Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #545 : KEYAKINAN BAHAWA ALLAH ITU WUJUD

Soalan: Bagaimanakan untuk menyakinkan kepada saudara kita yang baru mengenal Islam yang Allah SWT itu wujud?

Jawapan:

Sudah menjadi sunnatullah manusia sedari kecil lagi bertuhankan kepada-Nya.

Dalam realiti kita dapati manusia begitu berhajat kepada Tuhan. Inilah hakikatnya. Merasakan kewujudan Allah adalah fitrah manusia sebagai contoh bilamana manusia berada di lautan dalam keadaan ujian dengan ombak dan badai yang mengganas akan terus ia ingatkan kepada Allah untuk memohon pertolongan.

Firman Allah SWT:

قُلْ مَن يُنَجِّيكُم مِّن ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً لَّئِنْ أَنجَانَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ 

Maksudnya: Katakanlah: "Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur".

(Surah al-An’am: 63)

Begitu jugalah tentang ciptaan di dunia ini seperti alam semesta, langit dan bumi. Adakah logik semua ini wujud dengan begitu sahaja? Jika tiba-tiba ia wujud, bila pula ia bermula? Kalau tidak ada permulaan, tak tercapai logik akal kita. Jadi mesti ada permulaan sebenarnya. Maka siapakah yang memulakannya?

Daripada sinilah sepatutnya kita sedar akan wujudnya Pencipta dan Dia bukanlah sembarangan Pencipta, tetapi yang betul-betul berkuasa dan Dialah Tuhan.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Sungguh, pada penciptaan langit dan bumi, serta pergantian malam dan siang, ada tanda-tanda (kewujudan Pencipta), bagi orang yang berfikir.

(Surah Ali-Imran: 190)

Suka dinyatakan tentang wujudnya Allah sabit dengan banyak dalil, sama ada naqli atau aqli. Benarlah kata pujangga:

وَفِي كُلِّ شَيْءٍ لَهُ آيَةٌ تَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ وَاحِدٌ

Maksudnya: “Dan pada setiap sesuatu itu baginya tanda yang menunjukkan keEsaan-Nya.”

Kami tutup perbincangan ini dengan menyeru agar dirujuk kepada kitab-kitab tauhid dan akidah yang membicarakan hal ini dengan panjang lebar. Firman Allah SWT:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

(Surah al-Ikhlas: 1-4)

Semoga Allah menguatkan iman kita dan makrifah kita kepada-Nya. Amiin.