Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #537 : ADAKAH HALAL BURUAN YANG MATI AKIBAT TEMBAKAN SENAPANG?

Soalan: Adakah binatang buruan yang mati ditembak menggunakan senapang halal dimakan?

Jawapan:

Perkataan al-Saidu (الصيد) ialah nama terbitan daripada perkataan (صاد), yang bermaksud berburu dan menangkap binatang dengan helah sama ada ia boleh dimakan atau tidak. Namun demikian, nama terbitan tersebut kemudiannya dimaksudkan dengan objeknya (المصيد), yang bermaksud binatang buruan.

Berburu telah disyariatkan oleh Allah SWT. Hal ini  berdasarkan firman Allah SWT:

ۚ أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ ۗ

Maksudnya: Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram.[1]

(Surah al-Maidah, 4: 1)

Firman Allah SWT lagi:

وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا

Maksudnya: Dan apabila kamu telah selesai dari ihram, maka bolehlah kamu berburu.

(Surah al-Maidah, 4: 2)

 

Ayat yang pertama menghadkan pengharaman berburu ketika berihram, manakala ayat yang kedua pula menjelaskan keharusan berburu setelah bertahallul. Berkenaan dengan memburu menggunakan senapang maka hukumnya adalah harus. Ini kerana ia diqiaskan kepada benda yang tajam atau lemparan seperti panah dan lain lagi. Jika pemburu mendapati bahawa binatang itu telah mati setelah dia bersegera mendapatkannya, kematian kerana buruan itu dianggap sembelihan dharurat dan ia halal dimakan. Hal ini berdasarkan hadith daripada Rafi’ bin Khudaij RA berkata:

أَصَبْنَا نَهْبَ إِبِلٍ وَغَنَمٍ وَفي رِوَايَةٍ، وَفي الْقَومِ خَيلٌ يَسِيرُ فَنَدَّ مِنْهَا بَعِيرٌ، فَرَمَاهُ رَجُلٌ بِسَهْمٍ فَحَبَسَهُ أَي مَاتَ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ لِهَذِهِ البَهَائِمِ أَوَابِدَ كَأَوَابِدِ الْوَحْشِ، فَمَا فَعَلَ مِنْهَا هَكَذَا، فَافْعَلُوا به مِثلَ ذَلِكَ

Maksudnya: “Kami dapat harta rampasan perang, iaitu unta dan kambing. Dalam riwayat yang lain menyatakan bahawa bersama-sama kumpulan itu, terdapat seekor kuda melalui tempat itu dan menyebabkan seekor daripada unta tawanan itu terperanjat dan terus lari. Lantas, unta itu dipanah oleh seorang lelaki dan menyebabkan ia mati. Sabda Rasulullah SAW: “Di kalangan binatang ini, terdapat juga yang liar, sebagaimana binatang yang lain. Justeru, kepada binatang yang bertindak demikian, lakukanlah sebagaimana binatang liar yang lain.

Riwayat al-Bukhari (5190) dan Muslim (1968)

Semoga dengan pencerahan ini memberi kefahaman kepada kita berkenaan agama kita. Amiin.

 

[1] Ibn Kathir berkata: “Sebahagian ulama’ mengatakan غَيرُ adalah mansub kerana hal (yang menerangkan keadaan). Yang dimaksudkan dengan binatang ternak tersebut adalah binatang yang jinak, terdiri daripada unta, sapi dan kambing dan yang termasuk dalam kategori liar, seperti kijang, sapi liar dan keldai. Dari kelompok binatang jinak itu dikecualikan binatang seperti yang dijelaskan di depan dan dari kelompok binatang liar dikecualikan binatang yang diburu ketika dalam keadaan berihram.”