Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #122: MENGAPA ALLAH DIRUJUK SEBAGAI 'HE' (LAFAZ MASKULIN) DAN BUKANNYA 'SHE' (LAFAZ FEMININ)

Slide1 

Soalan

Assalamualaikum wbt. Mohon penjelasan mufti berkenaan isu baru-baru ini, ada yang mempersoalkan kenapa kata ganti nama Tuhan dalam tafsir dirujuk sebagai ‘He’ dan bukannya ‘She’. Adakah Tuhan digantikan dengan ‘He’ menggambarkan patriarki yang dibawa sejak zaman dahulu kerana menggambarkan sifat maskuliniti lelaki yang lebih kuat atau macam mana? Terima kasih ya.

 

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Perbahasan sama ada Allah SWT harus digantikan dengan kata ganti nama ‘He’ atau ‘She’ yang bersifatkan antropomorfisme[1] adalah satu kerancuan di dalam agama Islam. Allah SWT tidak memiliki apa-apa jantina sama ada lelaki mahupun perempuan, apatah lagi mahu digambarkan sebagai gender bias kepada mana-mana pihak.

Lafaz ‘He’ digunakan bagi Allah SWT di dalam terjemahan al-Quran kerana mengikuti lafaz ‘هو’ di dalam bahasa arab. Walaupun begitu, lafaz ‘هو’ tidak membawa maksud bahawa Allah SWT bersifat seperti lelaki bahkan ia sebenarnya merupakan keistimewaan bahasa arab yang menggunakan kata ganti nama maskulin untuk perkara yang tidak boleh ditentukan jantinanya atau neuter. 

 

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Sesungguhnya Allah SWT tidak mempunyai jantina sama ada lelaki mahupun perempuan. Jantina ini hanya tertakluk kepada makhluk-makhluk ciptaan Allah SWT, dan tiada sesuatu apa pun yang sama dengan Allah SWT seperti di dalam firmannya:

فَاطِرُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا وَمِنَ ٱلْأَنْعَٰمِ أَزْوَٰجًا ۖ يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ ۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: “Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”

Surah al-Syura (11)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan bahawa ciptaan-ciptaan di atas dunia telah menjadi bukti akan kekuasaan Allah SWT yang menciptakan daripada ‘tiada’ kepada ‘ada’. Dan Allah SWT menjadikan makhluknya berpasang-pasangan lelaki dan perempuan sama ada manusia ataupun haiwan ternakan, namun tiada apa jua sifat-sifat dan zat-zat ini menyerupai Allah SWT. Tiada yang serupa denganNya dari segi Zat, Sifat, Kekuasaan, dan Kemuliaan.[2]

[Lihat Tafsir al-Munir: 13/39]

 

Keunikan bahasa arab (اللغة العربية)

Al-Quran diturunkan dalam bahasa arab dan di dalamnya, nama Allah SWT digantikan dengan kata ganti nama ‘هو’ (yang merujuk kepada sifat maskulin) dan bukannya ‘هي’(merujuk kepada sifat feminin). Mengapa begitu? Setiap bahasa di dalam dunia mempunyai perbezaan tatabahasa untuk merujuk sama ada sesuatu itu maskulin atau feminin. Menurut pengkaji Hamza Karamali, bahasa pada zaman moden membahagikan antara jantina semulajadi (natural gender) dan jantina tatabahasa (grammatical gender). Jantina semulajadi (natural gender) ditentukan melalui fisiologi; alat seksual seorang manusia atau sesuatu haiwan, sama ada lelaki/jantan atau perempuan/betina, manakala jantina tatabahasa (grammatical gender) ditentukan oleh penggunaan bahasa itu sendiri. [3]

Menurut ulama nahu yang terkenal Sibawayh yang mengatakan mengenai bahasa arab, perkataan tatabahasa maskulin kebiasaannya didahulukan berbanding tatabahasa feminin, kerana ianya lebih asal dan lebih kukuh penggunaannya (di dalam bahasa tersebut). Dan perkataan tatabahasa feminin pula memang akan bercambah daripada tatabahasa maskulin. Contohnya seperti perkataan ‘الشيء’ yang bermaksud ‘segala benda’, boleh dimaksudkan dengan apa jua benda kehidupan tidak kira sama ada lelaki/jantan atau perempuan/betina, namun tatabahasanya adalah kata ganti nama (noun) maskulin.[4]

[Lihat Kitab li Sibawayh: 1/22]

 

Mahmud al-Sa’rani pula mengatakan tatabahasa maskulin di dalam bahasa arab bukan semata-mata membezakan kata ganti nama lelaki dan perempuan, tetapi ia sebenarnya boleh memberi pengkelasan kepada semua jenis kata ganti nama maskulin, feminin, mahupun yang neuter.[5] Ini menunjukkan bahawa apa sahaja yang bersifat neutral dan tidak mempunyai jantina akan menggunakan kata ganti nama (noun) maskulin. 

[Lihat Ilmu Lughah al-Muqaddimah lil Qari al-Arabiy: 2/193]

 

Muhammad Soleh al-Munajjid pula mengatakan di dalam kitabnya bahawa kebanyakan bahasa sememangnya membahagikan sesuatu itu sama ada kategori maskulin atau feminin– walaupun sesuatu itu sukar untuk diterangkan. Ini adalah keistimewaan dalam setiap bahasa yang wujud di atas dunia kini. Namun konsep sebegini tidak terpakai kepada bahasa arab kerana jika sesuatu itu sukar untuk ditentukan jantinanya, atau tidak boleh langsung ditentukan jantinanya, maka ahli bahasa arab lebih mengutamakan untuk menggunakan perkataan sifat maskulin kerana ia lebih kuat dan terbitan dari kata asal. Tidak perlu untuk menambah apa-apa huruf tambahan yang mana selalunya perkataan sifat feminin dinisbahkan sedemikian.[6]

[Lihat Mauqi’ al-Islam Sual wa jawab: 1/728]

 

Kesimpulan

Justeru, Allah SWT tidak mempunyai apa-apa jantina sama ada lelaki mahupun perempuan. Allah SWT dirujuk dengan kata ganti nama maskulin di alam bahasa arab kerana ia sememangnya sifat asal dan penggunaan bahasa tersebut. Manakala terjemahan al-Quran di dalam bahasa inggeris menggunakan kata ganti nama ‘He’ kerana mengikuti lafaz arab yang pada asalnya ‘هو’. Walaupun begitu, ini tidak bermakna Allah SWT mempunyai jantina lelaki atau bersifat maskulin kerana Zat Allah SWT maha suci daripada disamakan dengan makhluk ciptaanNya. Pemikiran antropomorfisme sebegini yang mahukan Allah SWT berpihak kepada jantina ‘He’ atau ‘She’ hendaklah dijauhkan dari pemikiran dan akal yang waras. 

 

Rujukan:

Wahbah al-Zuhaili. Tafsir al-Munir. 2003. Darul Fikri Damsyiq. 

Sibawayh. Kitab li Sibawayh. 1988. Maktabah al-Khaniji Kaherah. Jil. 1 hlm. 22

Mahmud al-Sa’rani. Kitab Ilmu Lughah Muqaddimah lil Qari al-Arabiy. 1997. Darul Fikri Arabi Kaherah. Cetakan 2, Hlm. 193.

Muhammad Soleh al-Munajjid. Kitab Mauqi’ al-Islam Sual wa Jawab (e-kitab). 2009.  Jil. 1, Hlm. 728

 

[1] Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, antropomorfisme bermaksud kepercayaan bahawa Tuhan bersifat sama seperti manusia dari segi rupa bentuk, perasaan atau kelakuan. 

[2] استدلّ الله تعالى على قدرته الفائقة بأنه خالق السماوات والأرض من العدم, وخالق الزوجين الذكر والأنثى من الناس والأنعام, وأنه ليس مثله شيء في ذاته وصفاته من عظمته وكبريائه وقدرته وملكوته

[3] Hamza Karamali, ‘Why Do We Refer to God Using the Masculine Pronoun’, Basira Education, https://www.basiraeducation.org/blog/why-do-we-refer-to-god-using-the-masculine-pronoun

[4] واعلم أن المذكَّر أخفّ عليهم من المؤنّث لأنّ المذكر أوّل، وهو أشدُّ تمكنا، وإنّما يخرج التأنيثُ من التذكير. ألا ترى أنّ " الشيء " يقع على كلَّ ما أخبر عنه من قبل أن يُعْلَم أذكرٌ هو أو أُنثى، والشيء ذكر

[5] إن معنى "المذكر" في اللغة التي تقسم الاسم إلى مذكر ومؤنث ليس غير، غير معنى المذكر في اللغة التي تقسم الاسم إلى "مذكر" و"مؤنث" و"محايد"

[6] وإذا عرفنا أن تقسيم الأشياء إلى مذكر ومؤنث ـ حتى ما لا يوصف في واقع الأمر بذلك ـ هو من خصائص معظم اللغات، خاصة الحية منها الآن؛ وليس من خصائص اللغة العربية وحدها، فلتعلمي أن الشيء ـ أي شيء ـ إذا دار بين أن يوصف في اللغة بالمذكر أو المؤنث، ولم يكن مما يوصف في حقيقة أمره بذلك، فإن اللغة ترجح الإخبار عنه بوصفه مذكرا؛ لأنه أخف عندهم، ولأنه الأصل، فلا يحتاج إلى علامة، ويتفرع عنه المؤنث، بالعلامة الدالة عليه