Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #266 : WAKTU TAMAT SOLAT ISYAK

SOALAN:

Assalamualaikum Tuan Guru,

Minta maaf saya ada sedikit soalan berkenaan dengan waktu atau tempoh berakhirnya solat isyak? Betulkah ianya berakhir di pertengahan malam atau pukul 12.30mlm?

Terima kasih.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Ulama berbeza pendapat kepada tiga pandangan. Pertama, solat Isyak tamat pada hujung 1/3 pertama malam. Kedua, pada separuh malam. Ketiga, sehingga terbit fajar sadiq. Rujuk Sahih Fiqh al-Sunnah (1/215).

Yang muktamad dalam mazhab al-Syafie bahawa tamat waktu isyak ialah apabila keluar fajar sadiq. Adapun waktu ikhtiyar (terbaik; terpilih) untuk menunaikan solat isyak ialah sehingga sepertiga malam, dalam pendapat lain, sehingga pertengahan malam. Kemudian waktu jawaz (harus) berlangsung sehingga sebelum waktu subuh. Ada juga sebahagian ulama yang berkata makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf. Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/167).