Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #148: MENGAPAKAH SURAH AL-FATIHAH DINAMAKAN DENGAN AL-SAB‘U AL-MATHANI?

MENGAPAKAH_SURAH_AL-FATIHAH_DINAMAKAN_DENGAN_AL-SABU_AL-MATHANI.jpg

SOALAN:

Assalamualaikum SS Datuk. Di sini saya ada sedikit soalan. Surah al-Fatihah dikenali dengan ummul kitab dan ummul furqan namun ada juga yang dinamakan sebagai sab’u masani. Oleh itu, boleh SS Datuk terangkan apakah itu sab‘u al-masani dan mengapakah surah tersebut diletakkan dengan nama sedemikian.

RINGKASAN JAWAPAN:

Terdapat perbezaan pandangan bagi maksud al-Sab‘u al-Mathani, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa istilah ini merujuk kepada tujuh ayat dan surah yang panjang. Namun, pandangan dan riwayat yang kuat menyatakan bahawa ia merujuk kepada surah al-Fatihah. Antara sebab surah al-Fatihah dinamakan dengan gelaran al-Sab‘u al-Mathani kerana surah ini mengandungi tujuh ayat dalam masa yang sama ia merupakan surah bacaan dalam solat dan diulang bacaannya pada setiap rakaat solat.

HURAIAN JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak Langkah baginda hingga hari kiamat.

Surah al-Fatihah merupakan surah yang masyhur dan dikenali dengan nama ummul kitab atau dengan ummul furqan yang merujuk kepada induk bagi surah-surah yang lain dalam al-Quran. Berkenaan dengan istilah al-Sab‘u al-Mathani, terdapat beberapa dalil yang menerangkan tentang perkara ini iaitu melalui firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ءَاتَیۡنَـٰكَ سَبۡعࣰا مِّنَ ٱلۡمَثَانِی وَٱلۡقُرۡءَانَ ٱلۡعَظِیمَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.”

(Surah al-Hijr: 87)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa pandangan yang menjelaskan tentang maksud al-Sab‘u al-Mathani. Menurut al-Qurtubi, para ulama berbeza pendapat bagi istilah ini antaranya ialah merujuk kepada Surah al-Fatihah.[1] Selain itu, ada yang berpendapat bahawa al-Sab‘u al-Mathani ini merujuk kepada tujuh ayat yang panjang iaitu merangkumi surah al-Baqarah, ali-Imran, Surah al-Nisa’, Surah al-Maidah, Surah al-An‘am, Surah al-A‘raf, Surah al-Anfal beserta dengan surah al-Taubat.[2]  

Di samping itu, terdapat juga riwayat-riwayat daripada Rasulullah SAW yang membincangkan tentang ayat ini dan antaranya ialah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

أم القرآن هي السبع المثاني والقرآن العظيم

Maksudnya: “Ummu al-Quran merupakan al-Sab‘u al-Mathani (tujuh ayat yang diulang) dan ia merupakan al-Quran yang agong.”

(Riwayat Bukhari)

Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Mu‘alla tentang sandaran gelaran al-Sab‘u al-Mathani pada surah al-Fatihah, kata beliau:

كنت أصلي، فدعاني النبي صلى الله عليه وسلم فلم أجبه، قلت: يا رسول الله إني كنت أصلي، قال: (ألم يقل الله: {استجيبوا لله وللرسول إذا دعاكم}. ثم قال: ألا أعلمك أعظم سورة في القرآن قبل أن تخرج من المسجد). فأخذ بيدي، فلما أردنا أن نخرج، قلت: يا رسول الله، إنك قلت: (لأعلمنك أعظم سورة من القرآن). قال: ({الحمد لله رب العالمين}. هي ‌السبع ‌المثاني، والقرآن العظيم الذي أوتيته)

Maksudnya: “Ketika aku sedang mendirikan solat di masjid, Rasulullah SAW memanggilku namun aku tidak menyahut lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tadi sedang mendirikan solat.” Baginda bersabda: Bukankah Allah telah beriman: {ٱسۡتَجِیبُوا۟ لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمۡ لِمَا یُحۡیِیكُمۡۖ } (Maksudnya: Sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna). Kemudian baginda bersabda kepadaku: “Sungguh aku akan mengajarkan kepadamu satu surah yang paling agung dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid.” Kemudian Baginda memegang tanganku ketika Baginda ingin keluar, aku berkata kepada Baginda: “Bukankah engkau mengatakan kepadaku, ‘sesungguhnya aku akan mengajarkan kepadamu satu surah yang paling agung dalam al-Quran?” Baginda bersabda: {الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ } (Maksudnya: Segala Puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam). Ia merupakan al-Sab‘u al-Mathani(tujuh yang diulang-ulang) dan al-Quran yang agung yang dibawakan kepadaku.”

(Riwayat Bukhari)

Melalui hadis-hadis di atas, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa ungkapan al-Sab‘u al-Mathani ialah merujuk kepada pembuka kitab iaitu pembuka bagi al-Quran kerana ia juga dibaca pada setiap rakaat dalam solat berdasarkan riwayat saidina Umar.[3] Tambahan lagi, al-Baghawi yang menjelaskan bahawa surah al-Fatihah dinamakan sebagai al-Sab‘u al-Mathani kerana terkandungnya tujuh ayat adalah pandangan yang disepakati oleh ulama. Beliau menjelaskan lagi bahawa istilah al-mathani yang disandarkan kepada surah al-Fatihah kerana ia merupakan bacaan dalam solat dan dibaca dalam setiap rakaat.[4]

Kesimpulan:

Terdapat perbezaan pandangan bagi maksud al-Sab‘u al-Mathani, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa istilah ini merujuk kepada tujuh ayat dan surah yang panjang. Namun, pandangan dan riwayat yang kuat menyatakan bahawa ia merujuk kepada surah al-Fatihah. Antara sebab surah al-Fatihah dinamakan dengan gelaran al-Sab‘u al-Mathani kerana surah ini mengandungi tujuh ayat dalam masa yang sama ia merupakan surah bacaan dalam solat dan diulang bacaannya pada setiap rakaat solat.

Wallahu A’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad al-Ansari, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran. (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriah, Ed 2, 1964) Jld 10 hlm 54.

اخْتَلَفَ الْعُلَمَاءُ فِي السَّبْعِ الْمَثَانِي، فَقِيلَ: الْفَاتِحَةُ

[2] Ibid: Jld 10, hlm 54

وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: هِيَ السَّبْعُ الطُّوَلُ: الْبَقَرَةُ، وَآلُ عِمْرَانَ، وَالنِّسَاءُ، وَالْمَائِدَةُ، وَالْأَنْعَامُ، وَالْأَعْرَافُ، وَالْأَنْفَالُ وَالتَّوْبَةُ مَعًا، إِذْ ليس بينهما التسمية

[3] Al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar, Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari. (Mesir: al-Maktabah al-Salafiyah, Ed 1, 1380H) Jld 8, hlm 382.

‌السبع ‌المثاني فاتحة الكتاب زاد عن عمر تثنى في كل ركعة

[4] Al-Baghawi, Abu Muhammad al-Husain bin Mas‘ud bin Muhammad al-Fira’. Ma‘alim al-Tanzil fi al-Tafsir al-Quran. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Ed 1, 1420H) Jld 1, hlm 70.

وَالسَّبْعُ الْمَثَانِي: لِأَنَّهَا ‌سَبْعُ ‌آيَاتٍ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ، وَسُمِّيَتْ مَثَانِيَ لِأَنَّهَا تُثَنَّى فِي الصَّلَاةِ، فَتُقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ