Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #109 : DAJJAL SEORANG ATAU RAMAI?

AFKAR 109

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sihat sentiasa. Saya ada satu persoalan. Saya pernah dengar satu hadis yang menyebut bahawa di akhir zaman nanti akan keluarnya ramai dajjal menyebarkan pembohongan dan penipuan. Soalan saya dajjal ini seorang ataupun ramai?. Apa maksud dajjal dalam hadis tersebut?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di antara fitnah terbesar yang akan dihadapi pada akhir zaman adalah kemunculan dajjal. Oleh kerana itu Nabi SAW mengajarkan satu doa sebagai satu cara untuk mengelakkan fitnah tersebut. Doa tersebut sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah bahawa Nabi SAW berdoa :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ النَّارِ وَعَذَابِ النَّارِ وَفِتْنَةِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَشَرِّ فِتْنَةِ الْغِنَى وَشَرِّ فِتْنَةِ الْفَقْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya : “ Ya Allah aku berlindung kepada Engkau  daripada fitnah neraka dan azab api neraka. Aku juga berlindung kepada Engkau daripada fitnah kubur dan keburukan hasil daripada firnah kekayaan dan kefakiran. Ya Allah, aku berlindung kepada Engkau daripada  keburukan fitnah Al-Masih Al-Dajjal…”

Riwayat Al-Bukhari (6377) & Muslim (7046)

Bahkan di dalam riwayat hadis yang lain menggambarkan betapa kemunculan dajjal akan menguji dan menggocang keimanan. Ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

ثَلَاثٌ إِذَا خَرَجْنَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ، أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ

Maksudnya: “Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya.(Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga al-Dabah yang melata di bumi”.

Riwayat Muslim (158)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, memang di sana terdapat hadis yang menceritakan bahawa akan muncul pada akhir zaman pendusta yang disebut sebagai dajjal. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

يَكُونُ فِى آخِرِ الزَّمَانِ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ يَأْتُونَكُمْ مِنَ الأَحَادِيثِ بِمَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلاَ آبَاؤُكُمْ فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ لاَ يُضِلُّونَكُمْ وَلاَ يَفْتِنُونَكُمْ

Maksudnya : “Akan datang pada akhir zaman (kemunculan) dajjal-dajjal para pendusta. Mereka akan datang kepada kalian dengan ucapan-ucapan yang tidak pernah kalian dengar. Bahkan ayah-ayah kalian juga tidak pernah mendengarnya. Maka jauhilah mereka. Mereka tidak akan menyesatkan kalian mahupun mendatangkan fitnah kepada kalian.”

Riwayat Muslim (16)

Di dalam riwayat yang lain menyebut :

وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبًا مِنْ ثَلَاثِينَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللَّهِ

Maksudnya : “ Tidak akan terjadinya kiamat sehinggalah dibangkitkan dajjal-dajjal yang menipu yang mana jumlah mereka lebih kurang 30 orang. Setiap daripada mereka mendakwa bahawa dialah utusan Allah.”

Riwayat Al-Bukhari (3609), Al-Tirmizi (2218) & Abu Daud (4333)

Jika diperhatikan di dalam riwayat-riwayat ini disebutkan dajjal dalam bentuk kata jamak iaitu dajjalun yang membawa maksud dajjal-dajjal. Namun begitu, adakah ianya bermakna bahawa dajjal itu ada ramai?.

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut :

الدجل التغطية والتمويه، ويطلق على الكذب أيضا، فعلى هذا "كذابون" تأكيد

Maksudnya : “Dajal itu membawa maksud menutup dan menyembunyikan. Ia juga kadang-kadang membawa makna menipu. Oleh kerana itu, perkataan kazzabun (pendusta) adalah sebagai penguat kepada perkataan dajjal.” (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 6/616)

Sheikh Syamsul Haq Al-‘Azim Al-Abadi menjelaskan perkataan dajjal yang disebutkan di dalam hadis tersebut :

وَهُوَ التَّلْبِيس وَهُوَ كَثِير الْمَكْر وَالتَّلْبِيس

Maksudnya : “(Maksud dajjal) ialah belitan dan kekeliruan. Iaitu banyaknya perancangan jahat dan kekeliruan.” (Rujuk ‘Aun Al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 9/1446)

Imam Al-Nawawi berkata :

وأنه من الدجل وهو التمويه وقد قيل غير ذلك وقد وجد من هؤلاءخلق كثيرون فى الاعصار

Maksudnya : “Ianya berasal dari perkataan Al-Dajl yang membawa makna menyembunyikan perkara yang sebenar dan mempersembahkan sesuatu yang tidak bernilai, Mereka ini terdapat pada setiap zaman. “ (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/45).

Bahkan jika dilihat pada zaman Rasulullah SAW terdapat beberapa orang yang dipanggil sebagai dajjal. Antaranya Ibnu Sayyad, Musailamah dan ramai lagi. Maulana Anwar Syah Al-Kashmiri menyebut bahawa Ibnu Sayyad itu bukannya dajjal yang sebenar. Ini berdasarkan satu kenyataan yang terdapat di dalam Musannad Abdurrazzaq:

أيُّها الناسُ إنَّ ابنِ صَيَّاد ليس الدجَّال الأكبر

Maksudnya : “Wahai orang ramai, sesungguhnya Ibnu Sayyad itu bukanlah dajjal yang besar.”

Maka dinamakan sebagai dajjal adalah kerana sifat dustanya dan penuh dengan penipuan. (Rujuk Faidh Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 3/120).

Kesimpulannya, berdasarkan apa yang telah dinyatakan, hadis tersebut bukan bermakna dajjal itu adalah ramai. Dajjal yang disebut sebagai Al-Masih itu seorang yang akan muncul pada akhir zaman sebagai tanda hampirnya kiamat. Dajjal yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah bersifat umum yang bermaksud penipu, pembohong dan pendusta yang suka menyebarkan pembohongan sehingga dipercayai oleh ramai orang.

Semoga Allah memberikan kefahaman dan menjauhkan kita dari menjadi dajjal-dajjal kecil. Wallahu’alam