Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #362 : ADAKAH WARIS LELAKI AKAN MENANGGUNG DOSA JANDA

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 362 (16 OGOS 2016 M / 13 ZULKAEDAH 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum Dr. Mufti

saya seorang sahaja anak lelaki dan mempunyai kakak dan emak, kakak saya pernah berkahwin dan sekarang sudah cerai adakah segala tanggug dosa kakak akan dipersoalkan seperti mana seorang ayah? apa tannggugjawab seorang anak lelaki kepada emak dan kakak saya?terima kasih

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam kehidupan berkeluarga, panduan yang terbaik yang kita ikuti ialah nasihat dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. Antara ibarat yang al-Quran gambarkan ialah golongan yang terlepas daripada kerugian seperti mana yang termaktub ciri mereka di dalam surah al-Asr:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: Mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Surah al-Asr, 103:3

Pada pesanan nasihat, sengaja Allah menyebut nasihat atas kebenaran diganding dengan atas kesabaran. Ini kerana perkara nasihat ini payah diterima sehingga selalu membawa kepada perasaan terluka. Juga adalah perlu bagi menasihati bersabar, dan juga kepada yang dinasihati juga perlu bersabar, dan sabar ini perlu dijadikan pakaian dalam kehidupan.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.

Surah Taha, 20:132

Kalimah perintah dalam ayat di atas walaupun pada asalnya ialah tanggungjawab ayah, ibu atau wali penjaga boleh juga diambil salah satu maksudnya ialah individu dalam satu-satu keluarga, menegakkan amar makruf dan nahi munkar. Ini kerana kehidupan manusia itu tidak lari daripada ujian dan bukan hanya tanggungjawab ibu bapa sahaja untuk menasihati anak-anak. Tugas ini juga ialah tugas adik beradik jika seseorang itu mempunyai ilmu, hikmah, dan uslub dakwah yang baik supaya tercapai natijah islah. Bagi yang menerima nasihat, ikut dan terimalah nasihat dengan hati yang tenang dan jiwa yang bersih.

Berkenaan menanggung dosa, masalah ini perlu dijelaskan dengan lebih panjang tetapi masa dan ruang di sini tidak memungkinkan kearah itu. Kami rangkumkan dalam beberapa asas berikut:

1) Setiap aqil baligh, dosanya ditanggung sendiri, bukan ibu ayah, adik beradik, mahupun suami.

2) Ibu bapa atau penjaga dianggap bersalah apabila membiarkan anak-anaknya berbuat dosa tanpa menasihati, menegah, mencegah munkar apatahlagi jika mengiyakan kebatilan tersebut.

3) Hendaklah setiap ahli keluarga saling berpesan dan menasihati. Inilah asas Islam yang diajar oleh Nabi SAW:

"الدِّينُ النَّصِيحَةُ" قُلْنَا لِمَنْ؟ قَالَ: "للَّهِ, وَلِكِتَابِهِ, وَلِرَسُولِهِ, وَلأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ"

Maksudnya: “Agama itu adalah nasihat”. Tanya sahabat, “Kepada siapa?” Jawab baginda, “Kepada Allah, KitabNya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum muslimin, dan mereka secara umumnya.”

Hadis riwayat Imam Muslim (55)

Imam Ibn Hajar Rahimahullah mensyarahkan:

Nasihat kepada orang Islam keseluruhanya bermaksud:

· menunjukkan jalan bagi mereka (masyarakat Islam) bagi keperluan mereka dalam urusan akhirat dan dunia,

· membantu mereka dalam perkataan dan perbuatan, menutup aurat mereka (keaiban mereka),

· memenuhi keperluan mereka yang mendesak,

· menghalang mudarat daripada kena pada mereka,

· mendatangkan kebaikan kepada mereka,

· menyuruh mereka berbuat kebaikan,

· menegah mereka daripada kemungkaran dengan cara yang sesuai pada tempatnya,

· menghormati orang-orang tua mereka,

· mengasihani kanak-kanak, berpesan dengan pesanan yang baik,

· meninggalkan tipu daya dan hasad dengki mereka,

· mencintai suatu yang baik bagi diri mereka perkara yang dia cintai bagi diri sendiri,

· dan membenci suatu perkara yang buruk ditimpa kepada mereka seperti mana jika berlaku pada diri sendiri,

· mempertahankan harta benda dan maruah mereka,

· menyeru mereka untuk berakhlaq dengan apa yang termasuk dalam erti kata nasihat,

· dengan mengikut petunjuk generasi Salafussoleh R.anhum.

Bahkan ada sebahagian salaf yang bersungguh-sungguh melakukan nasihat sehingga tergadai kepentingan dunia mereka sedangkan mereka tidak kisah.”

Rujuk al-Fath al-Mubin 1/257

Wallahua’lam.