Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #83: MENGAPA DISURUH BERDOA JIKA TELAH DITAKDIRKAN

berdoa dan takdirr.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Mengapa kita disuruh berdoa dan melakukan istikharah jika semuanya telah ditakdirkan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah pemohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)

Allah SWT telah menjadikan doa sebagai sebab untuk meraih apa yang diinginkan. Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Surah Ghafir (60)

Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 183/24)

Kita disuruh berdoa kerana besarnya kesannya terhadap apa yang akan berlaku. Daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ

Maksudnya: “Sesungguhnya doa bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (3548)

Manakala dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW menjelaskan betapa besarnya kuasa doa sehingga mampu mengubah sesuatu takdir. Daripada Thauban R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.”

Riwayat Ibn Majah (4022), Ahmad (22745) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9752)

Seseorang yang tidak berdoa merupakan orang yang keliru dengan konsep takdir dan doa. Di dalam kitab Majmu’ Fatawa dijelaskan: “Sesiapa yang berkata: ‘Saya tidak berdoa dan tidak memohon kerana hanya bersandar dengan takdir, maka orang itu keliru. Ini kerana Allah SWT telah menjadikan doa dan permohonan sebagai sebab untuk meraih keampunan dan rahmat-Nya serta memberinya petunjuk dan pertolongan serta rezeki-Nya. Jika seseorang telah ditakdirkan kebaikan dengan doa, maka kebaikan tersebut tidak akan dapat diraih kecuali dengan doanya. (Lihat Majmu’ Fatawa, 8/69)

Dalam menghadapi musibah, doa dan permohonan kepada Allah SWT mampu menolong seseorang dalam menghadapi musibah. Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi menyebut: “Doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah. Ia dapat mengubati dan mengatasinya, mencegah turunnya musibah atau mengangkatnya atau meringankannya. Ia merupakan senjata orang beriman. Doa dalam menghadapi musibah terbahagi kepada tiga tingkatan:

  • Doa lebih kuat dari musibah, maka ia dapat mengusirnya.
  • Doa lebih lemah dari musibah, maka musibah dapat mengalahkannya sehinggalah seseorang ditimpa musibah. Akan tetapi boleh jadi doa dapat meringankannya walaupun doanya lemah.
  • Keduanya saling berlawanan antara satu sama lain, saling mencegah terjadinya pada orang tersebut. (Lihat al-Jawab al-Kafi, hlm. 4)

 

Kesimpulan

Daripada nas dan kenyataan di atas, jelas bahawa doa berperanan dalam meraih sesuatu yang diinginkan oleh seseorang. Allah SWT telah menjadikan doa sebagai sebab dalam meraih keampunan dan rahmat daripada-Nya. Begitu juga dalam memohon petunjuk, pertolongan serta rezeki daripada-Nya.

Kami tegaskan di sini, janji Allah yang thabit bagi orang yang berdoa, antaranya:

  • Firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Surah al-Baqarah (186)

Ibnu Kathir menjelaskan, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak akan mengecewakan doa orang yang memanjatkan doa kepada-Nya. Dia tidak menolak dan mengabaikan doa seseorang, bahkan Dia Maha Mendengar doa. Di dalam pengertian ini terkandung anjuran untuk sentiasa berdoa, dan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan doa yang dipanjatkan kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/506)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Istijabah bermaksud memperkenankan seruan dengan penuh perhatian dan bersedia untuk melaksanakannya. Ini bermaksud disebabkan Aku sangat hampir dengan mereka, Aku mengabulkan doa orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan menjalankan apa yang Aku perintahkan kepada mereka, iaitu beriman dan menunaikan ibadah yang berguna untuk mereka, seperti puasa, sembahyang, zakat dan ibadah lain. Apa yang Aku serukan kepada mereka seperti Aku mengabulkan doa mereka dengan cara menerima ibadah mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/368)

  • Firman Allah SWT lagi:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

Surah Ghafir (60)

Marilah kita sama-sama melazimi dengan berdoa dan memohon kepada Allah SWT dalam apa jua perkara dan urusan dalam kehidupan kita.