Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #82: BAGAIMANA STATUS DOSA DENGAN MAKHLUK SELEPAS MEMELUK ISLAM

DOSA MAKHLUK ISLAM.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bagaimana status dosa dengan makhluk selepas seseorang memeluk Islam? Contohnya dosa seperti mencuri, memfitnah dan sebagainya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَنتَهُوا يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ الْأَوَّلِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.”

Surah al-Anfal (38)

Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/40) menjelaskan: Maksudnya (berhenti dari melakukan) dari apa yang mereka perbuat berupa kekufuran dan penentangan. Hendaklah mereka masuk Islam, taat dan kembali kepada Allah. Jika demikian, nescaya Allah akan mengampuni mereka atas apa yang telah berlalu. Maksudnya dari kekufurannya, dosa-dosanya dan kesalahan-kesalahannya sebagaimana disebut dalam hadis sahih, daripada Ibn Mas'ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْسَنَ فِي الْإِسْلَامِ لَمْ يُؤَاخَذْ بِمَا عَمِلَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ أُخِذَ بِالْأَوَّلِ وَالْآخِرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat baik dalam Islam, apa yang dilakukannya pada masa Jahiliyyah (sebelum memeluk Islam) tidak dihukum, dan siapa yang berbuat buruk dalam Islam, akan dihukum dari awal hingga akhir."

Riwayat al-Bukhari (6921) dan Muslim (334)

Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: Maksud ungkapan “مَنْ أَحْسَنَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah masuk Islam secara zahir dan batin. Manakala maksud “وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah tidak masuk Islam berserta dengan hatinya. Dia menzahirkan syahadahnya tetapi di dalam hatinya, dia tidak meyakini Islam. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/345)

Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: Maksud “مَنْ أَحْسَنَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah melakukan segala kewajipannya dan meninggalkan segala larangannya. Manakala “وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah (masih) melakukan sebahagian tegahan yang dilakukan semasa jahiliyyah (sebelum masuk Islam). (Lihat Fath al-Bari, 1/79)

Imam al-Munawi menjelaskan: Maksud “وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah dengan tiada keiklasan atau meninggalkan tauhid, dan dia mati dalam keadaan demikian. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/37)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَسْلَمَ العَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلاَمُهُ، يُكَفِّرُ اللَّهُ عَنْهُ كُلَّ سَيِّئَةٍ كَانَ زَلَفَهَا، وَكَانَ بَعْدَ ذَلِكَ القِصَاصُ: الحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ، وَالسَّيِّئَةُ بِمِثْلِهَا إِلَّا أَنْ يَتَجَاوَزَ اللَّهُ عَنْهَا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba masuk Islam, lalu Islamnya baik, dihapus daripadanya semua keburukan yang pernah dia lakukan. Kemudian setelah itu ada balasan yang adil; iaitu satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun satu keburukan dibalas dengan sama, kecuali Allah mengampuninya.”

Riwayat al-Bukhari (41)

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam menjelaskan hadis di atas berkata: Iaitu Islamnya menjadi baik dengan iktikad dan keikhlasannya serta dia memeluk Islam berserta zahir dan batin. (Lihat Fath al-Bari, 1/99)

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW juga pernah bersabda kepada Amru bin al-‘As RA:

أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الإِسْلاَمَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟ وَأَنَّ الْهِجْرَةَ تَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهَا؟ وَأَنَّ الْحَجَّ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟

Maksudnya: “Apakah kamu tahu bahawa Islam telah menghapuskan dosa sebelumnya? Hijrah boleh menghapus dosa semuanya? dan Haji boleh menghapuskan dosa sebelumnya.”

Riwayat Muslim (121)

Imam Nawawi berkata: “Ini menunjukkan besarnya kedudukan Islam, hijrah dan haji. Setiap satunya boleh menghapuskan sebarang dosa yang dilakukan sebelumnya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/138)

Syeikh Muhammad Amin berkata: Sesungguhnya Islam dan iman akan menggugurkan keseluruhan dosa yang dilakukan seseorang sebelum memeluk Islam sama ada dosa besar atau dosa kecil. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj fi Syarh Sahih Muslim, 3/221)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ نَاسًا مِنْ أَهْلِ الشِّرْكِ قَتَلُوا فَأَكْثَرُوا ، وَزَنَوْا فَأَكْثَرُوا ، ثُمَّ أَتَوْا مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالُوا: إِنَّ الَّذِي تَقُولُ وَتَدْعُو لَحَسَنٌ ، وَلَوْ تُخْبِرُنَا أَنَّ لِمَا عَمِلْنَا كَفَّارَةً ، فَنَزَلَ : {وَالَّذِينَ لاَ يَدْعُونَ مَعَ اللهِ إِلَهًا آخَرَ وَلاَ يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَلاَ يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا} وَنَزَلَ {يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لاَ تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ}.

Maksudnya: Bahawa beberapa orang musyrikin yang pernah terlibat membunuh ramai orang, melakukan zina dan sebagainya datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya apa yang engkau kata dan sampaikan adalah baik, dan kalaulah kamu khabarkan kami mengenai apa-apa kaffarah/pengampunan ke atas apa yang telah kami lakukan.” Maka Allah SWT lalu menurunkan ayat (وَالَّذِينَ لاَ يَدْعُونَ مَعَ اللهِ إِلَهًا آخَرَ وَلاَ يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَلاَ يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا) dan ayat (يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لاَ تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ).

Riwayat al-Bukhari (4810) dan Muslim (237)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Para ulama beristidlal dengan ayat ini dalam menyatakan keampunan ke atas segala dosa sama ada besar atau kecil, sama ada berkait dengan hak manusia ataupun tidak. Dan yang masyhur di sisi Ahli Sunnah bahawa semua dosa diampun dengan taubat dan ia diampun bagi siapa yang Allah kehendaki. (Lihat Fath al-Bari, 8/550)

 

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas bahawa keampunan adalah merangkumi segala dosa sama ada dosa besar atau kecil, dan berkait dengan hak anak Adam atau tidak.

Walaupun begitu, alangkah baiknya bagi sesiapa yang mampu untuk membayar balik dan menebus semula apa yang diambil daripada seseorang tanpa hak untuk dipulangkan semula bagi menunjukkan Islam agama yang menjunjung tasamuh islami serta akhlak yang unggul.

Kami menutup dengan doa kepada Allah:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”

Surah al-A’raf (23)