Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #125: ADAKAH AHLI KITAB DIKIRA SEBAGAI ORANG BERIMAN?

Template Header Al Afkar page 0001

Soalan

Assalamualaikum tuan, saya ada satu kemusykilan berkaitan persoalan akidah. Saya ada hadiri kelas seorang ustaz di mana dia memberi dalil tentang ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani juga ada yang beriman dan masuk syurga. Jadi, kita sebagai orang Islam tidak boleh sesuka hati mengkafirkan orang lain kerana kita pun tak tau nasib kita di akhirat nanti macam mana. Betul ke tuan pernyataan ustaz tersebut? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Secara ringkasnya ahli kitab merupakan golongan yang diberi kitab petunjuk iaitu taurat dan injil, atau lebih dikenali sebagai Yahudi dan Nasrani (Kristian). Di dalam Al-Quran banyak diceritakan mengenai sejarah dan ciri-ciri ahli kitab yang berdolak dalih mengenai kenabian Nabi Muhammad SAW. Ahli kitab yang beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW hukumnya adalah muslim seperti umat Muhammad yang lain. Bahkan menjadi kewajipan setiap ahli kitab meninggalkan syariat nabi-nabi mereka yang terdahulu dan beralih kepada pengamalan syariat Muhammadiyah. Jika sedemikian maka mereka tidak lagi dinamakan ahli kitab malah mereka adalah muslim seperti kita.

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sabahat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari akhirat. Ahli kitab tergolong daripada kalangan Yahudi dan Nasrani yang mempunyai salasilah keturunan Nabi Yaakub AS. Maka, golongan Yahudi dan Nasrani yang bukan dari keturunan Nabi Yaakub AS tidak dianggap sebagai ahli kitab walaupun mereka beragama Yahudi dan Nasrani.[1] Di dalam al-quran, terdapat banyak kisah dan penerangan mengenai mereka berkenaan isu keimanan, sejarah, perkahwinan dan lain-lain. Berkaitan dengan isu keimanan golongan ahli kitab, Allah SWT berfirman:

وَقَالُوا۟ كُونُوا۟ هُودًا أَوْ نَصَٰرَىٰ تَهْتَدُوا۟ ۗ قُلْ بَلْ مِلَّةَ إِبْرَٰهِـۧمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ (١٣٥) قُولُوٓا۟ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَآ أُنزِلَ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَٰعِيلَ وَإِسْحَٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطِ وَمَآ أُوتِىَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَآ أُوتِىَ ٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ (١٣٧)

Maksudnya: “Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah (wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik". (135) Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".

Surah al-Baqarah (135-136)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili, ayat di atas menceritakan berkenaan seruan kepada ahli kitab dan bangsa Arab agar patuh kepada Allah SWT dan mengikuti agama yang benar yang dibawa oleh semua para nabi. Allah SWT juga mencela sifat ahli kitab yang suka berselisih dalam perbezaan yang kecil di mana orang Yahudi dan Nasrani berhujah bahawa agama mereka yang sampai kepada kebenaran mengikut pendapat masing-masing. Tetapi Allah SWT membantah hujah mereka dengan memberi contoh Nabi Ibrahim AS (Yahudi dan Nasrani mengatakan mereka mengikuti agama Ibrahim AS) yang mana beliau bukanlah seorang yang menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu pun, baik berhala mahupun patung. Dalam ayat ini juga terdapat sindiran ke atas kesyirikan mereka yang mengatakan Uzair itu adalah anak Allah dan Isa itu adalah anak Allah.[2]

[Lihat Tafsir al-Munir: 1/ 323-324]

 

Melalui ayat di atas, kita dapat mengetahui bahawa ahli kitab yang terdiri daripada golongan Yahudi dan Nasrani mempunyai kepercayaan tersendiri yang berlainan daripada agama Islam. Maka Allah SWT menghantar Nabi Muhammad SAW untuk berdakwah kepada mereka agar kembali kepada jalan benar yang tidak menyekutukan Allah SWT. Setelah 2 ayat di atas yang menceritakan berkenaan ciri-ciri ahli kitab yang tersasar daripada jalan Allah SWT, maka ayat ini merupakan jawapan dan kesimpulan daripada Allah SWT berkenaan keimanan ahli kitab:

فَإِنْ ءَامَنُوا۟ بِمِثْلِ مَآ ءَامَنتُم بِهِۦ فَقَدِ ٱهْتَدَوا۟ ۖ وَّإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا هُمْ فِى شِقَاقٍ ۖ فَسَيَكْفِيكَهُمُ ٱللَّهُ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Maksudnya: “Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Baqarah (137)

Imam Fakhruddin al-Razi menyatakan dalam tafsirnya bahawa Allah SWT menyeru kepada ahli kitab untuk beriman kepada petunjuk (kitab taurat dan injil) yang tidak diolah dan diubah isinya. Sebagai contoh jika mereka beriman kepada kitab taurat yang asli di mana tiada sebarang tokok tambah, maka mereka akan diberi hidayah serta petunjuk yang membawa kepada kenabian Nabi Muhammad SAW.[3]

[Lihat Tafsir al-Kabir (Mafatihul Ghayb): 2/84]

 

Syeikh Mutawali Sya’rawi pula menyatakan ayat ini merupakan frasa yang berkaitan dengan penyaksian kalimah syahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Setiap Muslim perlu mengucapkan kalimah syahadah untuk membuktikan keimaman, maka ayat ini adalah perumpamaan kepada keimanan ahli kitab agar penyaksian dan kata-kata mereka harus sama seperti Muslim. Jika tidak, mereka akan sentiasa berada di dalam perselisihan dan pergaduhan sesama mereka.[4]

[Lihat Tafsir Sya’rawi: 1/610]

 

Akhir sekali, Allah SWT menyenaraikan syarat-syarat untuk ahli kitab diberi ganjaran pahala dan balasan kebaikan jika mereka betul-betul mahu mencari kebenaran dalam keimanan. Syarat tersebut dikemukakan dalam firman Allah SWT:

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ لَمَن يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِمْ خَٰشِعِينَ لِلَّهِ لَا يَشْتَرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۗ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”

Surah Ali Imran (199)

Hamka menjelaskan ayat ini berkenaan kisah Raja Najasyi Ashamah yang telah meninggal dunia. Sebelum beliau meninggal, beliau sempat memeluk Islam dan Nabi SAW memberi arahan agar disolatkan jenazah ke atas beliau secara solat ghaib. Maka turunlah ayat ini ketika mana para sahabat sedang dalam keraguan, yang mana menjelaskan berkenaan adanya ahli kitab yang beriman kepada Allah SWT, beriman kepada Nabi Muhammad SAW serta al-Quran dan kepada pegangan asal mereka sendiri iaitu ajaran Nabi Isa AS. Bahkan keimanan mereka itu kerana apa yang diterangkan oleh kitab mereka (injil) dan bukanlah hasil sifat dengki atau benci. Mereka juga menjadi Muslim yang benar-benar taat mengerjakan ibadah kepada Allah SWT, tidak menyembunyikan kebenaran untuk mendapatkan kedudukan dan keuntungan yang tinggi dan akan mendapat ganjaran syurga kelak.[5]

[Lihat Tafsir al-Azhar: 2/1046-1047]

 

Berdasarkan penerangan Hamka di atas, maka kita dapat ketahui syarat-syarat untuk ahli kitab dikira sebagai orang beriman:

  • Beriman kepada Allah SWT
  • Beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan kebenaran al-quran
  • Beriman kepada kitab-kitab terdahulu yang tidak diubah isinya
  • Tidak menyembunyikan kebenaran demi pangkat dan kedudukan

Kesimpulan

Justeru, ahli kitab yang beriman iaitu mereka yang beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW serta tidak kekal dengan syariat rasul mereka yang terdahulu. Mereka ini sama hukumnya seperti muslim yang lain. Namun terdapat juga ahli kita yang dikira kufur atau terkeluar dari Islam, iaitu ahli kitab yang kekal dengan agama Yahudi dan Nasrani serta enggan beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan syariatnya. Meskipun ahli kitab itu beriman dengan akidah dan syariat yang dibawa oleh nabi dan rasul mereka tanpa mengubah sedikit pun syariat dan kitab suci mereka, namun jika masih enggan beriman dengan Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul, maka mereka tetap dikira sebagai kufur dan tidak layak masuk ke syurga Allah SWT. Wallahua’lam.

 

 Rujukan:

 

[1] Mohamad Razif, Al-Kafi 484: Perkahwinan dengan Perempuan Ahli Kitab, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1389-al-kafi-li-al-fatawi-siri-ke-484-perkahwinan-dengan-perempuan-ahli-kitab

[2] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, Damsyik (1991) Cet. Darul FIkr

وبعد أن بين الله تعالى أن دين الله واحدا على لسان النبيين جميعا، وأن على العرب وأهل الكتاب اتباع الإسلام الذي هو امتداد لدعوة الأنبياء السابقين، وأن الخلاف في الجزئيات لا يغير من جوهر الدين. بعد هذا ندد المولى سبحانه بتمسك أهل الكتاب بفوارق الدين الجزئية، فقال اليهود: كونوا مع اليهود في دينهم تهتدوا إلى الطريق السوي، وقال النصارى: كونوا مع النصارى تصلوا إلى الحق، فأجابهم الله بقوله: تعالوا إلى ملة إبراهيم الذي تدعون أنكم على دينه، فهي الملة لا انحراف فيها ولا اعواجاح، ولم يكن إبراهيم ممن يشرك بالله سواه من وثن أو صنم. وفي هذا تعريض بشركهم حين قالوا: عزير ابن الله، والمسيح ابن الله. 

[3] Fakr al-Razi, Tafsir Kabir, Beirut, Cet. Dar Ihya’ al-Turath al-Ghazali.

أنكم آمنتم بالفرقان من غير تصحيف وتحريف، فإن ءامنوا بمثل ذلك وهو التوراة من غير تصحيف وتحريف فقد اهتدوا لأنهم يتصلون إلى معرفة نبوة محمد صلى الله عليه وسلم

[4] Mutawalli Sya’rawi, Tafsir Khawatir li Sya’rawi, 2010, Cet. Mathabi’ Akhbar al-Yaum.

فالمثل هنا يرتبط بالشهادة وكل من آمن بالإسلام نطق بالشهادتين مثل من سبقوه في الإيمان. فالمثلية هنا في العبارة وإيمانهم هو أن يقولوا مثل ما لنا..وشقاق يعني خلافا معكم وخلافا مع بعضهم بعضا.

[5] Hamka, Tafsir al-Azhar, Singapura, Cetakan Pustaka Nasional Pte Ltd.