Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #487: HUKUM MELINTASI ORANG YANG SEDANG SOLA DI HADAPAN PINTU MASJID

 

Seperti yang dimaklumi melintasi di hadapan orang yang sedang solat adalah tidak dibolehkan bahkan haram, kerana nas yang sahih lagi sarih. Ini jika tiada sebarang sutrah atau penghadang.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

Maksudnya: “Kalaulah seseorang yang melintasi di hadapan orang yang solat mnegtahui hukuman ke atasnya nescaya baik baginya berdiri 40 daripada melintasinya.”

Riwayat al-Bukhari (510) & Muslim (507)

Abu Nasr berkata:

لَا أَدْرِي، أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، أَوْ شَهْرًا، أَوْ سَنَةً

Maksudnya: “Aku tidak tahu adakah Baginda SAW bersabda dengan empat hari, atau empat puluh bulan atau empat puluh tahun.”

Sedangkan dalam riwayat al-Bazzar telah menyebut dengan empat puluh musim gugur atau dengan maksud 40 tahun.

Hadis ini menunjukkan haram melintasi di hadapan orang yang sedang solat jika dia telah menggunakan tabir atau sutrah, tetapi sebaliknya jika tidak menggunakannya maka ia tidak termasuk berdasarkan riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya daripada al-Muttalib bin Abi Wada’ah RA berkata:

“Aku melihat Nabi SAW selepas tawaf berjalan melalui tempaty tawaf kemudian solat dua rakaat sedangkan antara beliau dan orang yang tawaf itu tidak ada tabir apapun. Lihat Mawarid al-Zam’an (hlm 118 no. 415).

Justeru hendaklah seseorang yang solat mencegahnya dan orang yang hendak melintas menahan daripada lintasan tersebut. Akan tetapi dalam realiti seperti yang ditanya maka dicadangkan supaya orang yang solat itu pergi ke hadapan sedikit daripada pintu agar tidak menghalang Jemaah yang selesai solat untuk keluar masjid lebih-lebih lagi jika ramai Jemaah. Ketika langkahan hendaklah dalam tertib orang yang solat supaya tidak kelihatan seperti bukan orang yang dalam solat.

Kami berpendapat, sifat meraikan antara para Jemaah adalah amat penting agar suasana harmoni sentiasa dapat dipupuk sesama muslim. Begitu juga perlunya kefahaman fiqh dan ilmu sama ada imam atau makmum. Ini bertujuan agar pelaksanaan solat sentiasa dapat ditunaikan dengan khusyuk, harmoni serta memahami keadaan sebenarnya.

Pilihlah tempat solat seperti adanya dinding atau tiang dalam masjid agar dapat mengelak Jemaah melintasi di hadapannya.

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah solat mengadap tiang di dalam masjid dan mengadap sebatang pokok dan lain-lain.

Kami tutup perbincangan ini dengan sebuah hadid daripada Abi Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ شَيْئًا، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُلْقِ عَصًا، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ عَصًا فَلْيَخُطَّ خَطًّا، ثُمَّ لَا يَضُرُّهُ مَا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu melaksanakan solat hendaklah dia letakkan sutrah di hadapannya. Jika tidak hendaklah memancak tongkat dan jika tiada hendaklah membuat garis sehingga tidak akan menjadi masalah sekiranya ada yang melalui di depannya.”

Riwayat Abu Daud (689) dan Ibn Majah (943).

Mengikut mazhab Hanafi dan Maliki memasang sutrah atau tabir disunatkan bagi orang yang merasa khuatir ada orang yang akan melintas. Ini dikuatkan lagi hadis Ibn Abbas yang meriwayatkan bahawa pada suatu ketika Nabi SAW solat di tanah lapang dan tiada apa-apa pun di hadapan beliau yakni sutrah, seperti dalam riwayat Abu Daud.

Semoga kita dikurniakan kefahaman agama dengan sebenarnya agar sentiasa ibadat yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT.