan petang iaitu waktu kedua-duanya. Kalau tidak maka orang mati tiada baginya pagi dan petang. Ini pada hak orang mukmin dan orang kafir amat jelas. (Lihat Fath al-Bari, 3/243)
- Memperoleh wangian dan haruman daripada Syurga serta kuburnya diluaskan sejauh mata memandang.
Dalam sebuah hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, katanya: Kami pernah bersama Rasulullah SAW mengiringi jenazah seorang lelaki Ansar sehinggalah kami sampai di kuburan dan menunggu disiapkan liang lahad. Rasulullah SAW duduk dan kami duduk di sekeliling baginda seolah-olah di atas kepala kami ada burung. Pada tangan Rasulullah SAW terdapat satu tongkat yang dicacak ke tanah. Nabi SAW bersabda (antaranya):
...فَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ: مَنْ رَبُّكَ؟ فَيَقُولُ: رَبِّيَ اللهُ، فَيَقُولَانِ: وَمَا دِينُكَ؟ فَيَقُولُ: دِينِيَ الْإِسْلَامُ، فَيَقُولَانِ: مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ؟ فَيَقُولُ هُوَ رَسُولُ اللهِ، فَيَقُولَانِ: وَمَا يُدْرِيكَ؟ فَيَقُولُ: قَرَأْتُ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ، قَالَ: فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ صَدَقَ عَبْدِي فَافْرِشُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَأَلْبِسُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا مِنَ الْجَنَّةِ فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا وَطِيبِهَا، وَيُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ مَدَّ بَصَرِهِ،
Maksudnya: ...Kemudian dua orang malaikat datang kepada roh dan duduk di sisi. Kedua-duanya bertanya: Siapakah tuhan kamu? Lalu roh mukmin menjawab: Tuhanku ialah Allah. Mereka bertanya lagi: Apakah agama kamu? Dia menjawab: Agamaku Islam. Mereka bertanya lagi: Siapakah orang ini yang dibangkitkan dalam kalangan kamu? Roh menjawab: Dia ialah utusan Allah. Mereka bertanya lagi: Bagaimana engkau mengetahuinya? Dia menjawab: Aku membaca Kitabullah Azza wa Jalla, lalu aku beriman dan mempercayainya.
Lalu penyeru menyeru daripada langit: “Hambaku benar! Bentangkan untuknya syurga. Pakaikan ia dengan pakaian daripada syurga. Bukakanlah pintu syurga untuknya.” Dia pun mendapat wangian dan harumnya angin syurga, serta kuburannya diluaskan sejauh mata memandang.
Riwayat Abu Daud (4753) dan Ahmad (4/287)
Kesimpulan
Inilah sebahagian daripada nikmat kubur yang menjadi taman-taman Syurga seperti yang termaktub dalam sebuah hadis:
إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Maksudnya: Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.
Riwayat al-Tirmizi (2460) Kata Imam al-Tirmizi, hadis ini gharib. Tidak aku ketahui kecuali jalan ini. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sanad ini amat dha'if. Ini kerana Athiyyah ibn Sa'd al-'Aufi al-Qisi dha'if dan didha'ifkannya oleh al-Nasa'ie, Abu Zur'ah, al-Saji dan lain-lain. (Lihat al-Tahzib, 7/200-202)
Kami tegaskan di sini bahawa isu azab kubur ataupun nikmat, ia termasuk dalam perkara ghaibiyyat yang tidak mungkin dikiaskan dengan hukum dunia semata-mata berdasarkan penglihatan atau pancaindera kerana alam tersebut dikenali sebagai alam barzakh yang sifatnya berbeza dengan alam dunia.
Semoga Allah kurniakan kepada kita nikmat kubur sehingga membawa kita ke syurga. Amin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dajjal dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah hidup dan mati.”