Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #78: HUKUM TUNDUK HORMAT KEPADA JENAZAH

 

MAYAT.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum WBT kepada S.S Mufti Wilayah Persekutuan. Saya pelajar perubatan tahun akhir ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak Dato’ Seri mengenai program yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan NGO. Secara ringkasnya program ini memberi peluang kepada pelajar perubatan untuk menggunakan badan pesakit non-muslim (Budha) yang telah meninggal dunia untuk kami belajar dalam membuat prosidur di badan si mati. Prosedur yang kami belajar ialah ‘chest tube drainage, suturing, incision, intubation dan CVP line’. Namun begitu, kami perlu menundukkan badan sebanyak 3 kali sebagai tanda hormat kami kepada mayat. Apa hukum jika tunduk hormat kepada mayat?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Abu Said al-Khudri menyatakan di dalam sebuah hadis, bahawasanya suatu ketika dahulu Nabi SAW pernah berkata kepada para sahabat;-

إِذَا رَأَيْتُمْ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا فَمَنْ تَبِعَهَا فَلَا يَقْعُدْ حَتَّى تُوضَعَ

“Apabila kamu melihat jenazah maka bangunlah. Sesiapa yang mengiringinya maka janganlah dia duduk sehingga jenazah diletakkan”

(Hadis riwayat sahih Bukhari, No. 1310)

 

Begitu juga di dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:-

مَرَّ بِنَا جَنَازَةٌ فَقَامَ لَهَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَقُمْنَا بِهِ‏.‏ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهَا جَنَازَةُ يَهُودِيٍّ‏.‏ قَالَ ‏"‏ إِذَا رَأَيْتُمُ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا"

“Jenazah melintasi berdekatan kami lalu Rasulullah SAW bangun dan kami juga bangun. Kami berkata, “Wahai Rasulullah itu jenazah yahudi.” Baginda bersabda: “Apabila kamu melihat jenazah maka bangunlah”

(Hadis riwayat Bukhari, No.1311)

 

Maka jelas melalui 2 hadis tersebut, Nabi SAW mengajar kepada umat Islam, secara lazimnya apabila melihat jenazah yang lalu maka disunatkan untuk berdiri sama ada ia adalah jenazah orang Islam atau jenazah orang bukan Islam.

Namun begitu, terdapat perbahasan dalam menilai adakah berdiri itu merupakan satu penghormatan kepada jenazah ataupun tidak. Jika dilihat kepada beberapa matan hadis yang lain, terdapat beberapa versi yang menyatakan asbab Nabi SAW berdiri ketika melihat jenazah yang menghampiri.

 

Diantaranya adalah seperti berikut:-

Pertama:-

أنَّ جنازةً مرَّت برسولِ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ فقامَ فقيلَ إنَّها جنازةُ يَهوديٍّ فقالَ إنَّما قمنا للملائِكةِ

Maksudnya: “Jenazah melintasi berhampiran Rasulullah SAW lalu Baginda berdiri. Lantas sahabat berkata; “Ini adalah jenazah orang yahudi”. Baginda menjawab; “kita berdiri adalah kerana malaikat”.

(Hadith riwayat Sunan Nasa’I, 1929)

Hadis ini adalah bertaraf sahih

 

Kedua:-

فَمَرُّوا عَلَيْهِمَا بِجَنَازَةٍ فَقَامَا‏.‏ فَقِيلَ لَهُمَا إِنَّهَا مِنْ أَهْلِ الأَرْضِ، أَىْ مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ فَقَالاَ إِنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم مَرَّتْ بِهِ جَنَازَةٌ فَقَامَ فَقِيلَ لَهُ إِنَّهَا جَنَازَةُ يَهُودِيٍّ‏.‏ فَقَالَ ‏ "‏ أَلَيْسَتْ نَفْسًا

Maksudnya: Perarakan jenazah berlalu di hadapan mereka dan mereka berdiri. Mereka diberitahu bahawa jenazah itu adalah salah satu daripada Ahli Zimmah. Mereka berkata; “jenazah berlalu berhampiran dihadapan Nabi SAW lalu Baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa / manusia?

(Hadith riwayat Muslim, No. 961)

Hadis ini dinilai sahih

Ketiga:-

مَرَّتْ بِنَا جَنَازَةٌ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقُمْنَا مَعَهُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا هِيَ جَنَازَةُ يَهُودِيَّةٍ ‏.‏ فَقَالَ ‏ "‏ إِنَّ لِلْمَوْتِ فَزَعًا فَإِذَا رَأَيْتُمُ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا

Maksudnya: Kami dilintasi oleh satu jenazah, lalu Rasulullah SAW berdiri, dan kami berdiri bersamanya. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, Ia hanyalah jenazah yahudi”. Lalu baginda bersabda; “Sesungguhnya bagi kematian itu ada kegerunan. Maka apabila kamu melihat jenazah, berdirilah”

(Hadith riwayat sunan Nasa'I, 1922)

Hadith ini dinilai sahih

 

Pada matan hadis yang kedua itu, ia adalah jawapan yang menyatakan berdiri tersebut adalah satu tanda hormat kepada jenazah. Oleh itu, adalah dianjurkan kepada umat Islam untuk menghormati jenazah dengan cara berdiri sama ada jenazah orang Islam mahupun bukan Islam.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, apakah hukum jika seseorang muslim membongkokkan badan dan kepala kepada mayat bukan Islam sebanyak 3 kali sebagai tanda penghormatan kepada si mati yang memberi kebenaran untuk digunakan badannya bagi tujuan kajian dan pembelajaran.

Bagi menjawab isu ini, kami memetik petikan daripada buku panduan bagi agama Buddha yang bertajuk “Tatacara lengkap pemakaman pengikut agama Buddha (A Guide to a Proper Buddhist Funeral)”. Kata pengarang:-

“When paying their respect, guest should stand straight in front of the altar and bow with hands clasped together”

Maksudnya: Untuk memberi hormat kepada si mati, tetamu perlu berdiri tegak dihadapan altar dan tunduk hormat bersama tangan yang ditekap bersama.

(Rujuk A Guide to a Proper Buddhist Funeral, m/s 16)

Adapun jika dilihat menerusi penerangan tersebut, menunduk hormat kepada mayat menurut agama buddha ia adalah tatacara yang perlu dan amalan yang khusus dalam pengurusan kebumian bagi penganutnya. Maka atas sebab ini, umat Islam diharamkan untuk menunduk hormat ke atas jenazah bukan Islam kerana ia adalah perkara tasyabbuh dan perkara yang membawa kepada fitnah.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”

(Hadith Riwayat Abu Daud, No. 4031)

Sheikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka: “Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.”

(Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, 9/54)

 

Kesimpulannya, kami menasihatkan bahawa, berpeganglah kepada anjuran Nabi SAW yang mengajar umatnya untuk berdiri sahaja bagi menghormati jenazah, maka ini adalah lebih afdhal. Jika dilihat pada solat jenazah sekalipun, rukun solat jenazah, tidak ada satu pun rukunnya menunduk bahkan rukuk mahupun sujud melainkan hanya berdiri tegak. Tidaklah perbuatan untuk menafikan tunduk hormat itu adalah sesuatu yang biadap, kerana sayogia penghormatan yang lebih tinggi terhadap jenazah adalah dapat diuruskan daripada awal sehingga jasad dikebumikan.

WallahuA’lam.

َرَّتْ