Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #154: SALAH FAHAM NABI SAW MENGAMALKAN NEPOTISM DAN KRONISM

AFKAR_154.jpg

Soalan

Benarkah dakwaan bahawa Nabi SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme dalam pelantikan pemimpin atau jawatan dalam pemerintahan Islam?

Ringkasan Jawapan

Dakwaan Nabi SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme ini adalah salah faham yang berpunca daripada penggunaan istilah politik versi Barat dalam menilai sistem Islam. Dalam Islam, nepotisme dan kronisme diharamkan kerana ia mengkhianati hak orang lain serta menjejaskan keadilan. Untuk perincian lanjut, rujuk artikel al-Afkar 132: Nepotisme dan Kronisme Menurut Islam melalui pautan berikut: https://shorturl.at/gY9zQ. Nabi SAW tidak bertindak berdasarkan hubungan peribadi seperti dalam konsep nepotisme dan kronisme, tetapi berdasarkan perintah Allah SWT dan maslahat umat. Menilai kepimpinan Rasulullah SAW menggunakan konsep politik versi Barat seperti nepotisme dan kronisme mencerminkan kegagalan memahami prinsip Islam yang berpandukan wahyu dan keadilan. Lebih daripada itu, menilai kepimpinan Baginda SAW melalui perspektif politik semata-mata bukan sahaja tidak adil, malah mencemarkan kemuliaan Rasulullah SAW yang kepimpinannya bertujuan memastikan kesejahteraan umat.

Huraian Jawapan

Pendahuluan

Dakwaan Nabi SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme ini adalah salah faham yang berpunca daripada penggunaan istilah politik versi Barat dalam menilai sistem Islam. Islam mempunyai prinsip yang jelas dalam pelantikan pemimpin iaitu berdasarkan kelayakan, keadilan dan maslahat umat.

Nepotisme menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ialah amalan mengutamakan sanak saudara dan kawan-kawan sendiri.[1] Britannica pula mentakrifkannya sebagai pemberian jawatan atau keistimewaan kepada saudara-mara tanpa keadilan.[2] Kronisme menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ialah amalan mengutamakan teman rapat dalam pelantikan jawatan atau pemberian projek.[3] Britannica pula mendefinisikannya sebagai pemberian keistimewaan kepada rakan oleh individu berkuasa seperti ahli politik.[4]

Nepotisme dan kronisme dikaitkan dengan favoritisme yang membawa kepada ketidakadilan dan kerosakan dalam masyarakat. Dalam Islam, ia diharamkan kerana mengkhianati hak orang lain.[5] Islam mengutamakan Siasah Syar'iyyah dan maslahah, di mana pelantikan adalah amanah, bukan berdasarkan hubungan peribadi.

Kedudukan Nabi SAW yang tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan pemimpin dunia biasa

Nabi SAW memiliki kedudukan unik yang tidak setara dengan pemimpin dunia biasa. Kepimpinan Baginda SAW berlandaskan wahyu dan prinsip moral yang tinggi, bukan kepentingan peribadi serta dicerminkan melalui kebijaksanaan dalam mengatasi konflik. Firman Allah SWT:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلْهَوَىٰ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ

Maksudnya: “Dan dia (Muhammad) tidak berbicara menurut hawa nafsunya. Perkataannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

Surah An-Najm (3-4)

Ayat ini menurut al- Sha‘rāwī, Nabi SAW berijtihad dalam perkara yang belum di tetapkan wahyu, tetapi tetap berpegang kepada keadilan dan kebenaran. Jika ada ketetapan daripada Allah SAW, Baginda SAW segera mengikutinya tanpa mempertahankan pendapat peribadi. Ini membuktikan bahawa setiap keputusan Rasulullah SAW bukan berdasarkan hawa nafsu atau kepentingan peribadi, tetapi atas asas keadilan dan wahyu Ilahi.[6]

Nabi SAW tidak bertindak berdasarkan hubungan peribadi seperti dalam konsep nepotisme dan kronisme, tetapi berdasarkan perintah Allah SWT dan maslahat umat. Menggunakan istilah politik versi Barat seperti nepotisme dan kronisme adalah tidak adil kerana ia menggambarkan seolah-olah Baginda SAW bertindak berdasarkan kepentingan sendiri.

Nabi SAW mengasaskan kepimpinan berasaskan kelayakan, keadilan dan amanah

Nabi SAW mengasaskan kepimpinan yang berteraskan prinsip kelayakan, keadilan, dan amanah sebagai asas utama dalam pentadbiran. Pelantikan seseorang dalam kepimpinan bukan didasarkan kepada hubungan kekeluargaan atau pertalian peribadi, tetapi atas faktor kelayakan, kepercayaan serta keperluan terhadap individu tersebut dalam menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Sabda Baginda SAW:

إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ، فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ

Maksudnya:Apabila suatu urusan diberikan kepada yang bukan ahlinya, maka nantikanlah.” kehancuran."

Riwayat al-Bukhari

Hadis ini menurut Badr al-Dīn al-‘Aynī, kepimpinan dalam agama seperti khilafah, kehakiman dan kefatwaan mesti diberikan kepada mereka yang layak dan berintegriti. Namun, apabila amanah ini diserahkan kepada individu yang tidak berkelayakan, menyokong kezaliman dan bersikap fasik, pengkhianatan terhadap amanah berlaku. Akibatnya, keadilan terpinggir, kezaliman berleluasa, dan sistem sosial menjadi terbalik sepertimana orang yang amanah dianggap pengkhianat, manakala pengkhianat diberi kepercayaan. Fenomena ini berlaku apabila kejahilan menguasai masyarakat dan tiada golongan yang mampu menegakkan kebenaran serta keadilan.[7]

Nabi SAW menegaskan bahawa kepimpinan dalam Islam mesti berasaskan keadilan dan kemaslahatan umat. Pemimpin yang dilantik perlu memiliki kelayakan, integriti dan keupayaan untuk melaksanakan tugas dengan amanah dan telus. Pendekatan ini memastikan kepimpinan tidak dipengaruhi oleh nepotisme atau kronisme, sebaliknya berpandukan kelayakan dan tanggungjawab yang sebenar.

Kesimpulan

  1. Dakwaan bahawa Nabi SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme adalah tidak berasas kerana kepimpinan Baginda SAW berteraskan keadilan dan amanah. Rasulullah SAW melantik pemimpin berdasarkan kelayakan dan maslahat umat, bukan hubungan peribadi.
  2. Menggunakan istilah politik versi Barat seperti nepotisme dan kronisme dalam menilai kepimpinan Nabi SAW mencerminkan kegagalan memahami prinsip Islam yang berpandukan wahyu dan keadilan sebagai asas utama kepimpinan.
  3. Menilai kepimpinan Nabi SAW menerusi kacamata politik semata-mata bukan sahaja tidak adil, malah mencemarkan kemuliaan Baginda SAW yang berlandaskan wahyu, keadilan dan amanah

 Rujukan

[1] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=nepotisme

[2] https://www.britannica.com/topic/nepotism?utm_source=chatgpt.com

[3] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kronisme

[4] https://www.britannica.com/dictionary/cronyism?utm_source=chatgpt.com

[5]https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/5463-al-afkar-132-nepotisme-dan-kronisme-menurut-islam?fbclid=IwZXh0bgNhZW0CMTEAAR0RPzJbvR8PoX7ZkQNsK-VJNPkHQWMZ010dMQGKD5v6MrA53alzGyrWWh8_aem_dpG2JcxsDlvfInBWyPfz4w

[6], Muḥammad Mutawallī al-Sha‘rāwī, Tafsīr al-Sha‘rāwī – al-Khawāṭir, (Mesir:Maṭābi‘ Akhbār al-Yawm, 1418H), 10: 270. Teks asal:

لقد كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ يجتهد ببشريته فيما لم يُنزِل الله فيه حُكْماً، وحين يُنزِل الله حُكْماً، فهو صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ ينزل على أمر الله تعالى، ولم يكن رسول الله صلى الله عليه سلم يحكم حتى فيما اجتهد فيه عن هوى، بل حكم بما رآه عدلاً، وحين يُنزِل الحق سبحانه وتعالى حُكْماً مغايراً فهو يبلغ المسلمين ويُعدِّل من الحكم. إذن: فالتعديل للحكم هو قمة الأمانة مع البلاغة عن الله سبحانه وتعالى، ورسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ قد أقبل على الحكم في أمر لم ينزل فيه حكم من الله، فهو قد حكم بما عنده من الرأي، فيبلغ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ الحكم من الله، والذي عدَّل له ليس مساوياً له بل هو خالقه.

[7], Badr al-Dīn Abū Muḥammad Maḥmūd ibn Aḥmad Al-‘Aynī, ‘Umdat al-Qārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Damsyik: Idārat al-Ṭibā‘ah al-Manīriyyah), 2: 7. Teks asal:

قَوْله: (إِذا وسد الْأَمر) المُرَاد بِهِ جنس الْأُمُور الَّتِي تتَعَلَّق بِالدّينِ: كالخلافة وَالْقَضَاء والإفتاء، وَنَحْو ذَلِك. وَيُقَال: أَي بِولَايَة غير أهل الَّذين والأمانات. وَمن يعينهم على الظُّلم والفجور، وَعند ذَلِك تكون الْأَئِمَّة قد ضيعوا الْأَمَانَة الَّتِي فرض الله عَلَيْهِم حَتَّى يؤتمن الخائن ويخون الْأمين، وَهَذَا إِنَّمَا يكون إِذا غلب الْجَهْل وَضعف أهل الْحق عَن الْقيام بِهِ.