Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #81: ADAKAH BIDADARI BERADA DALAM USIA YANG SAMA

BIDADARI USIA.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah bidadari dalam syurga berada dalam usia yang sama, yang tidak berubah dan tidak tua?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada kitab Jinan al-Khuldi oleh Syeikh Mahir Ahmad al-Sufi (hlm. 294) antara lain menyebut: Bahkan bidadari sentiasa dalam keadaan yang sama tanpa menjadi tua, dan setiap masa amat menarik. Firman Allah SWT:

وَعِندَهُمْ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ أَتْرَابٌ

Maksudnya: Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya.

Surah Sad (52)

Al-Baghawi berkata: Usia mereka sama iaitu 33 tahun. (Lihat Tafsir al-Baghawi yang dikenali sebagai Ma’alim al-Tanzil, 4/66)

Ibn Kathir menjelaskan: "أَتْرَابٌ" (yang sebaya umurnya), yakni sama dalam usia dan umur. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/72)

Firman Allah SWT lagi:

إِنَّا أَنشَأْنَاهُنَّ إِنشَاءً ﴿٣٥﴾ فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا ﴿٣٦﴾ عُرُبًا أَتْرَابًا

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.

Surah al-Waqi’ah (35-37)

Imam Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT: "أَتْرَابًا" (yang sebaya umurnya), beliau menukilkan bahawa al-Dahhak menceritakan daripada Ibn Abbas: "Yakni umurnya sama, 33 tahun." Mujahid menyatakan "أَتْرَابًا" bermaksud seimbang. Dan dalam sebuah riwayat darinya: "أَتْرَابًا" bermaksud setara." (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 8/6)

Syeikh al-Maraghi menyebut dalam tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menyediakan bidadari-bidadari itu dari kalangan gadis-gadis perawan yang dicintai oleh suami mereka, kerana mereka melayani suami mereka dengan baik. Semuanya sebaya umurnya, yang satu tidak berbeza dari yang lain. Kami berikan bidadari-bidadari itu untuk golongan kanan (ashab al-yamin). (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/6797)

Justeru, kalimah atrab (أَتْرَاب) dalam dua ayat di atas jelas menunjukkan bahawa usia mereka adalah sama dan satu, bersifat kepemudaan tanpa tua.

Semoga Allah kurniakan kita syurga-Nya. Kami menutup dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالْجَنَّةَ وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ وَالنَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami mohon kepadamu, keredhaan-Mu dan syurga. Dan kami berlindung dengan-Mu dari kemurkaan-Mu dan neraka.”

Amin.