Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #128: BOLEHKAH SAYA BERKAWAN DENGAN ORANG GAY?

Template Header Al Afkar page 001 2

Soalan

Assalamualaikum wbt, saya ada sedikit kemusykilan mengenai hubungan persahabatan. Saya ada kenalan seorang sahabat dan kami telah berkawan sejak dari zaman sekolah hingga kami sudah besar sekarang. Isunya baru-baru ini baru saya dapat tahu bahawa beliau seorang gay. Apa yang perlu saya buat wahai tuan mufti, adakah saya boleh terus berkawan macam biasa dengan dia? Terima kasih atas penjelasannya. 

 

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Islam adalah agama yang mengangkat ukhuwah dan saling menghormati sesama manusia, serta tidak suka kepada kebencian yang tidak berasas. Dalam kes ini, tiada masalah untuk seseorang itu cakna kepada kawannya yang gay, dengan cara mengambil berat, bertanya khabar, menolong dan memenuhi keperluan pada masa yang sama sentiasa menasihatinya. Malah Islam menganjurkan setiap manusia untuk saling mengingati antara satu sama lain, dan membetulkan kesalahan mengikut keupayaan masing-masing. Wallahua’lam.

 

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Islam merupakan agama yang menghormati manusia yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Islam juga mengambil berat akan nilai persahabatan, persaudaraan dan kasih sayang. Allah SWT berfirman:

لَّا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمْ يُقَٰتِلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا۟ إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Surah al-Mumtahanah (8)

 

Syeikh Wahbah Zuhaili mengatakan jika seseorang bukan Islam tidak memusuhi kalian dan tidak cuba mengeluarkan kalian daripada agama Islam, maka hendaklah kalian berbuat baik kepada mereka, melayani mereka secara adil, tidak prejudis dan bersopan santun. Sesungguhnya Allah SWT sangat menyayangi orang-orang yang berlaku adil dan mempraktikkan keadilan kepada kesemua manusia.[1]

[Lihat: Tafsir al-Munir, 14/513]

 

Penjelasan di atas menunjukkan bahawa umat Islam dibenarkan berkawan dan berbuat baik sesama manusia tidak mengira perbezaan kaum dan agama, apatah lagi jika sesama orang Islam. Jadi tidak mengapa jika seseorang itu berkawan dengan seorang yang gay jika dia tidak terpengaruh dengan perbuatan yang songsang tersebut. Tidaklah menjadi kesalahan juga jika ada sebahagian orang yang memilih kawan kerana itu juga digalakkan menerusi sabda Nabi SAW:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya: "Seseorang itu dikira mengikuti agama (kepercayaan & perbuatan) rakannya, maka hendaklah kamu perhatikan dengan siapa kamu berkawan."

Riwayat Abu Daud (4833)

 

Syeikh Azim Abadi menjelaskan seseorang manusia itu akan mengikuti tabiat, cara dan tatasusila rakan-rakannya. Maka dinasihatkan kepada seluruh umat manusia untuk berfikir sejenak dan bermuhasabah dalam memilih kumpulan pergaulan kerana walaupun seseorang individu itu seorang yang soleh, dia pasti akan mencuri satu sifat yang buruk dari rakannya. Apatah lagi jikan rakan-rakannya orang-orang yang jahat.[2]

[Lihat: Aunul Ma’bud, 8/24-25]

 

Seorang rakan yang baik adalah orang yang selalu berada di sisi rakan-rakannya di saat dalam kesenangan mahupun kesusahan. Namun dalam persahabatan atau berkawan, kadang-kadang seseorang itu berasa serba salah mahu menegur kesalahan yang dilakukan oleh rakan-rakan kerana takut mengguris hati dan perasaan. Sebenarnya seseorang itu harus menasihati atau menegur rakannya dengan cara yang sopan dan tidak beranggapan bahawa dirinya lebih baik. Kerana pada hakikatnya dengan cara kita mengingatkan antara satu sama lain adalah bukti bahawa kita ambil berat terhadap mereka. Ini merupakan hak seorang saudara ke atas saudaranya yang lain.[3]

[Lihat: Al-Anwar fi Adab al-Suhbah, 79]

 

Imam Syafii telah memberikan panduan kepada umat Islam berkenaan kaedah untuk menegur sahabat yang melakukan kesalahan. Penting untuk kita mengetahui bahawa kaedah teguran yang sebenar adalah teguran yang bersifat privasi, dan bukan di tengah-tengah umum. Beliau berkata:

من وعظ أخاه سرّا فقد نصحه وزانه، ومن وعظ علانية فقد فضحه

Maksudnya: Sesiapa yang memberi teguran kepada rakannya secara diam-diam, maka dia benar-benar telah memberi nasihat kepadanya dan memperelokkan nasihat itu. Sesiapa yang memberi teguran kepada rakannya secara terbuka pula, maka dia sebenarnya telah memalukan rakannya itu.[4]

[Lihat: Manaqib al-Syafii lil Baihaqi, 2/198]

 

Maka dalam isu ini, tiada masalah untuk terus menjalin hubungan persaudaraan dengan sahabat yang gay. Seseorang itu juga digalakkan untuk menasihati rakan dan sahabat dengan cara yang sopan dan berhikmah. Sebagai makluman, pihak kami telah mengeluarkan beberapa panduan berkenaan isu yang berkaitan dengan konsep gay atau lgbt.  Panduan ini penting untuk membantu masyarakat agar lebih cakna dengan isu-isu semasa. Artikel panduan adalah seperti berikut:

Budaya LGBT, hadapilah dengan ilmu:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/939-al-kafi-578-budaya-lgbt-hadapilah-dengan-ilmu

Hukum menyokong kelab bola sepak yang mengiktiraf lgbt:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5096-irsyad-al-fatwa-siri-ke-660-hukum-menyokong-kelab-bola-sepak-yang-mengiktiraf-lgbt

Hukum lelaki bersalaman dengan mak nyah:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2658-al-kafi-842-hukum-lelaki-bersalaman-dengan-mak-nyah

 

Kesimpulan

Justeru, tiada masalah untuk seseorang meneruskan persahabatan dengan rakannya yang gay, dengan cara mengambil berat, bertanya khabar, menolong beliau dalam kesusahan dan lain-lain. Di samping itu, Islam menganjurkan kepada setiap manusia untuk saling mengingati antara satu sama lain, dan membetulkan kesalahan yang berlaku mengikut keupayaan masing-masing. Ini kerana Islam mengajar penganutnya agar membenci dosa dan maksiat, tetapi bukan pelakunya. Masih ada ruang kepada pelaku kesalahan dan maksiat untuk kembali ke jalan benar, dan menjadi lebih baik daripada kita. Wallahua’lam.

 

 

[1] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Damsyiq: 2004), Darul Fikri

فيجوز برّهم وفعل الخير لهم، والحكم بينهم وبين غيرهم بالعدل إذا لم يقاتلوا في الدين أو الدنيا، ولم يخرجوا المؤمنين من ديارهم، ولم يعينوا على إخراجهم، فإن الله يحب العادلين ويأمر بالعدل من جميع الناس

[2] Azim Abadi, Aunul Ma’bud Syarh Sunnah Abi Daud, (Kaherah:2011), Syarikah al-Qudus

الإنسان على عادة صاحبه وطريقته وسيرته، فلينظر أي يتأمل ويتدبر، فمن رضي دينه وخلقه خالل له من لا تجنبه، فإن الطباع سرّاقة.

[3] Al-Sya’rani, Al-Anwar fi Adab al-Suhbah Inda Al-Akhyar, (Damsyiq: 2007), Maktabah Abu Ayub al-Ansori

لا تستصغر أحدا، فإن العاقبة منطوية، والعبد لا يدري بم يختم له، فإذا رأيت عاصيا فلا تقدّم نفسك عليه، فربما كان في علم الله أعلى منك مقاما، وأنت من الفاسقين

[4] Sayyid Ahmad Saqar, Manaqib al-Syafii lil Baihaqi, (Kaherah: 1970), Maktabah Darul Turath