Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #535 : MAKMUM SENGAJA LAMBAT DARIPADA IMAM

Soalan: Apakah hukum makmum sujud lama pada sujud akhir sedangkan imam sudah duduk pada tahiyyat akhir?

Jawapan:

Perbuatan tersebut adalah makruh. Ini kerana makmum hendaklah mengikut imam berdasarkan hadis yang panjang iaitu hadis al-Musi’ fi al-Solat, sabda Rasulullah SAW:

إنما جُعِلَ الإمام ليُؤتمَّ به، فإذا كبَّر فكبِّروا، وإذا رَكَعَ فاركعوا

Makdudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti dengannya, maka apabila imam bertakbir maka hendaklah kamu semua bertakbir dan apabila ia ruku’ maka hendaklah kamu ruku’.

Riwayat al-Bukhari (378) Muslim (411) dan al-Tirmidzi (361)

Kami nukilkan di sini daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji:

"Makmum hendaklah mengikut perpindahan imamnya dalam semua rukun fi’li. Perbuatan makmum hendaklah terkemudian daripada perbuatan imam tetapi sebelum selesai perbuatan imam tersebut. Adalah makruh bagi makmum terkemudian satu rukun daripada imamnya malah solatnya batal jika ketinggalan dua rukun yang panjang. Contohnya, imam telah rukuk dan i’tidal kemudian sujud dan bangun sedangkan makmum masih lagi berdiri tanpa sebab yang dimaafkan. Tetapi jika dia ketinggalan disebabkan sesuatu yang dimaafkan seperti lambat bacaannya, dia dibolehkan terkemudian daripada imam sehingga 3 rukun. Walau bagaimanapun, jika masih tidak memadai untuk mengikut imam selanjutnya, dia hendaklah menghentikan perbuatan yang sedang dilakukannya dan teruskan mengikut imam. Kemudian dia hendaklah menyambung perbuatannya semula yang tertinggal selepas imam mengucap salam."

Lihat al-Fiqh al-Manhaji (1/463).

 

Semoga dengan pencerahan ini hendaklah kita sebagai makmum sentiasa mengikut imam.