Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #273 : ADAKAH NAZIR WAQAF PERLU BERNIAT?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 273 (19 MEI 2016 M / 11 SYAABAN 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum Datuk Mufti. Sy ada soalan mengenai wakaf. Di tmpt sy, ada surau buat program wakaf untuk pembesaran surau dan dalam poster ada beritahu untuk sampaikan wang kepada nama2 yang tertera. Kalau sy berikan wang sebagai wakaf, sy perlu berniat. Nama2 dlm poster tu perlu niat terima wang sbg wakaf ke? Mohon pencerahan.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Asal dalam ibadat bergantung kepada niat berdasarkan hadith Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya amalan-amalan itu bergantung kepada niatnya masing-masing. Dan sesungguhnya balasan bagi seseorang itu berdasarkan apa yang diniatkan.

(Muttafaqun `alaih)

Kaedah umum dalam fiqh juga menyebut:

الْأُمُور بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Hukum bagi perkara-perkara bergantung kepada tujuan-tujuannya.

Rujuk Imam al-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Naza’ir (1/8)

Dalam fiqh ibadat, fungsi berniat adalah sebagai tamyiz (pembeza) antara ibadah dan adat. Contohnya berpuasa. Seseorang mungkin berpuasa kerana taat kepada perintah Allah, tetapi mungkin juga berpuasa kerana kesihatan. Begitu juga seseorang melakukan taharah dengan berwuduk dan mandi sebagai persedian untuk solat dan mengikut perintah Allah, tetapi mungkin juga melaksanakannya kerana hanya hendak menyejukkan badan dan membersihkan diri.

Niat tidak mewajibkan lafaz sebagaimana yang kita faham dalam masyarakat kerana niat tempatnya di hati dan didefinisikan sebagai:

ِقَصْدُ الشَّيْءِ مُقْتَرِنًا بِالفِعْل

Maksudnya: Berkehendak melakukan sesuatu disertai dengan melakukan perbuatan.

Dalam isu waqaf, rukun-rukun terbahagi kepada empat:
1. Pewaqaf (waqif)
2. Harta (mauquf
3. Benefisiari (mauquf ‘alaih)
4. Lafaz Sighah (Ijab wa al-Qabul)

Hak mentadbir harta waqaf asalnya ialah di bawah pewaqaf itu sendiri. Namun, dibenarkan dalam Syarak melantik Nazir, untuk mentadbir bagi pihak pewaqaf. Dalam kes penanya, nama-nama di dalam poster itu ialah nazir. Bagi waqaf khairi (kebajikan am) selain waqaf khas, tidak disyarat qabul (lafaz penerimaan) dari nazir masjid kerana akan menyusahkan. Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (3/614).

Justeru, InsyaAllah waqaf penanya adalah sah. Semoga Allah menerimanya sebagai sedekah jariah yang berkekalan pahalanya hingga Kiamat.

Wallahua’lam.

 

Imej diperoleh dari Pixabay