AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 302 (24 JUN 2016 M / 19 RAMADHAN 1437 H)
SOALAN:
Assalamu'alaikum..
Situasi: Kandungan berusia 15 minggu telah disahkn oleh 2 org pakar sakit puan mengidap Cyris Hygroma, mereka menasihatkan agar mengugurkan kandungan segera. Doktor memberitahu peluang untuk bayi bertahan dalam kandungan adalah 10% jika diteruskan. Dari 10% hanya 42% sahaja yg berjaya hidup. Risiko yg perlu dihadapi ibu adalah ketika bayi tersebut meninggal di usia 6 bulan ke atas di dalam kandungan di mana jika berlaku komplikasi, perlu lakukan pembedahan.
Soalan : Dalam situasi di atas adakah menjadi kesalahan syarak jika mengugurkan kandungan tersebut? Minta nasihat dari tuan apakah tindakan sewajarnya yang perlu dilakukan.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Dalam isu seperti ini kita perlu mengetahui bahawa kandungan dalam perut ibu itu sedang menuju tumbesarannya. Daripada setitis air mani kemudia kepada segumpal darah, lalu menjadi segumpal daging, dijadikan tulang belulang, yang kemudian diselaputi daging, ditiupkan roh dan dilahirkan sebagai bayi. Proses ini diceritakan di dalam al-Quran:
هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Ali Imran, 3 : 6)
Daripada nas, Allah menggunakan perkataan taswir menunjukkan Dia-lah yang mentaswir, yakni membentuk, manusia mengikut KehendakNya. Barangkali pada awal kejadian, terdapat cacat cela pada kandungan, tetapi selepas beberapa masa, mungkin anak itu berjaya membesar dengan baik.
Justeru, apabila saya dapati risiko 10% daripada 42% sahaja yang berjaya hidup, saya melihat masih ada peluang untuk bayi itu untuk hidup. Saya cenderung agar diserahkan urusan ini kepada Allah SWT, berdoa dan memohon pertolongan daripada-Nya, dan merujuk kepada doktor-doktor pakar. Saya juga cenderung agar anak itu tidak digugurkan, kerana kita tidak tahu sekalipun pada zahir awalnya tidak sempurna, akhirnya akan sempurna dengan pertolongan Allah.
Suka saya sebutkan di sini sebuah kisah bahawa seorang ayah bertemu Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dan meminta fatwa yang seakan sama dengan soalan yang diajukan di atas. Syeikh mencadangkan agar tidak digugurkan. Masa berlalu, dan anak tersebut lahir dengan sihat. Apabila dewasa, anak tersebut mengucapkan terima kasih kepada Syeikh kerana dengan fatwanya dia dapat hidup.
Sekalipun begitu, jika kandungan itu sudah pasti mendatangkan mudarat kepada ibu, dan akan menyusahkan kehidupan keluarga pada masa akan datang secara pasti, setelah dirujuk kepada doktor pakar yang berautoriti, dan mereka mengesahkannya, maka dibenarkan menggugurkan jika kandungan belum mencapai 120 hari. Jika sebaliknya, maka tidak dibenarkan.
Renungilah firman Allah SWT:
وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ بِأَيِّ ذَنبٍ قُتِلَتْ
Maksudnya: Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya Dengan dosa apakah ia dibunuh?
(Surah al-Takwir, 81:8-9)
Wallahua’lam