Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #124: ADAKAH MEMBETULKAN KEMAKSIATAN YANG DILAKUKAN OLEH IBU BAPA DIKIRA SEBAGAI MENCAMPURI URUSAN PERIBADI?

 

 

Screenshot 2022 05 17 at 9.31.35 AM

 

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya amat buntu dan memerlukan nasihat/pertolongan berkaitan ibu saya. Ibu saya merupakan seorang mualaf, namun sejak kematian ayah pada 6 tahun lepas, ibu mula terpengaruh dengan aktiviti tidak bermoral seperti berjudi, minum arak dan sebagainya sehingga di tag di fb gambar-gambar semua tu oleh rakan-rakan beliau. Adakah saya sebagai seorang anak tidak dibenarkan menegur/membimbing/nasihat kepada ibu? Adik-beradik saya yang lain kata tidak boleh dengan alasan biarlah ibu dengan dunia dia, nanti pandai la ibu bertaubat. Kalau tegur nanti dan ibu marah, takut dianggap sebagai anak derhaka. Soalan saya, adakah berjudi, minum arak dan mabuk dianggap sebagai dosa/aib peribadi atau ianya kemungkaran yang wajib dibendung? 

 

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Berjudi dan minum arak merupakan dosa yang besar dan wajib dibendung, apatah lagi jika dosa itu dilakukan secara terang-terangan dan dimuat naik ke dalam sosial media. Aib peribadi ini hanya terpakai jika dalam keadaan seseorang itu melakukan dosa di tempat yang tertutup dan pelaku dosa itu malu jika orang lain mengetahui keadaannya, dan haram bagi kita mencari-cari atau mengintip di dalam keadaan demikian. Namun jika ada bukti yang jelas atau ada laporan berlakunya kegiatan haram seperti berjudi dan minum arak, maka menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membendung kemungkaran ini. Sebagai anak yang bertanggungjawab pula, seseorang anak itu wajib menegur kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh ibu bapa kerana proses ‘islah’ dan teguran menurut Islam adalah bermula daripada institusi keluarga itu sendiri. Wallahua’lam.

 

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Hukum berjudi dan minum arak adalah haram dan merupakan aktiviti yang dilarang di dalam Islam. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَٰمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Maidah (90)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa arak mendatangkan mudarat yang banyak; dari segi fizikal ia menjejaskan kesihatan, dari segi sosial pula ia menimbulkan permusuhan dan pergaduhan. Dari sudut agama pula ia menjadikan kita lalai daripada mengingati Allah SWT dan menunaikan kewajipan-kewajipan agama. Begitu juga dengan perbuatan judi kerana ia memudaratkan psikologi diri kerana secara tidak langsung menjadikan seseorang individu itu gelisah dan risau, dan pelbagai kemudaratan lain seperti mana kesan arak.

[Lihat Tafsir al-Munir: 7/40]

 

Maka, tidak terdapat manfaat atau kebaikan pada kedua-dua aktiviti minum arak dan berjudi melainkan mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan masyarakat. Tanggungjawab sebagai seorang Muslim adalah untuk menegur saudaranya yang melakukan maksiat agar kembali ke jalan yang benar. Apatah lagi sebagai seorang anak atau ahli keluarga yang terdekat. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka”

Surah al-Tahrim (5)

Imam al-Alusi dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini menyeru agar umat Islam menjaga diri daripada api neraka dengan cara meninggalkan maksiat dan melakukan ketaatan dalam perkara kebaikan. Umat Islam juga diwajibkan menjaga ahli keluarga mereka dengan cara nasihat dan ta’dib (mendidik).[1]

[Lihat Ruh al-Maa’ni: 15/232]

 

Imam Qurtubi pula menyatakan bahawa ayat ini merupakan arahan kepada umat Islam supaya menjaga diri sendiri dan ahli keluarga daripada bahaya api neraka. Maka hendaklah seseorang itu memperbaiki dirinya dengan ketaatan kepada Allah SWT, dan mendidik ahli keluarga sepertimana tanggungjawab pemimpin menjaga rakyatnya.[2]

[Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran: 9/418]

Melalui penjelasan tafsir di atas, dapat kita fahami bahawa tanggungjawab dalam menegur kesalahan dan mengajak kepada kebaikan bermula daripada ahli keluarga terlebih dahulu sebelum orang lain. Ini adalah konsep ‘islah’ menurut agama Islam.

Berkenaan aib peribadi pula, Imam Nawawi dalam kitabnya menyenaraikan enam keadaan di mana seseorang itu boleh memberitahu pihak lain berkenaan dosa atau aib yang dilakukan oleh seseorang itu. Salah satunya adalah jika pelaku dosa itu melakukan dosa secara terang-terangan seperti meminum arak, merompak harta orang, menyalah guna duit cukai, mengutip duit cukai secara zalim dan menolong dalam perkara yang batil. Maka diharuskan untuk diberitahu pihak berkuasa atau pihak ketiga untuk memohon pertolongan dalam membendung kegiatan maksiat yang dilakukan berdasarkan bukti-bukti yang ada. Tetapi jika bercerita berkenaan dosa orang lain tidak lebih dari sekadar membuka aib maka diharamkan.[3]

[Lihat Riyadhus Solihin: 426]

Kami juga ada membincangkan mengenai keadaan-keadaan lain yang diharuskan untuk mengumpat. Boleh rujuk di artikel Irsyad Hadis siri ke-346 bertajuk “Mengumpat yang Dibenarkan”: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3154-irsyad-al-hadith-siri-ke-346-mengumpat-yang-dibenarkan

 

Kesimpulan

Maka kami simpulkan bahawa berjudi dan minum arak merupakan dosa yang besar dan wajib dibendung, apatah lagi jika dosa itu dilakukan secara terang-terangan dan dimuat naik ke dalam sosial media. Aib peribadi ini hanya terpakai jika dalam keadaan seseorang itu melakukan dosa di tempat yang tertutup dan pelaku dosa itu malu jika orang lain mengetahui keadaannya, dan haram bagi kita mencari-cari atau mengintip di dalam keadaan demikian. Namun jika ada bukti yang jelas atau ada laporan berlakunya kegiatan haram seperti berjudi dan minum arak, maka menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membendung kemungkaran ini. Sebagai anak yang bertanggungjawab pula, seseorang anak itu wajib menegur kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh ibu bapa kerana proses ‘islah’ dan teguran menurut Islam adalah bermula daripada institusi keluarga itu sendiri. Wallahua’lam.

 

Rujukan

Wahbah al-Zuhaili. Tafsir al-Munir fil Aqidah wal Syariah wal Manhaj. 1991. Darul Fikir Damsyiq.

Muhammad Hussain al-Arab. Tafsir Ruh al-Maa’ni li al-Alusi. Darul Fikir Beirut. 

Muhammad Ibrahim al-hifnawi, Mahmud Hamid Usman. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran li Qurtubi. 2010. Darul Hadis Kaherah.

Mahir Yassin al-Fahl. Riyadhus Solihin li Imam Nawawi. 2007. Dar Ibn Kasir Damsyiq-Beirut.

 

[1] ووقاية عن النار بترك المعاصي وفعل الطاعات, ووقاية الأهل بحملهم على ذلك بالنصح والتأديب

[2] وهي الأمر بوقاية الإنسان نفسه وأهله النار.

فعلى الرجل أن يصلح نفسه بالطاعة, ويصلح أهله إصلاح الراعي للرعية 

[3] أن يكون مجاهرا بفسقه أو بدعته كالمجاهر بشرب الخمر, ومصادرة الناس, وأخذ المكس, وجباية الأموال ظلما, وتولّي الأمور الباطلة, فيجوز ذكره بما يجاهر به, ويحرم ذكره بغيره من العيوب, إلا أن يكون لجوازه سبب آخر مما ذكرناه.