Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #277 : BAGAIMANAKAH SURAH-SURAH DISUSUN?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 277 (24 MEI 2016 M / 17 SYAABAN 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum, fadhilatus syeikh yang saya kasihi, saya ada satu soalan yang dari dahulu lagi tersimpan dalam pemikiran saya. Kenapa ayat-ayat dan surah surah di dalam Al-Quran tidak disusun mengikut turutan ia diturunkan? Iaitu bermula dengan ayat Iqra' dan diakhiri dengan ayat al-yauma akmaltu lakum dinukum. Mengapa ia disusun seperti yang kita baca pada hari ini? Saya mohon dijawab soalan saya.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam kitab al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, Imam al-Suyuti menyebut tiga pendapat ulama tentang susunan surah-surah al-Quran:

· Susunan bersifat tauqifi, yakni ada arahan jelas daripada Syarak terhadap susunan surah-surah.

· Susunan bersifat taufiqi, yakni susunan adalah berdasarkan ijtihad umat, yakni para sahabat.

· Susunan bersifat tauqifi dan taufiqi. Ertinya terdapat susunan surah yang ditunjukkan dengan jelas oleh Nabi SAW dan ada yang disusun mengikut ijtihad para sahabat.

Pendapat yang rajih, bahawa susunan al-Quran bersifat tauqifi, yakni telah ditentukan oleh Syarak. Daripada Fatimah AS bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya:

أَنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يُعَارِضُنِي بِالقُرْآنِ كُلَّ سَنَةٍ، وَإِنَّهُ عَارَضَنِي العَامَ مَرَّتَيْنِ، وَلاَ أُرَاهُ إِلَّا حَضَرَ أَجَلِي

Maksudnya: Sesungguhnya Jibril selalu menyemak bacaan al-Quran aku setiap tahun. Kemudian pada tahun ini beliau menyemak bacaan aku sebanyak dua kali. Aku tak melihat hal itu selain sebagai isyarat tentang kematianku sungguh semakin dekat.

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim

Berkata Syeikh Abu Bakar al-Anbari: “Allah S.W.T menurunkan al-Quran selengkapnya ke langit dunia kemudian menurunkannya secara terpecah-pecah selama 20 tahun lebih. Surah-surah itu turun berdasarkan ketetapan (atau peristiwa) yang berlaku dan ayat yang menjadi jawapan bagi orang yang bertanya. Dan Jibril memutuskan susun atur (berdasarkan ketetapan Allah jua) ayat dan surah. Maka surah itu disusun secara bertepatan seperti mana ayat dan huruf juga disusunkan secara bertepatan semuanya datang daripada Nabi SAW. Barangsiapa yang mendahulukan suatu surah atau mengakhirkannya maka dia telah merosakkan sistem al-Quran.”

Syeikh al-Kirmani dalam al-Burhan: “Susun atur surah-surah ialah ketetapan di sisi Allah, sebagaimana termaktub di Luh Mahfuz dalam tertib ini. Dalam menentukan itu, Nabi SAW dikunjungi Jibril setiap tahun untuk menyimak al-Quran yang terkumpul dari Nabi. Dan Jibril menyemak (bacaan) al-Quran Nabi pada tahun wafat Baginda sebanyak dua kali. Dan ayat terakhir dalam al-Quran ialah ayat:

 

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

(Surah al-Baqarah, 2:281)

Maka kemudian Jibril menyuruh Baginda meletakkannya antara ayat tentang riba dan hutang."

Berkata Syeikh al-Ṭībī: “al-Quran itu diturunkan pertama kali dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Kemudia turunnya secara terpecah-pecah berdasarkan maslahat keperluan, kemudian al-Quran ditetapkan dalam mashaf-mashaf mengikut susunan dan sistem yang thabit (bertepatan) dengan al-Quran di Luh Mahfuz.”

Rujuk al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran (1/217)

Tambahan lagi, perbezaan di atas hanyalah bersifat lafaz sahaja, dan terhad mengikut masa sebelum al-Quran selesai diturunkan. Contohnya, Saidina Ali ada menyusun mushaf mengikut kronologi seperti Iqra, Mudaththir, Muzammil, Tabbat, Takwir sehingga surah-surah Makki dan Madani. Buktinya, apabila para Sahabat mengumpulkan al-Quran dalam Mushaf Uthmani, mereka semua berijma’ atas susunan Mushaf tersebut dan meninggalkan susunan mereka sendiri. Inilah yang ditegaskan oleh Syeikh Manna’ ibn Khalil al-Qaththan dalam Mabahith fii ‘Ulum al-Qur’an.

Wallahua’lam.

Imej diperoleh dari Pixabay