Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #149: AKIDAH AHLU SUNNAH WAL JAMAAH (AL-ASHA’IRAH DAN AL-MATURIDIAH’) PEGANGAN MAJORITI UMMAT

AKIDAH_AHLU_SUNNAH_WAL_JAMAAH_AL-ASHAIRAH_DAN_AL-MATURIDIAH_PEGANGAN_MAJORITI_UMMAT.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum SS Mufti. Boleh saya dapat pencerahan bagaimanakah dikatakan akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah (al-Ashairah dan al-Maturidiyyah) disebutkan sebagai pegangan majoriti umat Islam, sedangkan istilah al-Ashairah dan al Maturidiyyah itu ramai orang awam yang tidak mengetahuinya?

Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Semata-mata sesuatu istilah itu tidak diketahui oleh orang awam ia tidak menafikan hakikat sesuatu istilah. Orang awam tidak diwajibkan dan tidak dituntut untuk mengetahui perincian akidah dengan dalil terperinci (tafsili), bahkan mereka hanya diwajibkan untuk mengetahui dengan dalil ringkas (ijmali) sahaja. Justeru itu, ketidakfahaman orang tidak memberi kesan kepada kesepakatan para ulama terhadap akidah ini. Apa yang diambil kira dalam penentuan majoriti ini ialah daripada kalangan para mujtahid dan ulama yang muktabar. Fakta secara jelas menunjukkan bahawa majoriti ulaama ummah berpegang dengan akidah Ahlu Sunnah wal Jamaah (al-Ashairah dan al-Maturidiyyah).

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hal yang disepakati oleh semua adalah majoriti umat Islam di sepanjang zaman berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Waljama’ah (ASWJ). Dalam hal ini, ramai para ulama menyatakan bahawa apabila disebut akidah Ahli Sunnah Waljama’ah, maka ia merujuk kepada akidah al-Ashaʽirah dan al-Maturidiah, antaranya; al-Qusyairi (w. 465H), ʽIzz al-Dīn Abd al-Salām (w. 660H), Burhān al-Dīn al-Nasafi (w. 687H), al-Zaylaʽi (w. 756H), Tāj al-Dīn al-Subki (w. 771H), al-Khayālī (w. 861H), al-Kustallī (w. 901H), Shams al-Dīn al-Ramli (w. 1004H), Murtaḍā al-Zabīdī (w. 1205H), Shaykh al-Azhar Prof. Dr. Ahmad Ṭayyib dan lain-lain.

Sebagai contoh, petikan daripada para ulama yang menunjukkan kepada perkara tersebut dengan jelas, antaranya daripada Murtaḍa al-Zabidi (w. 1205H) yang menyatakan:

إِذَا أُطْلِقَ أَهْلُ السُنَّةِ فَالمُرَادُ بِهِ الأَشَاعِرَةُ وَالمَاتُرِيْدِيَّةُ

Maksudnya: Apabila disebut Ahli Sunnah (Waljamaah), maka yang dimaksudkan dengannya ialah aliran akidah al-Ashairah dan al-Maturidiah. (Rujuk Ittihaf Sadah al-Muttaqin, 2:263)

Selain daripada itu, terdapat banyak pernyataan para ulama yang menunjukkan bahawa majoriti besar mereka berada di atas akidah al-Asha’irah. Antaranya yang disebutkan oleh Imam Tāj al-Dīn al-Subki dalam kitabnya, Muʽid al-Ni’am wa Mubid al-Niqam bahawa semua mazhab daripada Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali berada di atas akidah Abu al-Hasan al-Ash’ari. Kata beliau:

وهؤلاء الحنفية والشافعية والمالكية و فضلاء الحنابلة - والله الحمد - في العقائد يد واحدة كلهم على رأى أهل السنة والجماعة ، يدينون الله تعالى بطريق شيخ السنة أبي الحسن الأشعرى رحمه الله، لا يحيد عنها إلا رعاع من الحنفية والشافعية الحقوا بأهل الاعتزال، ورعاع من الحنابلة الحقوا بأهل التجسيم، وبرأ الله المالكية فلم تر مالكيا إلا أشعريا عقيدة.

Maksudnya: Mazhab-mazhab yang ada daripada mazhab Hanafi, Shafi’i, Maliki dan Fudhala al-Hanabilah, alhamdulillah, semuanya di atas akidah yang satu iaitu akidah Ahli Sunnah Waljama’ah, dan dipegang dalam beragama kepada Allah SWT di atas jalan Abu al-Hasan al-Ash’ari rahimahullah. Tidak menyimpang daripadanya kecuali sekumpulan kecil daripada Hanafiyyah dan Shafi’iyyah yang tergolong daripada golongan Muktazilah dan sekumpulan kecil daripada Hanabilah yang tergolong daripada golongan Mujassimah. Manakala Allah SWT membersihkan mazhab Malikiah (daripada penyelewengan) dengan kamu tidak melihat seorang pun ulama Maliki kecuali dia bermazhab Asha’irah bagi akidahnya. (Rujuk Mu’id al-Ni’am wa Mubid al-Niqam, 75)

Berdasarkan pernyataan dan penyaksian para ulama di atas, jelaslah hakikat bahawa majoriti para ulama berada di atas akidah Ahli Sunnah Waljama’ah yang diwakili oleh al-Asha’irah dan al-Maturidiah. Walau bagaimanapun, timbul persoalan adakah ketidakfahaman ramai orang awam terhadap akidah ini boleh menjejaskan dan menggugat kesepakatan ulama berkaitan perkara tersebut?

Bagi menjawab persoalan dan kekeliruan yang ditimbulkan ini, maka ia boleh dijawab dengan beberapa sudut seperti berikut:

Pertama: Ia kembali kepada perbahasan berkaitan adakah pandangan orang awam diambil kira sama ada persetujuan dan ketidaksetujuan mereka dalam sesuatu perbahasan yang telah menjadi ijmak para ulama. Pandangan yang muktamad berkaitan hal ini, pandangan orang awam tidak diambil kira langsung sama ada dari sudut persetujuan atau ketidaksetujuan mereka. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh ‘Alauddin al-Mardawi bahawa:

(لا يعتبر قول العامة( في الإجماع عند العلماء، وهذا هو الصحيح المعتمد عليه، سواء كانت مسائله مشهورة، أو خفية، فلا اعتبار لمخالفتهم، ولا بموافقتهم، وإنما يعتبر قول المجتهدين فقط.

Maksudnya: Tidak diambil kira pandangan orang awam pada ijma’ di sisi ulama. Pandangan ini merupakan pandangan yang sahih dan muktamad. Tidak kira sama ada perbahasan tersebut daripada perbahasan yang masyhur atau rumit, tidak diambil kira semua pendirian mereka sama ada persetujuan dan ketidaksetujuan mereka. Hanya yang diambil kira ialah pandangan ulama yang bertaraf mujtahid. (Rujuk al-Tahbir Syarh al-Tahrir, 4:1551)

Oleh yang demikian, pandangan orang awam walaupun dengan banyaknya jumlah mereka, tidak akan diambil kira dan tidak boleh dijadikan pemberat hujah kerana mereka bukanlah dalam kalangan ahlinya. Adapun pandangan yang diambil kira ialah pandangan para ulama mujtahid dalam bidang tersebut. Oleh itu, tidak boleh dijadikan ketidakfahaman, bahkan ketidaksetujuan orang awam kepada akidah ini sebagai hujah untuk menafikan majoriti umat Islam berada di atas akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiah, kerana yang dikira dalam majoriti ialah para ulama mujtahid.

Kedua: Para ulama mujtahid dikira sebagai ‘ummah’ walaupun hanya seorang. Ini sepertimana yang diterangkan oleh al-Mulla Ali al-Qari dalam menjelaskan kata-kata Sufyan RA bahawa:

لو أنَّ فقيهًا واحدًا على رأس جبل لكان هو الجماعة، ومعناه أنَّه حيث قام بما قام به الجماعة فكأنه إجماع.

Maksudnya: (Kata Sufyan RA): “Jika seorang faqih yang berada di puncak bukit, maka dia dikira sebagai al-jama’ah. Maknanya di mana dia berdiri maka di situ terdapat al-jama’ah maka seolah-olahnya telah berlaku ijma’. (Rujuk Syarh al-Fiqh al-Akbar: 8)

Hal ini juga sepertimana Allah SWT sifatkan Nabi Ibrahim sebagai ummat walaupun baginda AS hanya seorang. Firman Allah SWT:

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan ‘satu umat’ (walaupun dia seorang diri).

(Surah al-Nahl: 120)

Oleh yang demikian, pandangan para mujtahid dan ulama muktabar dalam bidang ilmu tertentu dikira sebagai mewakili umat keseluruhannya. Pandangan mereka inilah yang diambil dikira dalam penentuan majoriti bagi umat Islam dan bukannya ditentukan dengan pandangan orang awam, yang bukan dalam kalangan mujtahid dan ulama, secara individu walaupun seramai mana bilangannya.

Ketiga: Orang awam tidak dituntut untuk mengetahui dalil secara terperinci  (tafsili) bagi keimanan mereka, bahkan memadai dengan mengetahui secara ringkas (ijmali) sahaja mengikut kemampuan mereka. Justeru itu, tiada keperluan untuk bertanya berkaitan perincian dalam ilmu Akidah kepada orang awam secara individu kerana ia tidak menjadi kewajipan dan keperluan bagi mereka untuk mengetahuinya. Bagi orang awam, kewajipan keimanan mereka adalah mengikut kadar keupayaan akal mereka.

Keempat: Asas kepada pernyataan tersebut ialah hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyebutkan bahawa umatnya tidak akan berhimpun dalam kesesatan dan seruan untuk bersama golongan terbesar dalam kalangan umat Islam atau al-sawād al-a’zham. Antara sabda Rasulullah SAW:

لا يجمع اللهُ هذه الأمةَ على الضَّلالةِ أبدًا، وقال: يدُ اللهِ على الجماعةِ ، فاتَّبِعوا السوادَ الأعظمَ ، فإنه من شذَّ شذَّ في النَّارِ

Maksudnya: Allah SWT tidak akan menghimpunkan umat ini dalam kesesatan selama-lamanya. Ikutilah kalian semua kepada al-sawad al-a‘zham. Yadd (pertolongan)  Allah SWT bersama-sama dengan al-Jama‘ah. Sesiapa yang mengasingkan diri, dia mengasingkan diri ke neraka. ”

(Riwayat al-Hakim)

Oleh itu, kita dapat perhatikan bahawa umat Islam berada di atas akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiah sepanjang zaman yang merupakan kelompok terbesar (al-sawad al-a’zham)  berbanding kelompok-kelompok manoriti yang lain daripada Mushabbihah, Mujassimah, Muktazilah, Jabariah, Qadariah dan seumpamanya.

Kesimpulan

i. Berdasarkan dalil dan pernyataan di atas, jelaslah bahawa ketidakfahaman orang awam tentang istilah al-Asha’irah’ dan al-Maturidiyyah tidak menafikan fakta majoriti umat Islam berada di atas akidah tersebut. Bahkan, ketidakfahaman mereka terhadap perincian akidah al-Ashā'irah tidak memberi apa-apa kesan kerana mereka tidak diwajibkan dan dituntut untuk mengetahuinya.

ii. Apa yang diambil kira dalam perbahasan ini ialah pandangan para mujtahid dan ulama muktabar dan majoriti mereka berada di atas akidah Ahli Sunnah Waljama’ah yang diwakili oleh al-Asha’irah dan al-Maturidiah. Inilah maksud majoriti umat Islam berada di atas akidah Ahli Sunnah wa al-Jamā'ah yang diwakili al-Ashā'irah dan al-Maturidiah sepertimana yang telah diterangkan

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan:

  1. Muhammad Ayman al-Akiti, Terjemahan al-Muqaddimat dan al-Aqidah al-Wusṭa al-Imam al-Sanusi, (Kuala Lumpur: Penerbit IKIM, 2023), hlm. 4-5.
  2. Murtaḍa al-Zabīdī, Ittiḥāf al-Sādah al-Muttaqīn, (Beirut: Mu’assasah al-Tārikh al-‘Arabī, 1994), 2:5.
  3. Tāj al-Dīn al-Subki, Mu’id al-Ni’am wa Mubid al-Niqam, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Arabi, 1948), hlm. 75.
  4. Alauddin al-Mardawi, al-Tahbir Syarh al-Tahrir fi Usul al-Fiqh, (Riyadh: Maktabah al-Rusyd, 2000), 4:1551.
  5. Al-Mulla Ali al-Qari, Syarh al-Fiqh al-Akbar, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 2019), hlm. 8. وينبغي أن يُعلم أنّ الشرع لم يشترط على المكلف أن يعرف الله تعالى بالنظر التفصيلي في الدلائل والمسائل، بل أوجب النظر الإجمالي فقط، وهو ما لا يخلو عنه عوام الناس من المكلفين، فكلهم يستدلّ في نفسه - وإن لم يتلفظ بلسانه- على وجود الله بحسب مستواه وقدرته.
  6. Rujuk Jabatan Fatwa Jordan: https://tinyurl.com/2seu6pht.
  7. Al-Hakim Abu ‘Abd Allah Muhammad b. ‘Abd Allah al-Naysaburi, al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihayn (Halab: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, t.th), 1:114.