Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #378 : MELAWAN GANGGUAN SYAITAN

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 378 (9 SEPTEMBER 2016 M / 7 ZULHIJJAH 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum.persoalan sy ialah bagaimana untuk menghindari gangguan jin..untuk pengetahuan ustaz sy tlh mengalami gangguan ini terlalu lama...apabila mendapat rawatan ia hilang seketika selepas itu kembali semula. hal ini sikit sebanyak mengganggu perjalanan hidup dan pekerjaan saya.. mohon bantuan ustaz.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Semoga Allah permudahkan urusan saudari. Perubahan ini sebenarnya perlu bermula daripada diri sendiri. Kami mencadangkan agar saudari memperbanyakkan isti’adzah, doa dan mohon kesembuhan daripada Allah SWT kerana hanya Dia sahaja yang memberikan kesembuhan. Allah merakamkan doa Nabi Ibrahim AS:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: "Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.”

Surah al-Syu`ara’, (26:80)

Hendaklah seseorang itu menjalani kehidupan dan melaksanakan perintah agama ikhlas semata-mata kerana Allah, tanpa diselaputi syirik selain dari-Nya. Ini dirakamkan al-Quran:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

Maksudnya: Iblis berkata, “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas (dibersihkan dari sebarang syirik)".

 

Hendaklah juga perbanyakkan zikrullah kerana syaitan lari daripada orang yang berzikir. Daripada al-Harith al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَآمُرُكُمْ أَنْ تَذْكُرُوا اللَّهَ فَإِنَّ مَثَلَ ذَلِكَ كَمَثَلِ رَجُلٍ خَرَجَ العَدُوُّ فِي أَثَرِهِ سِرَاعًا حَتَّى إِذَا أَتَى عَلَى حِصْنٍ حَصِينٍ فَأَحْرَزَ نَفْسَهُ مِنْهُمْ، كَذَلِكَ العَبْدُ لَا يُحْرِزُ نَفْسَهُ مِنَ الشَّيْطَانِ إِلَّا بِذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: "Dan aku menyuruh kalian agar berzikir kepada Allah kerana sesungguhnya itu seumpama seorang lelaki yang dikejar musuh-musuh melalui jejaknya dengan laju sampailah lelaki itu mendapatkan kubu pertahanan yang kukuh dan berjaya mempertahankan dirinya daripada musuh-musuhnya. Begitulah seseorang hamba Allah, tidak akan mendapat perlindungan diri daripada syaitan kecuali dengan zikir kepada Allah.”

Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (2863). Beliau berkata hadis ini hasan sahih gharib.

Seterusnya, hendaklah seseorang jangan takut kepada syaitan, sebaliknya takut kepada Allah dengan berhenti terus daripada berbuat sebarang dosa, besar mahu pun kecil, beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا ذَٰلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Surah Ali Imran, (3:175)

Firman-Nya lagi:

إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakkal (berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.)

Surah al-Nahl, (16:99)

Sebaliknya, syaitan hanya dapat mempengaruhi seseorang yang mengikut bisikan-bisikannya yang mengajak kepada keburukan. Firman Allah:

إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُم بِهِ مُشْرِكُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang mengikut pimpinannya, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.

Surah al-Nahl, (16:100)

Banyakkan usaha untuk menambah ilmu pengetahuan berkenaan agama, dan sebaiknya ini dilakukan bersama jemaah kaum muslimin supaya lebih mantap keyakinan agama, saling menolong dan memperbaiki diri. Daripada `Arfajah bin Syuraih al-Asyja`ie RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّ يَدَ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْتَكِضُ.

Maksudnya: Sesungguhnya pertolongan Allah bersama al-Jama‘ah dan sesungguhnya syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jama‘ah.

Hadis riwayat Imam Ibn Hibban (4577). Dinilai sahih oleh Syeikh Syubaib al-Arnaut.

Semoga Allah memberikan kesembuhan dan menggolongkan kita dalam golongan yang selamat daripada gangguan dan godaan syaitan.

Wallahua’lam.