Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #365 : ISU MENJAMAK SOLAT JUMAAT DENGAN FARDU ASAR

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 365 (19 OGOS 2016 M / 16 ZULKAEDAH 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya mengenai antara solat jumaat dan jamak zuhur dan asar (atau sebaliknya).Yang manakah lebih afdal. Bolehkah saya menghimpunkan solat jumaat dan asar? Terima Kasih.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Pertamanya, seorang yang bermusafir adalah diberi pilihan untuk solat jumaat atau solat zuhur, tanpa salah satunya lebih afdal daripada yang lain. Ini kerana orang yang bermusafir gugur kewajipannya untuk melaksanakan solat Jumaat. Rujuk al-Mu’tamad oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (1/498).

Kedua, harus bagi orang yang bermusafir untuk menjamakkan solat sama ada jamak taqdim atau jamak ta’khir, di sisi mazhab al-Syafie. Namun begitu, Imam Abu Hanifah tidak membenarkan jamak kecuali ketika haji. Justeru, sebahagian ulama Syafieyyah memandang afdal meninggalkan jamak untuk keluar daripada khilaf. Rujuk al-Mu’tamad (1/477).

Ketiga, dibenarkan melakukan jamak taqdim antara solat Jumaat dan solat Asar, kerana hujan mahupun musafir, kerana solat Jumaat ialah badal (ganti) bagi solat Zuhur.

Rujuk al-Majmu’ (4/383) oleh Imam Nawawi, Asna’ al-Matalib (1/242) oleh Imam Zakariyya al-Ansari.

Dalam hal ini, seseorang itu lebih faqih dan faham terhadap keadaan dan keperluan diri sendiri. Justeru, mengambil nilai samahah dan toleransi Islam, seseorang itu dapat menunaikan tuntutan ibadat dan solat dalam apa jua keadaan sekalipun dan itulah yang terlebih utama.

Wallahua’lam.