Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #65: BOLEHKAH BERUSAHA MENCARI TAKWIL MIMPI

USAHA CARI TAKWIL MIMPI.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah kita berusaha mencari takwil-takwil terhadap setiap mimpi yang kita alami?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seseorang Muslim. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Riwayat Ibn Majah (3907)

Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  • Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.
  • Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.

Guru kami, Syeikh Atiyyah Salim Rahimahullah ketika menafsirkan 46 bahagian kenabian menyebut, ini kerana kerasulan Nabi SAW selama hampir 23 tahun sedangkan muqaddimah kenabian melalui mimpi hampir 6 bulan. Justeru, 6 bulan daripada 23 tahun bersamaan 1/46. Wallahu a’lam.

Dalam hal ini, mimpi yang wajar ditafsirkan adalah mimpi yang ketiga sahaja. Bukan yang pertama dan juga yang kedua. Para ulama menganggap tafsiran mimpi bukan semestinya mengikut apa yang berlaku tetapi ia boleh jadi berlainan.

Ibnu Battal pula berkata, mimpi ada dua jenis:

Pertama, mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil.

Kedua, mimpi yang hadir dengan simbol-simbol. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang simbol-simbol itu sangat halus dan rumit. (Rujuk Fath al-Bari, 19/451)

Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa mimpi tidak boleh dijadikan landasan dalam menghukumkan sesuatu perkara. Imam al-Syatibi berkata, "Sesungguhnya mimpi dari selain para Nabi secara Syar'ie tidak boleh dijadikan landasan untuk menghukumkan perkara apa pun, kecuali setelah ditimbangkan dengan hukum Syariat. Apabila bertepatan dengan hukum Syariat, maka boleh diamalkan. Apabila bertentangan, maka wajib ditinggalkan dan berpaling darinya. Faedah dari mimpi tersebut hanyalah memberi khabar gembira atau peringatan. Adapun menentukan sesuatu hukum dengannya, maka tidak boleh sama sekali." (Lihat al-I'tisam, 2/78)

Abd al-Rahman bin Yahya al-Mu'allimi menyatakan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa mimpi tidak boleh dijadikan hujjah (dalil). Oleh itu, mimpi hanyalah sekadar memberi khabar gembira atau peringatan. Di samping itu, ia juga boleh menjadi ibrah (pelajaran) apabila bertepatan dengan dalil Syar'i yang sahih. (Lihat al-Tankil, 2/242)

Seseorang yang ingin menta’bir mimpi amat perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan juga sifat yang soleh dan warak. Beliau hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah. Rasulullah SAW sendiri menafsirkan mimpi dan pernah Rasulullah SAW berkata kepada sahabatnya di waktu pagi, seperti riwayat Samurah bin Jundub R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِمَّا يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ لِأَصْحَابِهِ: «هَلْ رَأَى أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْ رُؤْيَا، قَالَ: فَيَقُصُّ عَلَيْهِ مَنْ شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَقُصَّ....ا

Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW kerap kali bertanya kepada sahabat-sahabatnya, adakah seseorang kamu bermimpi? Maka dikisahkan ke atasnya, siapa yang Allah menghendaki untuk menceritakannya…….

Riwayat al-Bukhari (7047)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Di sini juga memberi maksud sebagai menolak pendapat yang berkata di kalangan ahli ta'bir, 'sesungguhnya sunat ta'bir mimpi selepas keluar matahari sehingga tengahari, dan daripada Asar hingga sebelum Maghrib. Sesungguhnya hadis ini menunjukkan juga sunat ta'bir sebelum keluar matahari. (Lihat Fath al-Bari, 12/440)

Makanya, ramai tokoh-tokoh ulama’ yang mempunyai keahlian dalam ilmu ta’bir mimpi, antaranya Ibn Sirin, Imam Syafi’e, Syeikh Abd al-Ghani al-Nablusi dan lain-lain. Ta’bir yang mereka lakukan banyak yang tepat dan benar. Ini kurniaan Allah SWT kepada mereka.

Seperkara lagi perlu diingat bahawa mimpi orang yang beriman di akhir zaman menjadi pembawa berita gembira. Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis, daripada Abi Hurairah R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُبُوَّة إِلاَّ المبُشِّراتُ. قالوا: وَمَا المُبشِّراتُ؟ قَالَ: الُّرؤْيَا الصَّالِحةُ

Maksudnya: Tiadalah kekal daripada kenabian kecuali banyak berita gembira. Mereka bertanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan banyak berita gembira?” Sabda Rasulullah SAW: “Mimpi yang soleh.”

Riwayat al-Bukhari (6990), Ahmad (24977), al-Baihaqi
dalam Syu'ab al-Iman (4750) dan al-Daraqutni (1/177)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: al-Mubasyyirat jama' daripada perkataan mubasyyirah iaitu al-busyra; berita atau khabar gembira datang dalam nas Ilahi " لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَة" (Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat). Ia memberi maksud mimpi yang soleh dan baik. (Lihat Fath al-Bari, 12/375)

Dalam menjadikan serta mendapat mimpi yang benar, maka hendaklah seseorang itu sentiasa bercakap benar. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

Maksudnya: “Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya.”

Riwayat Muslim (6042)

Imam Nawawi berkata: Zahirnya bahawa ia mengikut itlaqnya. Dihikayatkan oleh al-Qadhi Iyyadh, daripada sebahagian ulama' bahawa hal ini terjadi pada akhir zaman ketika terputusnya ilmu dan mati ramai para ulama serta solehin dan siapa yang dapat diberi cahaya ucapannya dan amalannya, maka Allah menjadikannya sebagai penguat dan ganti di samping memberi peringatan kepada mereka semua. (Lihat Syarah Sahih Muslim, 15/20)

 

Kesimpulan

Bagi seseorang yang bermimpi yang baik maka perkara yang pertama dia memohon kepada Allah dan jika sekiranya tidak baik maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT.

Kami menutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.