Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI SIRI KE - 530 : WANITA MENYERTAI MISI BANTUAN TANPA MAHRAM

Soalan: Apakah hukum wanita sertai NGO untuk misi bantuan tanpa mahram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Sebelum dijelaskan hukum bagi permasalahan ini, dibentangkan di sini terlebih dahulu takrif mahram.

  • Perkataan mahram merujuk kepada suami atau seseorang yang diharamkan berkahwin ke atasnya selama-lamanya samada disebabkan hubungan nasab, susuan dan juga persemendaan.
  • Namun dalam konteks ini, mahram membawa maksud penjagaan urusan seseorang wanita dan perlindungan ke atasnya ketika musafir. Kanak-kanak tidak termasuk situasi ini.

Hukum Wanita Bermusafir

Hukum asal bagi wanita bermusafir adalah haram melainkan terdapat mahram bersama-sama dengannya. Hal ini beradsarkan kepada hadis Nabi SAW:

لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم
Maksudnya:
“Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”
(Riwayat al-Bukhari, np. 1763)

Dalam hadis yang lain, sabda Nabi SAW:

لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر مسيرة يوم إلا مع ذي محرم
“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat bermusafir selama satu hari satu malam yang tidak disertai mahramnya”.
(Riwayat al-Bukhari 1038, Muslim 1339)

Daripada kedua-dua hadis yang di atas, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi SAW melarang seseorang wanita untuk bermusafir melainkan terdapat mahram bersama-sama dengannya. Antara hikmah larangan ini dalah bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Namun, dalam konteks pelaksanaan haji bagi wanita yang tidak memiliki mahram, maka para ulama telah berbeza kepada dua pandangan:

  • Menurut mazhab Hanafi dan Hanbali, tidak harus bagi wanita seumpama ini melaksanakan kewajipan haji. Pandangan ini juga dipegang oleh Ibrahim al-Nakhaie, Hasan al-Basri, Ishak dan Abu Thaur.
  • Manakala bagi mazhab Maliki dan al-Syafie, diharuskan bagi perempuan yang tidak memilki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuni syarat wajib haji tetapi hendaklah ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam Nawawi telah menukilkan dalam kitabnya al-Majmu' (8/342).

Namun, dalam konteks permusafiran wanita bukan disebabkan darurat seperti umrah sunat, menziarahi ahli keluarga, melancong dan sebagainya, maka terdapat dua pandangan di kalangan ulama:

  • Jika jarak perjalanan tersebut dekat, maka ia diharuskan sebagaimana pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan juga Hanbali.
  • Namun jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, maka terdapat dua pandangan di kalangan ulama:
    • Diharuskan permusafiran wanita tanpa mahram jika dipastikan perjalanan tersebut adalah selamat. Ini merupakan sebahagian pandangan daripada mazhab maliki dan al-Syafie. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Imam Nawawi, Abu Hamid al-Ghazali dan al-Mawardi.
    • Tidak diharuskan permusafiran wanita tanpa mahramnya. Inilah merupakan pandangan jumhur ulama.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Bagi menjawab persoalan berkenaan sebahagian wanita bersama-sama NGO dalam menyertai misi bantuan, kami cenderung berpandangan ia dibolehkan namun perlu meraikan beberapa syarat yang berikut:

  • Hendaklah wujudnya keperluan yang mendesak.
  • Perlu mendapatkan keizinan daripadanya wali dan juga pemerintah.
  • Hendaklah ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain bersama-samanya.
  • Bukanlah perjalanan jauh yang mengundang kesulitan dari sudut pengurusan dan pentadbiran.

Justeru, kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan agar golongan wanita sentiasa menjaga maruah dan adab-adab Islam agar mereka terpelihara daripada sebarang panahan fitnah dan tomahan serta menjamin kelangsungan kehidupan bersyariat.

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,
SS. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan.